Apakah panduan untuk kita mengenal pasti bahawa sesuatu perkataan itu dibaca sebagai `e taling`atau `e pepet `.Contohnya, untuk perkataan ` pepet`. apakah sebutan yang betul? Terima kasih | Merujuk Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, hanya tiga vokal, iaitu i,a, dan u dapat hadir pada awal, tengah, dan akhir perkataan. Vokal e (e taling), o dan e (e pepet) hanya hadir pada awal dan tengah perkataan. Vokal e (e taling) dan o hanya hadir pada akhir perkataan dalam suku kata terbuka dalam kata pinjaman, seperti sate, tauge, logo dan polo. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Baharu muka surat 300. | Tatabahasa | 05.09.2008 |
minta tanya apakah bacaan e dalam perkataan ledak? E taling atau e pepet? | Ledak - e pepet sama seperti sebutan e dalam bedak. | Tatabahasa | 08.09.2013 |
Ingin tahu ejaan yang betul mantera atau mentera? Bagaimana sebutannya? man-te(pepet @taling?)-ra atau men-te(pepet@taling?)-ra. | Ejaan yang betul ialah mantera. Sebutan yang betul ialah e pepet, man.te.ra. | Tatabahasa | 13.10.2013 |
Salam... saya ada terbaca soalan yang sama tetapi jawapan yang diberikan berbeza iaitu persoalan "erat" sama ada e dibaca pepet atau taling dalam carian PRPM@DBP Malaysia. soalan pada 12.10.10, jenis soalan ejaan menyatakan e dibaca pepet, kemudian soalan yang hampir sama ditanyakan mengenai erat pada 6.10.11, jenis soalan tatabahasa menyatakan e pada erat adalah taling. pada 3.7.13, jenis soalan tatabahasa yang menyatakan e pada erat adalah pepet mengikut rujukan DBP edisi ke-4. Jadi, yang mana satukah yang paling tepat kerana kesukaran mengeja jawi sama ada alif ya atau alif sahaja.. jika sebutan erat yang ditambah imbuhan menjadi mengeratkan, e masih pepet atau taling? contoh, dia mengeratkan tali persahabatan. jika e dibaca pepet, seolah-olah kata dasar mengeratkan menjadi kerat... saya masih keliru... mohon penjelasan. terima kasih | 1. Apabila perkataan "erat" menerima apitan meN-...-kan, perkataan "mengeratkan" disebut dengan menggunakan e pepet. Pengguna bahasa Melayu seharusnya dapat membezakan perkataan "mengeratkan" yang kata dasar "erat" daripada perkataan "mengeratkan" yang kata dasarnya "kerat". Saudara tidak sepatutnya keliru dengan ungkapan "mengeratkan silaturrahim" kerana kata dasar "mengeratkan" dalam ungkapan ialah "erat", bukan "kerat". Orang selalu menyebut "memutuskan silaturrahim", bukannya "mengeratkan silaturrahim" yang kata dasarnya "kerat". | Tatabahasa | 07.10.2013 |
BAGAIMANAKAH UNTUK MEMBEZAKAN E PEPET DAN E TALING DALAM TULISAN JAWI | Dalam tulisan Jawi, e pepet pada awal kata diwakili huruf ا seperti ejaan امق dan pada pertengahan kata tidak diwakili huruf seperti ejaan بله . Huruf e taling pula pada awal kata diwakili huruf اي seperti ejaan ايلق dan pada pertengahan kata diwakili huruf ي seperti ejaan ميره . | Ejaan | 17.04.2013 |
APAKAH PERBEZAAN ANTARA E PEPET DAN E TALING?? | Dalam Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu, di bawah pola keselarasan huruf vokal, e pepet boleh diikuti a, i, u dan dalam suku kata kedua akhir tertutup seperti emak, petik dan beku, manakala e taling boleh diikuti a, e (taling), o dalam suku kata kedua akhir tertutup seperti elak, leper dan ekor . | Ejaan | 21.03.2012 |
sebuatan untuk perkataan pensel, d imana letaknya e taling dan e pepet. terima kasih | Dalam ejaan pensel - e (taling) + e (taling). Contoh penggunaan e (pepet) seperti dalam ejaan emak, emas dan lebih. | Tatabahasa | 15.04.2011 |
Salam, Saya masih keliru dengan sebutan perkataan 'Erat' adakah ianya disebut sebagai e taling atau e pepet... apakah hukum penggunaan e taling dan e pepet. Terima Kasih | Huruf e pada kata erat ialah e taling, sebutannya sama seperti kerat, berat dan jerat. | Tatabahasa | 06.10.2011 |
Bagaimanakah untuk membezakan atau mengesan penggunaan e-taling dan e-pepet dalam bahasa Melayu? | Dalam buku Daftar Ejaan Rumi Bahasa Melayu, di bawah tajuk Pola Keselarasan Vokal: e pepet boleh diikuti a, i, u dan dalam suku kata kedua/akhir tertutup seperti emak, petik dan beku, manakala e taling boleh diikuti a, e (taling), o dalam suku kata kedua/akhir tertutup seperti elak, leper dan ekor . | Tatabahasa | 03.03.2012 |
dalam bahasa melayu ada dua jenis 'e', e pepet dan e taling. bilakah digunakan e tersebut dan bagaimana bagi bukan penutur jati untuk mengetahui perbezaannya?tk | Untuk mengetahui perbezaan sesuatu perkataan itu sama ada menggunakan e pepet atau e taling, sila rujuk kamus yang berkenaan. | Tatabahasa | 01.11.2010 |