Assalamualaikum, Saudari Ramziah. 6 fungsi utama DBP ialah: 1. Membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi. 2. Memperkembang bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan. 3. Mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk-bentuk kesusasteraan lain dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain. 4. Membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan. 5. Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul. 6. Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuatkuasa. Berdasarkan fungsi utama di atas, peranan secara langsung DBP kepada sekolah adalah yang berkaitan dengan usaha penyebaran ilmu pengetahuan melalui penerbitan buku dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia seperti berikut: 1. Menerbitkan buku teks untuk kegunaan sekolah rendah dan menengah. 2. Menerbitkan majalah yang dapat dimanfaatkan oleh pelajar sekolah seperti Dewan Pelajar dan Dewan Siswa. Majalah-majalah lain yang juga dapat dimanfaatkan oleh pelajar ialah Tunas Cipta, Dewan Budaya, Dewan Sastera, Dewan Ekonomi. Dewan Kosmik dan Dewan Bahasa. 3. Menerbitkan Kamus untuk kegunaan pelajar misalnya KAMUS MELAYU-INGGERIS (EDISI PELAJAR), KAMUS ARAB-MELAYU RENDAH DEWAN, KAMUS MELAYU-INGGERIS DEWAN, KAMUS TAMIL-MELAYU DEWAN, KAMUS MANDARIN-MELAYU DEWAN dan banyak lagi. Kesemua kamus ini masih dalam proses penerbitan dan ada yang dijangka terbit dalam tahun 2010 dan 2011. Manakala peranan secara tidak langsung adalah yang berkaitan dengan usaha mengembangkan minat pelajar serta guru dalam penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan komunikasi serta memupuk minat dan bakat dalam bidang kesusasteraan seperti penulisan, pembacaan, penghasilan karya, kebudayaan dan sebagainya melalui pelaksanaan aktiviti yang melibatkan pelajar dan guru seperti berikut: 1.Program Kebahasaan: -Pertandingan Forum Pelajar (untuk pelajar sekolaj jenis kebangsaan) -Pertandingan Forum Remaja - Peraduan Mengarang Esei -Pertandingan Koir -Pertandingan Deklamasi Puisi -Pertandingan Pidato -Pertandingan Bercerita 2.Program pengembangan kesusasteraan : 1. Sesi bercerita. 2. Program 'Seronoknya Membaca'. 3. Minggu Penulis Remaja. 4.Bengkel Penulisan Hadiah Tunas Remaja. 5. Program Kelab Tunas Renaja. 6. Kuiz Sastera Perdana 7. Bengkel Penghayatan Sastera KOMSAS untuk Guru. 8. Bengkel Teknik Bercerita Untuk Jurulatih(Guru) 9. Ceramah Sastera di sekolah. 10. Bengkel Penulisan untuk Pelajar Sekolah dan lain-lain lagi. Selain aktiviti yang dinyatakan di atas, sebenarnya ada banyak lagi yang tidak disebutkan. Terdapat program atau aktiviti yang berlainan dilaksanakan oleh DBP di peringkat cawangan seperti Sabah dan Sarawak dan di pejabat Wilayah DBP di Pulau Pinang, Johor dan Kelantan. Namun kesemuanya menjurus ke arah matlamat meningkatkan kecintaan dan kemahiran penggunaan bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu dalam kalangan pelajar dan guru. Aktiviti-aktiviti ini dilaksanakan oleh DBP melalui kerjasama dengan pihak lain seperti sekolah, Jabatan Pelajaran Malaysia di peringkat negeri serta agensi-agensi kerajaan dan swasta yang lain. Sekian terima kasih. AZHAR MOHD. DORA Bhg. Dasar dan Pembangunan Korporat DBP azhar@dbp.gov.my |