Bagaimanakah penggunaan 'berapa' dan 'betapa' berbeza? Bolehkah 'how easily can you solve it' diterjemahkan sebagai 'berapa mudahkah anda dapat menyelesaikannya?' atau adakah lebih betul jika kita menggunakan 'betapa'? Terima kasih | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat perkataan berapa bermaksud 1. kata tanya untuk menanyakan jumlah 2, sebanyak mana, sebesar apa 3. bagaimana, betapa, Perkataan betapa bermaksud 1. peri, alangkah 2. sesuai dengan,seperti 3. bagaimana,dengan cara apa. Ayat yang dikemukakan lebih sesuai diterjemahkan sebagai ' betapa mudahkah anda dapat menyelesaikannya? | Tatabahasa | 12.06.2008 |
Bagaimanakah nak kelaskan morfem bebas dengan morfem terikat. Adakah apitan dikira 1 @ 2 morfem? Umpamaya perkataan ,'berperikemanusiaan' dikira sebanyak 4 morfem, adakah apitan 'ke...an' dianggap 1? | Morfem ialah satuan terkecil dalam bahasa yang mempunyai erti atau fungsi tertentu, seperti perkataan perumahan terdiri daripada satu morfem bebas iaitu perkataan rumah dan dua morfem terikat iaitu pe(r)- dan -an. Bagi perkataan berperikemanusiaan, terdapat lima morfem , iaitu ber- + peri + ke- + manusia + -an; dua morfem bebas, iaitu peri dan manusia serta tiga morfem terikat, iaitu ber-, ke- dan -an. | Tatabahasa | 20.05.2011 |
1. Mengapakah dalam buku Tatabahasa Dewan menyatakan bahawa kata terbitan yang menerima imbuhan apitan terdiri daripada 3 morfem, contohnya 'berkakikan' dikatakan terdiri daripada morfem ber+kaki+kan sedangkan jika diteliti imbuhan apitan beR-...-kan wujud sebagai 1 morfem. Oleh yang demikian saya inginkan kepastian bahawa adakah semua imbuhan apitan dikira sebagai 1 morfem ataupun 2 morfem? Sekian terima kasih. | Morfem ialah satuan terkecil dalam bahasa yang mempunyai erti atau fungsi tertentu, seperti perkataan perumahan terdiri daripada satu morfem bebas iaitu perkataan rumah dan dua morfem terikat iaitu pe(r)- dan -an. Bagi perkataan berperikemanusiaan, terdapat lima morfem , iaitu ber- + peri + ke- + manusia + -an; dua morfem bebas, iaitu peri dan manusia serta tiga morfem terikat, iaitu ber-, ke- dan -an. Semua imbuhan dikira satu morfem terikat kerana tidak dapat berdiri dengan sendiri dan tiada makna. Berkakikan mempunyai tiga morfem iaitu dua morfem terikat (ber dan kan) dan satu morfem bebas (kaki). | Tatabahasa | 11.01.2013 |
Salam. 1. Manakah ayat salah dan apakah rumusnya? a. ...boleh berhubung dengan saya di talian 0179040418 b. ...boleh berhubung dengan saya atas talian 0179040418 2. Manakah kedua-dua tajuk surat di bawah betul dan apakah rumusnya? a. URUSAN MEMBUKA TENDER KEBERSIHAN... b. PENGURUSAN PEMBUKAAN TENDER KEBERSIHAN.. c. URUSAN PEMBUKAAN TENDER KEBERSIHAN... Mesej yang dikehendaki adalah memaklumkan urusan membuka peti tender yang akan berlangsung. | 1. Ayat yang gramatis ialah ... berhubung dengan saya melalui talian ..., kata sendi nama di diikuti dengan tempat seperti di Kuala Lumpur dan kata atas menunjukkan keterangan tempat seperti atas meja. 2. Urusan Membuka Tender Kebersihan merujuk urusan perbuatan membuka tender, manakala Urusan Pembukaan Tender Kebersihan merujuk urusan proses atau peri hal perbuatan tersebut. Lazimnya dalam penamaan frasa dalam bentuk kata nama yang sering digunakan seperti Pembukaan Tender Kebersihan. | Tatabahasa | 06.11.2012 |
ingin bertanya sama ada perkataan untuk "apom" atau "apong" lebih tepat. | Sdr, Mengikut sumber kami, tiada perkataan atau istilah dalam bahasa Melayu "apom" atau "apong". Walau bagaimanapun, mengikut takrifan Kamus Dewan, kata apung ialah1. terkatung, tidak tenggelam di air; batu ~ batu yg tidak tenggelam (sangat ringan); 2. = apung-apung segala yg terkatung-katung di air (mis kayu, pelampung, dll); ~ buih timbul tenggelam; laksana ~ dipermainkan ombak prb peri kesusahan anak dagang yg miskin di rantau orang. Manakala kata apam ialah sejenis kuih yang dibuat daripada campuran tepung gandum, gula hangus, telur, soda kuih, dsb dan dikukus. | Istilah | 30.03.2009 |