Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[per.can.tu.man] | ڤرچنتومن

Definisi : perihal mencantumkan ba­hagian-bahagian yg berlainan menjadi satu (motokar dll); (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[per.can.tu.man] | ڤرچنتومن

Definisi : perihal bercan­tum, pertemuan, pertautan, pergabungan, perpaduan, penyatuan: aku akan terus berjuang utk ~ Singapura dgn Tanah Melayu; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[per.can.tu.man] | ڤرچنتومن

Definisi : keadaan atau hal bercantum; pergabungan; persatuan: Malaysia terdiri drpd ~ negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu dgn Sabah dan Sarawak. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata percantuman


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Persenyawaan ialah proses percantuman atau pencantuman nukleus sperma dengan nukleus ovum. Mohon penjelasan bagi penggunaan percantuman atau pencantuman. Terima kasihPenggunaan kata yang betul ialah percantuman, iaitu daripada kata dasar bercantum.Istilah01.09.2021
Mengikut yang terdapat di dalam prpm, cantum = percantuman bermaksud perihal mencantumkan bahagian-bahagian yang berlainan menjadi satu (misalnya motokar, dll). Adakah 'pencantuman' sesuai digunakan dalam proses mencantumkan bahagian-bahagian yang berlainan menjadi sebuah perabot, seperti almari pakaian, meja, kerusi, katil dsbnya? Terima kasih.Perkataan ‘pencantuman’ boleh digunakan sekiranya bersesuaian dengan konteks penulisan puan.Tatabahasa18.03.2021
Tuan, Ayat "Para tetamu dijemput untuk menjamu selera." dikira ayat majmuk tak?Ayat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan percantuman ayat-ayat itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 497.Tatabahasa16.06.2016
Bagaimana cara menggunakan kata hubung yang betul dalam ayat majmuk?

Ayat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan percantuman ayat-ayat itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu.  Terdapat dua jenis ayat majmuk yang terbentuk, iaitu ayat majmuk gabungan dan ayat majmuk pancangan. Ayat majmuk gabungan dihubungkan oleh kata hubung gabungan, manakala ayat majmuk pancangan dihubungkan oleh kata hubung pancangan.

Sila lihat contoh di bawah:

1.   Ayat majmuk gabungan:
     i.        Murid-murid berlari dan bernyanyi.
    ii.        Ahmad kurus tetapi adiknya gemuk.
    iii.       Encik Ali hendak ke sekolah atau hendak ke pejabat?

2.  
Ayat majmuk pancangan:
     i.        Ayat relatif:
               
Saya membeli baju yang berwarna merah.

    ii.        Ayat komplemen:
               Murid yang sakit itu telah pulang.

   iii.            iii.        Ayat keterangan:
               Dia bukan ketua saya ketika saya bekerja dahulu.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 497 - 519.

Tatabahasa20.04.2025
penerangan berkaitan jenis-jenis ayat majmuk beserta contoh

Ayat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan percantuman ayat-ayat ini disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu. Berdasarkan cara ayat majmuk itu dibentuk, terdapat tiga jenis ayat majmuk yang utama iaitu:

(1) Ayat majmuk gabungan, iaitu dua ayat atau lebih dijadikan satu ayat dengan cara menggabungkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, lalu lagi, serta dan sebagainya. Contoh ayat: “Saya minum teh dan Aminah makan nasi lemak.”

(2) Ayat majmuk pancangan terdiri daripada beberapa ayat yang kedudukan antara ayat itu tidak sama, iaitu terdapat satu ayat utama atau ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil lain yang dipancangkan di dalam ayat induk dan menjadi sebahagian daripada ayat induk tersebut. Ada tiga jenis ayat pancangan dalam bahasa Melayu yang ditentukan oleh cara pembentukan dan jenis ayat yang dipancangkan, iaitu ayat relatif, ayat komplemen dan ayat keterangan. Contoh ayat majmuk pancangan relatif: “Saya membeli baju yang berwarna merah.” Ayat “baju itu berwarna merah” dipancangkan ke dalam ayat induk “Saya membeli baju.” Oleh sebab ungkapan “baju” diulang, maka “baju” yang kedua digugurkan dan digantikan dengan kata hubung relatif yang.

(3) Ayat majmuk campuran pula mengandungi lebih daripada satu jenis ayat, yakni terdiri daripada campuran ayat majmuk dan deretan berbagai-bagai jenis ayat majmuk. Ayat jenis ini biasanya panjang,  contohnya: “Ahmad sedang membaca buku tetapi kawan-kawannya yang sudah letih lesu telah lama tidur. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, Bab 18 Ayat Majmuk (hlm. 497-523).

Tatabahasa11.01.2022
Saya furkon sabeh belajar di Universiti fatoni jurusan Bahasa Melayu ingin bertanya tentang tatabahasa apakah ayat majmukAyat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan percantuman ayat-ayat itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu.Tatabahasa17.11.2015
boleh tuan jelaskan apakah jenis-jenis proses pemajmukan?

Ayat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan percantuman ayat-ayat itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu. Terdapat tiga jenis ayat majmuk berdasarkan cara  ayat tersebut dibentuk iaitu:   

1. Ayat majmuk gabungan iaitu menggabungkan dua ayat atau lebih kepada satu ayat dengan cara  mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi dan sebagainya. Contohnya: Saya minum teh dan Aminah makan nasi lemak.  

2. Ayat majmuk pancangan ialah ayat yang terdiri daripada satu klausa bebas (ayat induk) dan satu klausa tak bebas (ayat kecil). Terdapat tiga jenis ayat majmuk pancangan iaitu; i). Ayat (majmuk pancangan) relatif menggunakan kata hubung yang, contohnya: Saya membeli baju yang berwarna merah (Saya membeli baju + yang + Baju itu berwarna merah). ii). Ayat (majmuk pancangan) komplemen ialah ayat majmuk yang mempunyai bahagian komplemen yang menggunakan kata hubung bahawa dan untuk. Bahagian komplemen berfungsi sebagai unsur yang melengkapkan ayat tersebut. Contohnya: Dia mengetahui bahawa Ahmad telah bersara. (Dia mengetahui (sesuatu) + bahawa (kata hubung komplemen) + Ahmad telah bersara). iii). Ayat (majmuk pancangan) keterangan pula ialah ayat majmuk yang mempunyai ayat keterangan atau klausa keterangan di dalamnya dan disambungkan dengan kata hubung ketika, kerana, jika, dengan dan sebagainya. Contohnya: Saya tidak dapat hadir kerana saya kurang sihat (Saya tidak dapat hadir + kerana (kata hubung keterangan) + Saya kurang sihat.)

3. Ayat majmuk campuran ialah ayat mempunyai lebih daripada satu jenis ayat yang terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan beberapa majmuk atau berbagai-bagai deretan ayat majmuk. Contohnya: Dia sedang membaca buku tetapi kawan-kawannya yang sudah letih lesu telah lama tidur. Untuk maklumat lebih terperinci sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, bab 18 Ayat Majmuk (halaman 497-522).

 

Tatabahasa12.12.2020
Salam. Saya mahukan kepastian berhubung makna "tut". Menurut Kamus Dewan, tut ialah hasil drpd mencantumkan tunas drpd satu pokok pd pokok yg lain yg sama jenisnya (supaya menjadi pokok yg lebih baik). Sedangkan, proses tut tidak melibatkan percantuman tunas. Salah seorang panel saya mengatakan proses mencantumkan tunas itu merupakan proses "kahwin". Tut hanya dibuang kulit pada batang, ditempekkan tanah pada kawasan tersebut sehingga tumbuh akar, kemudian batang tersebut dipotong untuk ditanam di tanah. Oleh itu, mohon kerjasama pihak DBP untuk membuat pengesahan berhubung kekeliruan makna ini. Sekian, terima kasih.Salam,

Untuk makluman, pihak kami biasanya akan memegang apa yang terakam dalam kamus sebagai rujukan. Akan tetapi, kami mengucapkan terima kasih atas makluman yang diberikan. Kami akan mengambil maklum akan hal tersebut dan cuba mengajukannya kepada bahagian yang terlibat untuk membuat semakan.
Makna27.11.2015
Bagaimana dapat kita pastikan sst SUBJEK harus digugurkan semasa menggabungkan dua ayat tunggal menjadi satu ayat majmuk? Apakah hukum yg boleh saya rujuki?Ayat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan percantuman ayat-ayat itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu.

Untuk makluman, jika ayat-ayat yang digabungkan mempunyai unsur yang sama dan diulang, maka bahagian yang sama itu boleh digugurkan. Contoh:

1. Ali pandai bermain bola
2. Ali pandai bermain hoki

boleh dihasilkan ayat:

Ali pandai bermain bola dan hoki. 

Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 497.
Tatabahasa20.10.2015
saya Nasihah kortor sedang belajar pusat bahasa melayu periagkat dasar selatan Thailand,ingin bertanya tatbahasa Melayu,apakah maksud ayat majmuk serta contohnya.terima kasihAyat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan percantuman ayat-ayat itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu. Contoh ayat majmuk: Ali sedang membaca buku dan Fatimah sedang membuat latihan matematik. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 497.Tatabahasa20.11.2013
1234

Kembali ke atas