Dalam Dewan Eja Pro (demikian juga PRPM), terdapat beberapa percanggahan dari segi ejaan dan padanan Melayu sesuatu kata Inggeris. Bagi ejaan, saya akan memilih ejaan daripada Kamus Dewan Edisi Empat jika terdapat percanggahan daripada Kamus Inggeris-Melayu Dewan atau Daftar Istilah dengan andaian, "kamus mutakhirlah yang lebih mantap dan berwibawa". Namun, dari segi padanan perkataan pula (tiada dalam Kamus Dewan Edisi Empat), pada hemat saudara, yang manakah perlu saya utamakan; Daftar Istilah atau Kamus Inggeris Melayu Dewan (kerana tidak dapat dipastikan yang mana lebih mutakhir)? Dalam kes perkataan "hexameter", padanan daripada Daftar Istilah ialah "sadmatra" manakala padanan daripada Kamus Inggeris Melayu Dewan ialah "satmatra". Yang manakah bentuk baku? | Sememangnya terdapat perbezaan maklumat dalam pangkalan data kami. Walau bagaimanapun terjemahan yang persis bagi perkataan hexameter ialah sadmatra sepertimana yang digunakan dalam Daftar Istilah dan Istilah Mabbim dan perkataan ini juga ditemukan dalam Kamus Indonesia. | Tatabahasa | 17.06.2013 |
Assalamualaikum, saya ingin bertanya sekiranya terdapat percanggahan antara tatabahasa dewan dengan kamus pelajar edisi kedua terbitan dbp sendiri ,yang mana satu perlu diutamakan? | Waalaikumussalam. Untuk makluman tuan/puan, buku Tatabahasa Dewan memberikan pengetahuan atau pelajaran tentang pembentukan perkataan dan proses pembinaan ayat (penyusunan kata dlm ayat) dll, nahu; ketatabahasaan (hal) yg berkaitan dgn tatabahasa. Kamus pula menyenaraikan kata dengan memberikan huraian makna kata. Oleh itu, Tatabahasa Dewan akan dirujuk sekiranya ada percanggahan dalam hal yang berkaitan dengan tatabahasa. | Lain-lain | 16.07.2017 |
Saya mendapati banyak percanggahan dlm beberapa istilah, bergantung kpd sumber rujukan. Yang manakah disyorkan oleh DBP untuk piawaian? 1) interest (kewangan) = faedah atau bunga? 2) guarantee = jaminan atau gerenti? 3) guarantor = penjamin atau penggerenti? Saya membuat perbandingan antara buku DBP "Istilah Undang-undang (2006)", "Daftar Istilah Industri Perkhidmatan Kewangan (2001)" dan PRPM on-line. Yang manakah sepatutnya diutamakan? Terima kasih. | Encik Mohd Halimi, Antara perkataan bunga dengan faedah, biasanya kita gunakan faedah bagi tujuan rasmi manakala untuk percakapan biasa kita gunakan bunga. guarantee kita gunakan jaminan, manakala guarantor pula ialah penjamin. Jika kita mencari istilah dalam bidang kewangan saya rasa baik kita rujuk Daftar istilah | Istilah | 07.12.2010 |
Salam. Sekali lagi saya ternampak percanggahan terhadap huraian yang diberikan oleh pihak DBP. Penggunaan kata sendi nama dalam ayat ini. 1) Mak Cik Leha sudah sampai di/ke rumahnya. Yang mana lebih tepat? Huraian pada tahun 2006 menyatakan 'di' kerana menunjukkan sudah sampai tetapi huraian 2010 pula menyatakan 'ke' tanpa penerangan. Terima kasih. | Salam, Kata sendi yang tepat ialah Mak Cik Leha sudah sampai di rumahnya. Kata sendi yang digunakan adalah "di" kerana dalam konteks ayat tersebut, Mak Cik Leha telah/sudah sampai. Jika Mak Cik Leha dalam perjalanan menuju ke rumahnya (belum sampai/arah yang dituju), kata sendi yang perlu digunakan adalah "ke". Contoh ayat, Mak Cik Leha sedang berjalan menuju ke rumahnya. Untuk lebih jelas, boleh lihat penggunaan kata sendi di dan ke di bawah ini: Kata sendi nama "di" = digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Manakala kata sendi "ke" pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah yang dituju, dan juga yang menunjukkan waktu atau masa. Contoh lain: 1. Menanam bunga di dalam pasu. 2. Menyimpan pisau di dalam laci. 3. Melancong ke Melaka. 4. Memasukkan duit ke dalam tabung. 5. Menyimpan duit di dalam tabung.
| Tatabahasa | 06.10.2015 |
Salam, saya dapati ada sedikit percanggahan antara jawapan yang diberikan di dalam PRPM ini dengan penerangan di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Contohnya, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, mi hailam ditulis mi Hailam dan bukannya mi hailam seperti yang pihak tuan jelaskan. Adakah ini bermakna terdapat ejaan baru yang tidak dikemas kini di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat? Dan bilakah edisi yang terkini dan terbaharu akan keluar jika begitu? Sekian, terima kasih. | Dalam Kamus Dewan Edisi Empat tiada entri untuk mi hailam tetapi ada entri mi iaitu sejenis bahan makanan yang rupanya seperti laksa tetapi biasanya berwarna kuning (diperbuat daripada tepung gandum). 2. masakan daripada mi; mi goreng, mi sup. "mi goreng" ada di dalam entri Dewan Bahasa Edisi Empat dan frasa ini sama konsep dengan "mi hailam" yang ditulis dengan huruf kecil. | Tatabahasa | 16.01.2013 |
Adakah perkattan "air" diftong atau vokal berganda? Terdapat percanggahan pada laman kidmat nasihat. Soalan tatabahasa bertarikh 13/1/2013 yang menggunakan pemenggalan air-air dan bukanya a-ir. Jawaban khidmat nasihat adalah diftong Tetapi pada soalan yang bertarikh 7/1/2013 untuk perkataan air. Jawaban khidmat nasihat adalah vokal berganding kerana dilafazkan sebagai a-ir. Mana yang betul? | Jawapan terbaharu dalam Khidmat Nasihat Bahasa betul. Maklumat yang kami peroleh adalah darpada penyusun buku Tatabahasa Dewan. Berlaku kesilapan fakta pada halaman 301 buku Tatabahasa Dewan dan hal ini akan diperbetulkan pada terbitan yang akan datang. | Tatabahasa | 25.01.2013 |
Terima kasih atas jawapan tuan terhadap soalan saya berkenaan "sumbang mahram". Merujuk fail yang saya lampirkan, terdapat percanggahan jawapan sebelum ini, dan saya mohon perbetulkan. Terima kasih. | Kami memohon maaf atas kekeliruan yang timbul. Kami mengucapkan terima kasih atas teguran tersebut dan akan perbetulkan . | Tatabahasa | 09.09.2013 |
Salam, manakah rujukan yang paling tepat /rujukan utama antara www. ejawi. net dan prpm.dbp. gov.my ?sebab ada percanggahan ejaan antara dua laman web ini. Terima kasih. :) | Kedua-dua perisian ini amat berguna sebagai wahana rujukan tulisan Jawi. Rujukan PRPM lebih berwibawa kerana mengikut Ejaan Jawi yang Disempurnakan dan diterbitkan oleh DBP. Walau bagaimanapun berlaku sedikit kesilapan teknikal yang melibatkan ejaan, contohnya perkataan "BERHAD". Tuan/puan boleh juga merujuk DAFTAR KATA BAHASA MELAYU RUMI-SEBUTAN-JAWI EDISI KEDUA. | Lain-lain | 18.12.2017 |
Saya ingin bertanya adakah singkatan bagi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di tulis JAKIM ataupun Jakim. Mohon jawapan berserta penjelasan daripada pihak tuan kerana terdapat percanggahan pendapat berhubung perkara ini di pejabat kami. Terima kasih. | Terdapat beberapa cara pembentukan akronim, iaitu: 1. Cantuman huruf awal pertama seperti ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) 2. Cantuman huruf dan suku kata perkataan seperti Perhilitan (Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) 3. Cantuman suku kata awal perkataan seperti Bernama (Berita Nasional Malaysia) Berdasarkan contoh yang tersebut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia termasuk dalam cara pembentukan yang kedua dan sewajarnya dieja Jakim. | Ejaan | 04.12.2013 |
Apakah maksud "Dewan" dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Selangor. adakah hanya dalam dewan bersidang atau termasuk perkarangan luar dewan. Bahan ilmiah kerana menjadi percanggahan antara YB dalam dewan ini. | Saudara Yussainy, Saudara perlu mengkaji dan meneliti maksud perkataan 'dewan' yang digunakan dalam konteks Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Selangor bersama-sama dengan ahli Dewan yang lain memandangkan persoalan yang timbul melibatkan penggunaan khusus dalam konteks yang dinyatakan. | Makna | 13.07.2009 |