saya nak tahu tentang perkataan polemik?? apa kah yg dimaksud kn erti kata tersebut.. | Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan perkataan polemik merupakan sesuatu perbahasan (perdebatan, perbantahan) dengan rencana atau tulisan dalam surat khabar (majalah dll). | Makna | 19.03.2009 |
Adakah betul penggunaan perkataan 'polemik' di dalam ayat di bawah? Kemasukan produk kraf dari negara luar seperti produk songket dan sebagainya sehingga mencetuskan polemik semasa, yang sedikit sebanyak menimbulkan rasa kebimbangan terutama di kalangan usahawan dan pengeluar kraf tempatan. | Mengikut Kamus Dewan, polemik ialah perbahasan (perdebatan, perbantahan), maka penggunaan kata polemik dalam ayat yang puan kemukakan betul. Namun ayat puan boleh dibetulkan seperti berikut: Kemasukan produk kraf seperti produk songket dan sebagainya dari negara luar mencetuskan polemik semasa yang sedikit sebanyak menimbulkan rasa kebimbangan terutama dalam kalangan usahawan dan pengeluar kraf tempatan. | Tatabahasa | 26.11.2014 |
Saya berminat menganalisa novel Cakra Waruga karya Pak Arena Wati untuk Extended Essay. Topik yang saya ingin bincangkan ialah berkenaan tentang kritikan dan masalah yang dihadapi oleh golongan intelek. Apa perkataan yang saya boleh gunakan untuk menggabungkan kedua-dua ini. Saya bercadang untuk menggunakan perkataan "polemik", adakah ia relevan? | Perkataan polemik lazimnya digunakan bagi tujuan yang melibatkan kegiatan pertukaran, perbantahan atau perdebatan antara dua pihak yang berbeza pandangan mengenai sesuatu isu/masalah. Jika saudara melakukan penghujahan dengan menggunakan teknik/kaedah sedemikian dalam esei saudara, maka saudara bolehlah menggunakan perkataan tersebut bagi tujuan penghujahan subjek yang ingin saudara ajukan. Adakah soalan saudara itu juga bertujuan untuk mendapatkan judul esei yang sesuai? Jika demikian saya mencadangkan judul esei saudara ialah " Analisis kritis permasalahan golongan cendekia dalam Cakra Waruga"atau "Polemik permasalahan golongan cendekiawan dalam Cakra Waruga" dengan memasukkan hujahan sokongan dan sanggahan. Salam takzim. | Lain-lain | 03.08.2010 |