Mengenai peristilahan, jika istilah bahasa asing tersebut merupakan pinjaman tulen tidak asimilasi ke dalam bahasa Melayu, perlukah dieja miring? Contohnya, bona fide esprit de corps fait accompli weltanschauung aspirin dan juga, Wikipedia, Facebook, Whatsapp. Terima Kasih | Ejaan miring (italic) boleh digunakan untuk istilah atau perkataan yang tiada padanannya dalam bahasa Melayu, tetapi untuk kata nama seperti Facebook, Wikipedia dan seumpamanya tidak perlu ejaan miring (italic) hanya menggunakan huruf besar pada pangkal. | Ejaan | 10.05.2020 |
Adakah peristilahan melayu membezakan rabbit dan hare (mungkin rabbit itu arnab dan hare itu kelinci) sepertimana katak yakni frog dibezakan dengan kodok yakni toad atau rama - rama yakni moth dibezakan dengan kupu-kupu yakni butterfly? Selain itu, adakah bahasa melayu membezakan antara crocodile dan alligator? (saya tahu crocodile itu buaya, mungkin alligator mempunyai nama lain dalam bahasa melayu standard atau dialek atau bahasa rumpun yang lain). | Rabbit diberikan padanan arnab, iaitu nama sejenis binatang pengunggis, suka memakan sayuran; Lepus cuniculus. Hare pula diberikan padanan kelinci, iaitu sejenis binatang yang mengunggis, sejenis arnab, nama saintifiknya Oryctolagus cuniculus. Crocodile diberikan padanan buaya, iaitu daripada subkeluarga Crocodylinae. Alligator dalam bahasa Melayu diberikan padanan alligator, iaitu daripada keluarga Alligatoridae. Sila buat kajian lanjut jika anda berminat. | Istilah | 20.10.2018 |
kerelevanan peristilahan dan sistem ejaan rumi Bahasa Melayu dalam konteks kurun ke-21 dan cabarannya. | Secara umumnya selagi bahasa Melayu ini terus berkembang selagi itulah segala aspek perancangan bahasa dan sistem yang terkandung di dalamnya turut berkembang dan relevan penggunaannya dalam kalangan masyarakat. Walau bagaimanapun persoalan saudara ini perlu dijawab melalui kajian dan pembacaan yang banyak, saya sarankan saudara rujuk buku/makalah yang berkaitan juga kajian sarjana dan kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar bahasa dan linguistik. | Lain-lain | 20.11.2010 |
Saya ingin tahu SumbanganDBP dalam Pembinaan Bahasa Melayu | Usaha pembinaan bahasa Melayu dibuat melalui kerja-kerja peristilahan, perkamusan dan penyelidikan. Dalam bidang peristilahan jutaan istilah digubal dalam pelbagai bidang, buku, glosari dan kamus istilah diterbitkan. Bidang perkamusan pula memperlihatkan penyusunan dan penerbitan Kamus ekabahasa,dwibahasa, kamus besar(peringkat penyusunan) dll.. Dalam bidang penyelidikan kerja-kerja pengumpulan data korpus, kajian dialek, kajian laras dan gaya bahasa dll. dilaksanakan. | Lain-lain | 21.04.2008 |
"Teacher's Sense of Academic Optimism" dicadangkan istilah dalam bahasa Melayu "Sikap Optimistik Akademik Guru" untuk dikemukakan kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP. | Setelah berbincang dengan Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, padanan bahasa Melayu yang dicadangkan ialah Sikap Guru Optimis Akademik. | Istilah | 27.07.2016 |
Salam sejahtera. Bolehkah saya tahu padanan istilah yang sesuai bagi "session musician" dan "performing artist" yang digunakan dalam bidang seni? Terima kasih | Soalan tuan/puan akan dipanjangkan ke Bahagian Peristilahan untuk mendapatkan istilah yang tepat. Istilah yang ditanyakan itu tiada dalam kamus istilah muzik terbitan DBP lagi. Bahagian Peristilahan akan menghubungi tuan/puan melalui e-mel. Terima kasih. | Istilah | 09.12.2014 |
Sdr, Daripada segi kesantunan berbahasa dan peristilahan, yang mana satukah yang lebih wajar digunakan: "Orang Kurang Upaya atau Orang Kelainan Upaya" bagi merujuk kepada OKU? Sekian Terima kasih. | Yang telah mantap penggunaannya bagi OKU ialah Orang Kurang Upaya. | Istilah | 08.06.2010 |
Latar belakang penubuhan DBP dan peranan DBP dalam pembentukan peristilahan di Malaysia. | Untuk mengetahui latar belakang penubuhan DBP, sila rujuk buku atau makalah yang berkaitan di perpustakaan berdekatan dan Pusat Dokumentasi Melayu DBP. Peranan DBP dalam pembentukan istilah antaranya ialah mengadakan pertemuan dengan pelbagai agensi seperti univeristi yang melibatkan pakar-pakar bidang untuk membentuk sesuatu istilah. Di samping itu juga, DBP berperanan untuk mencetak dan menyebarkan sesuatu istilah kepada masyarakat. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku yang berkaitan. Harap maklum. | Lain-lain | 31.07.2008 |
adakah perkataan 'target' sudah dimelayukan? | Dalam ungkapan umum dan kebanyakan bidang peristilahan, perkataan yang betul ialah sasaran. Perkataan target boleh digunakan dalam konteks ilmu, contohnya apabila membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan bidang ekonomi. | Istilah | 19.12.2013 |
Apakah terjemahan untuk istilah cross-dresser? | Soalan saudara akan diajukan kepada bahagian Peristilahan. Jawapan kemungkinan mengambil masa dan akan dijawab melalui e-mel. Untuk makluman, DBP tidak membuat kerja-kerja penterjemahan. Untuk soalan terjemahan akan datang saudara boleh bertanya kepada Persatuan Penterjemah Malaysia (03-21442506/21424381) atau kepada ITBM, iaitu Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, (03-41451800) | Istilah | 18.07.2014 |