salam, saya ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang makna pencampuran kod | Dalam data kami, tiada makna khusus bagi istilah percampuran kod. Walau bagaimanapun, Kamus Dewan mendefinisikan kod sebagai serangkai huruf atau nombor yang digunakan untuk mengenal pasti sesuatu tempat. Manakala percampuran ialah perihal bercampur atau bercampur aduk. Oleh itu, percampuran kod bermaksud perihal mencampurkan serangkai huruf atau nombor yang digunakan untuk mengenal pasti sesuatu tempat. Tuan boleh menyesuaikan makna tersebut mengikut bidang kajian dan merujuk buku yang berkaitan.
| Makna | 18.09.2013 |
Saya mempunyai satu kemusykilan berkaitan dengan moto sekolah di tempat saya mengajar iaitu PERJUANGAN NON ZERO. Saya dapati wujud percampuran bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Adakah percampuran bahasa ini dibenarkan atau menjadi kesalahan yang perlu diperbetulkan. Apakah pandangan pihak tuan berkenaan hal ini ? | Sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan mempunyai impak yang sangat besar kepada pelajar dan masyarakat. Sekolah dari segala aspek perlulah sentiasa dalam keadaan baik (dan betul) seperti bilik darjah, persekitaran dan juga segala sesuatu yang dikaitkan dengan citra sekolah termasuklah moto sekolah. Penggunaan bahasa bercampur harus dielakkan dalam memaparkan citra sekolah. Banyak perkataan lain yang boleh kita gantikan dengan perkataan non zero dalam ungkapan "Perjuangan Non Zero". Lazimnya elemen yang dikaitkan dengan perjuangan ini ialah sesuatu yang hebat dan mengesankan seperti "perjuangan tiada berpenghujung". | Tatabahasa | 27.01.2014 |
Penggunaan nama DAGING CENTRE sebagai nama perniagaan. Mohon petunjuk dari tuan kesalahan gabungan dua perkataan tersebut. untuk makluman tuan, permohonan nama perniagaan DAGING CENTRE ditolak atas alasan percampuran bahasa melayu dang inggeris. Pencampuran bahasa bagi tujuan nama kha, i.e. nama perniagaan sepatutnya tidak menjadi kesalahan. Mohon tuan membantu saya bagi menerangkan kepada SSM tentang perkara ini. Sekian, Terima Kasih Yang Benar Mohd Maliki | Tindakan pihak SSM yang tidak meluluskan penggunaan nama Daging Centre adalah betul kerana wujudnya percampuran bahasa Melayu dan Inggeris dalam menamai syarikat tuan. Penamaan Daging Centre juga tidak mencerminkan citra dan jati diri bangsa Malaysia. Undang-undang kecil/akta yang termaktub juga menegaskan supaya penggunaan bahasa Melayu diutamakan, rujuk Seksyen 22, Akta Syarikat 1965 dan Warta Kerajaan Persekutuan, Bil. 4180, Akta Syarikat 1965 (AKTA 125). Tuan juga boleh merujuk buku Garis Panduan Menamai Syarikat, Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan yang diterbitkan oleh DBP untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 02.12.2009 |
Selamat pagi DBP, Saya ingin meminta tunjuk ajar DBP berhubung soalan-soalan berikut: 1. Code switching = peNcampuran kod atau peRcampuran kod? 2. Semantic Trait = trait semantik? 3. adakah | 1. code switching - alih kod (bidang Linguistik) 2. semantic trait - ciri semantik (bidang Linguistik) | Istilah | 15.04.2011 |
Berdiri Food Tec Sdn Bhd Sdn. Bhd. Adakah nama seperti diatas bersesuaian untuk dijadikan nama syarikat ? | Penamaan syarikat sebaiknya menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul. "Berdiri Food Tec Sdn. Bhd. tidak sesuai dan perlu dielakkan kerana percampuran bahasa Melayu dan Inggeris dalam satu nama. | Tatabahasa | 12.09.2022 |
Salam sejahtera, Apakah perbezaan antara "kelembapan" dan "lembapan"? Mohon maklumat penggunaan frasa berkenaan. Terima kasih pihak DBP. | Kelembapan bermaksud keadaan yang lembap, perihal lembap (tidak kering). Contoh penggunaan ialah kabus di hutan itu tebal kerana kelembapannya tinggi. Lembapan pula bermaksud (banyak sedikitnya) wap air yang terkandung dalam udara. Contoh penggunaan perkataan lembapan ialah hujan asid berpunca daripada percampuran asap yang dibebaskan dari kilang, asap kereta dan sebagainya dengan lembapan udara. | Makna | 04.03.2019 |
Kementerian saya telah menukar nama bahagian dari Bahagian Penguatkuasa ke Bahagian Enforcement. Adakah dibenarkan untuk menggunakan bahasa rojak sebegini di pejabat Kerajaan? | Frasa nama yang betul ialah Bahagian Penguatkuasaan dan istilah ini telah mantap dan banyak digunakan di jabatan-jabatan kerajaan seperti di pihak berkuasa tempatan. Seperti yang tuan sedia maklum penggunaan frasa Bahagian Enforcement adalah salah salah dari segi struktur bahasa Melayu kerana adanya percampuran bahasa (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam satu frasa). Pejabat kerajaan termasuklah dalam dokumen dan penamaan hendaklah menggunakan bahasa Melayu yang betul. | Lain-lain | 24.02.2014 |
Saya sering keliru dengan penggunaan italik untuk bahasa asing, seperti Bahasa Inggeris. Apa yang saya faham, ayat dalam bahasa asing perlu italik. Bagaimana pula nama kolej, nama kursus dll? Adakah kata nama khas dalam bahasa Inggeris tak perlu diitalik, sebaliknya huruf besar pada awal perkataan? | Sdr. Rina, Penggunaan bahasa asing yang yang mesti diitalikkan ialah jika dalam satu baris ayat itu terdapat percampuran penggunaan bahasa antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan bahasa lain. Dalam keadaan tertentu juga jika ada bahasa Melayunya maka hendaklah kita menggunakan bahasa Melayunya dan jangan pula diitalikkan perkataan bahasa asingnya tanpa terlebih dahulu berusaha mencari padanannya dalam bahasa Melayu. | Tatabahasa | 17.05.2010 |
Minta tulisan jawi untuk : PAKAR MEMASANG TINTED KENDERAAN terima kasih. | Untuk makluman, teks “PAKAR MEMASANG TINTED KENDERAAN tidak betul kerana terdapat percampuran antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Jika teks tersebut untuk permohonan iklan perniagaan, betulkan kepada PAKAR MEMASANG FILEM PENAPIS HABA KENDERAAN : ڤاكرمماسڠ فيلم ڤناڤيس هاب کندراءن | Lain-lain | 09.12.2020 |
Jelaskan konsep metafora secara meluas. Boleh kongsikan senarai bacaan yang terkait dengan aspek metafora? Senaraikan buku atau artikel yang terkait dengan penggunaan metafora dalam penulisan. | Metafora merupakan gaya bahasa kiasan atau perbandingan yang membawa maksud lain daripada makna biasa kata atau frasa tersebut atau makna sebenar perkataan berkenaan sebagai perbandingan atau kiasan yang biasa terdapat dalam sajak/puisi. Sifat gaya bahasa ini ringkas, padat, tersusun rapi dan biasanya terdiri daripada dua perkataan. Jenis-jenis Metafora ialah (1) metafora implisit -pengucapan yang mengandungi unsur-unsur bandingan yang memang tersirat sifatnya;(2) metafora rancu - penggunaan /percampuran dua atau lebih unsur metafora dalam sesuatu pernyataan: (3) metafora usang - metafora atau kiasan yang tidak lagi mempunyai keaslian penyairnya, contoh 'merpati putih' dan 'bendera putih'. Antara buku yang berkaitan: (1) Metafora Melayu:Bagaimana Pemikir Melayu Mencipta Makna dan Membentuk epistemologinya,Hassan Ahmad, 2003; (2) Metafora:kumpulan Cerpen, Rustamaji Susanti,2004. Kami mencadangkan puan ke perpustakaan termasuk Pusat Dokumentasi Melayu, DBP untuk membuat rujukan. | Makna | 11.02.2014 |