| Apakah itu konsep peristiwa bahasa? | Secara amnya peristiwa bahasa merujuk kepada sesuatu kejadian yang berkaitan dengan perkembangan bahasa. | Lain-lain | 04.11.2010 |
| Apakah yang dimaksudkan dengan peristiwa bahasa?Boleh berikan contoh-contohnya | Secara umumnya peristiwa bahasa bermaksud peristiwa yang dikaitkan dengan isu-isu bahasa dan memberi kesan kepada perkembangan/status bahasa seperti Kongres Bahasa Kebangsaan. | Makna | 30.10.2010 |
| apakah maksud peristiwa bahasa? adakah contoh yang saya berikan di bawah betul ayat - adik makan roti benggali bawah rumah (intonasi mengubah semantik ayat) maksud 1 Adik makan roti, benggali bawah rumah maksud 2 Adik makan roti benggali bawah rumah | Peristiwa bahasa merujuk kepada sesuatu kejadian yang berkaitan dengan perkembangan bahasa. Contoh ayat tersebut betul tetapi perlu ada kata sendi di untuk melengkapkan kedua-dua makna ayat tersebut. 1. Adik makan roti, benggali di bawah rumah maksud 2. Adik makan roti benggali di bawah rumah. | Tatabahasa | 05.11.2010 |
| bagaimana cara saya hendak mendapatkan contoh peristiwa bahasa? | Terima kasih atas soalan anda. Anda boleh datang ke Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka dan merujuk pada bahan seperti dibawah : 1. Peristiwa Bahasa / Darwis Harahap; DBP; 1989 2.100 tahun pergerakan bahasa dan sastera Melayu 1888-1988 3. Perjuanganmu disanjung (buku cenderamata khas ulang tahun DBP ke 40 tahun) | Lain-lain | 19.10.2010 |
| Apakah kata ganti nama yang digunakan oleh putera/puteri negara lain ketika bercakap dengan raja/ratu negara lain? Adakah 'patik', 'beta' atau hamba? | Dalam bahasa diraja, sesuatu peristiwa bahasa yang melibatkan komunikasi antara dua orang Sultan, gerak rujukan setara tidak berlaku. Ini kerana salah seorang daripada baginda berdua akan meletakkan diri Baginda sebagai rendah pangkat dari segi umur atau hubungan kekeluargaan. Dengan demikian, salah seorang akan merujuk diri sendiri sebagai “adinda” atau “anakanda”, dan dengan itu Baginda yang seorang lagi akan dirujuk sebagai “kakanda” atau “ayahanda”. | Tatabahasa | 30.11.2014 |
| Saya ingin memohon penjelasan tentang frasa berikut: 1) "....dalam kalangan murid" 2) "....di kalangan murid" frasa manakah yang sepatutnya digunakan? Terima kasih. | Puan Rosita Md. Zin, Frasa yang betul ialah dalam kalangan murid. Hal ini demikian, kerana perkataan dalam ialah kata sendi. Perkataan ini digunakan untuk "tempat yang tidak mempunyai ruang atau jarak", seperti perkara, peristiwa, bahasa, bidang, dan sebagainya. Contoh ayat: (1) Sekolah kami turut serta dalam pertandingan pidato peringkat kebangsaan pada tahun ini. (2) Adik saya mempunyai bakat dalam penulisan. Manakala di dalam ialah frasa atau rangkai kata yang terdiri daripada dua perkataan. Perkataan pertama ialah kata sendi di dan perkataan kedua ialah kata arah dalam. Dalam penggunaannya, di dalam merujuk ruang tertentu. Contoh ayat: (1) Adik saya menyimpan buku-bukunya di dalam almari. (2) Semua murid sekolah dikehendaki berkumpul di dalam dewan besar. | Tatabahasa | 25.03.2009 |
| Selamat Pagi. Yang manakah betul: negeri-negeri dalam/di Lingkungan Pasifik? Terima kasih. | Kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama. Antara kata sendi nama yang lazim digunakan dalam bahasa Melayu ialah di, ke, dalam, dari, daripada dan kepada. Setiap kata sendi nama mempunyai tugas dan fungsi yang berlainan dan penggunannya ditentukan oleh peraturan yang khusus. Kata sendi nama "dalam" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak seperti hal, perkara, urusan, peristiwa, bahasa, bidang dan sebagainya. Contoh penggunaan: - Dalam hal ini, kami semua setuju.
- Perkara itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat yang lalu.
- Malaysia pernah terperangkap dalam kegawatan ekonomi.
- Hassan sudah lama berkecimpung dalam bidang seni lakonan.
Kata sendi nama "di" digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Kata sendi nama ini ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya, contohnya; di bawah, di sekolah, di dalam hutan, di antara negeri Johor dengan Singapura. Berdasarkan soalan tersebut, cadangan jawapan yang sesuai ialah “negeri-negeri dalam lingkungan Pasifik”.
| Lain-lain | 14.06.2023 |
| Saya Norihan Ha Belajar Bahasa Melayu Dasar Ingin Bertanya Bahasa Melayu Apakah Makna Peristiwa Terimokasih | Peristiwa bermaksud sesuatu (hal dan lain-lain) yang berlaku (menarik perhatian dan lain-lain), kejadian, perkara. | Makna | 28.10.2015 |
| polimik tentang bahasa melayu atau bahasa malaysia. apa yang sebenarnya berlaku sehingga timbul isu bahasa melayu yang di tukar menjadi bahasa malaysia? adakah peristiwa yang berlaku di sebalik pertukaran nama bahasa? | Mohon agar saudara membuat rujukan pada Akhbar Berita Harian, Selasa 5 Jun 2007 tajuk - Bahasa Malaysia Untuk Semua. | Lain-lain | 24.08.2007 |
| Menurut peristiwa sejarah sesebuah negara meluaskan pengaruh dan wilayah dengan menjajah negara lain .Impaknya,anak-anak mereka akan mencintai negara kita untuk meningkatkan kebolehan dan kemahiran diri supaya dapat mengharumkan nama negara di watan Malaysia kerana anak-anak merupakan pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara.Ibu bapa semestinya meneruskan untuk membangkitkan semangat cinta akan negara untuk anak . Selain itu ibu bapa harus mengubah sikap dan lebih prihatin dalam situasi negara.Di negeri Malaysia,anak sering bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.Anak kerap menitikberatkan dan menjaga diri sahaja.Hal ini dikatakan demikian kerana anak tidak memberi prihatin dalam berita atau peristiwa yang dihadapi oleh kerajaan atau masyarakat.Anak kerap mengambil benar dalam peristiwa yang tidak berguna dalam media massa British media cetak media elektronik dan media alternatif.Video-video dan berita yang banyak akan mencermakan minda anak-anak mereka. Salam,Saya nak tahu akan semua ayat ada kesalahan tatabahasa atau kesalahan istilah tak?Jika ada,bolehkah membetulkan kesalahan yang saya buat.Terima kasih. | Menurut peristiwa sejarah, sesebuah negara meluaskan pengaruh dan wilayah dengan menjajah negara lain. Impaknya, anak-anak akan mencintai negara untuk meningkatkan kebolehan dan kemahiran diri supaya dapat mengharumkan nama Malaysia kerana anak-anak merupakan harapan bangsa dan pengemudi negara. Ibu bapa perlu membantu untuk membangkitkan semangat cinta akan negara. Selain itu, ibu bapa harus mengubah sikap dan lebih prihatin dalam sesuatu keadaan di dalam negara. Di Malaysia, anak-anak sering bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Anak-anak kerap menitikberatkan dan menjaga diri sahaja. Hal ini kerana anak-anak tidak memberikan prihatin dalam berita atau peristiwa yang dihadapi oleh kerajaan atau masyarakat. Anak-anak kerap mengambil berat dalam peristiwa yang tidak berguna dalam media massa British sama ada melalui media cetak, media elektronik dan media alternatif. Video-video dan berita yang tidak ditapis akan mencemarkan minda anak-anak. Puan perlulah banyak membaca bahan bacaan bahasa Melayu untuk menambah baik penguasaan bahasa Melayu. Sila rujuk Kamus Dewan dan buku Tatabahasa Dewan untuk rujukan. | Tatabahasa | 27.01.2021 |