bagaimanakah untuk membezakan penggunaan perkataan seperti kenaikan, kenaikkan ataupun peruntukkan , peruntukan.. sekian, terima kasih. | Ke-...-an seperti kenaikan dan peN-...-an seperti peruntukan ialah apitan kata nama yang membentuk kata terbitan dalam bahasa Melayu. Saudara perlu jelas proses yang berlaku di sini ialah apitan ke-...-an (ke+naik+an) bukan akhiran -kan seperti pada kata kerja gerakkan (naik+kan). Begitu juga dengan apitan kata nama peN-...-kan (per+untuk+an), bukannya apitan kata kerja memper-...-kan (memper+untuk+kan). | Tatabahasa | 20.06.2011 |
harap pihak tuan dapat memberikan suku kata yang tepat untuk perkataan berikut: 1)santapan 2)memperolehi 3)Allah 4)mengisi 5)kebaikan 6)permainan 7)dunia 8)kaum tq | Saudara Asmazaira, Suku kata yang tepat adalah seperti yang berikut: i. san.ta.pan ii. mem.per.oleh (bukan memperolehi) iii. Al. lah iv. me.ngi.si v. ke.bai.kan vi. per.mai.nan vii. du.nia viii. kaum | Ejaan | 15.04.2010 |
Assalamualaikum. Saya mohon jasa baik tuan/puan untuk menyemak pengelasan kata kerja yang saya telah lakukan ini. Terima kasih atas bantuan. | Dokumen yang saudara sertakan perlu diteliti satu per satu. Berdasrkan semakan kami, pengelasan kata kerja dalam baris pertama betul kerana kata kerja berawalan meN- boleh terdiri daripada kata kerja aktif transitif dan kata kerja aktif tak transitif bergantung pada kata kerja yang mengikutinya. Pengelasan kata kerja dalam baris kedua tidak tepat kerana kata kerja yang terbentuk dengan apitan meN-...-kan ialah kata kerja transitif. Oleh itu, untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 194. Begitu juga untuk pengelasan kata kerja yang seterusnya hingga halaman kelima, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan dan teliti setiap aspek di bawah Pembentukan Kata Kerja. Jika terdapat kekeliruan dalam penerangan di bawah tajuk Pembentukan Kata Kerja tersebut, sila hubungi kami semula. | Tatabahasa | 18.03.2012 |
Assalamualaikum. Saya ingin mendapatkan penjelasan berhubung perkara berikut: 1. Ada ataupun tidak perkataan 'perlantikan'. Hal ini kerana perkataan tersebut didaftarkan dalam buku Daftar Kata Bahasa Melayu tetapi tidak ada dalam Kamus Dewan Jilid 4. 2. Jika perkataan 'perlantikan' ada, persoalannya, adakah wujud perbezaan makna antara kata 'pelantikan' dengan 'perlantikan'? 3. Bagaimana hendak menentukan perkataan-perkataan yang boleh menerima imbuhan awalan 'pe...' dan 'per...' Sekian, terima kasih. | 1. Perkataan perlantikan tidak ada dalam bahasa Melayu, yang ada ialah pelantikan. 2. Cara yang mudah untuk mengenal perkataan yang menerima imbuhan peN-...-an dan peR-...-an adalah dengan melihat bentuk kata kerjanya. Umumnya kata nama terbitan yang menggunakan peR-...-an berasal daripada bentuk kata kerja yamg menggunakan awalan beR-, manakala kata nama yang menggunakan apitan peR-...-an berasal daripada bentuk kata kerja yang menggunakan imbuhan meN-...-i atau meN-...-kan. Contoh: perlumbaan berasal daripada kata kerja berlumba. Oleh sebab tiada bentuk melumba, maka tidak wujud bentuk pelumbaan. Walau bagaimanapun, terdapat juga bentuk-bentuk yang boleh menerima kedua-dua peN-...-an dan peR-...-an. Hal ini kerana bentuk itu berasal daripada dua bentuk kata kerja yang memberikan makna yang berlainan. Contoh: perpisahan berasal daripada kata kerja berpisah, pemisahan berasal daripada kata kerja memisahkan. Untuk keterangan lanjut, saudara boleh merujuk buku Tatabahsa Dewan Edisi Ketiga, halaman 132. | Istilah | 13.05.2009 |