Adakah ranjau sama erti dengan periuk api? Jika ya, adakah ranjau padanan sesuai untuk 'landmine'/'mine'? | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat maksud ranjau ialah 1. Benda tajam (daripada besi, buluh, dan lain-lain) yg dipasang di tanah dan lain-lain untuk melukai orang. 2. Sejenis alat letupan (peledak) yang ditanam di darat (dipasang di laut). 3. Sesuatu yang dibuat untuk mencelakakan orang atau tipu daya. Manakala maksud land mine pula ialah bermaksud ranjau letupan darat dan maksud mine pula ialah lombong atau periuk api | Makna | 23.10.2018 |
Assalamualaikum. 1. Perkataan menjerang diertikan sebagai "meletakkan periuk (dll) di atas api untuk memasak". (Kamus Dewan edisi 4). Adakah ia bermaksud perkataan menjerang boleh digunakan untuk memasak apa-apa sahaja (nasi, air, lauk-pauk)? Tidak khusus untuk air? 2. Kamus Dewan edisi 4: Menanak bermaksud "memasak nasi (dlm periuk, kawah, dll). Kamus Pelajar Edisi 2: Menanak bermaksud "memasak dlm periuk, kawah dll (khasnya nasi)". Malah diberikan contoh menanak kentang dan menanak santan. Adakah perkataan menanak juga boleh digunakan untuk tujuan memasak apa-apa sahaja, tidak khusus untuk nasi? | 1. Perkataan menjerang juga bermaksud memasak. Oleh itu, ia tidak khusus untuk menjerang air sahaja. 2. Perkataan menanak tidak khusus untuk menanak nasi sahaja. Jika memasak sesuatu dengan hanya merebus sahaja, perkataan menanak juga boleh digunakan. | Lain-lain | 29.03.2021 |
Salam sejahtera. Saya ada sedikit kemusykilan mengenai penggunaan penjodoh bilangan bagi ayat-ayat di bawah: 1. Salmah mencantas dua pelepah daun pisang di kebunnya. 2. Ibu memasukkan satu pot beras ke dalam periuk. 3. Terdapat tiga sangkar burung di rumah datuk. 4. Suraya membeli satu set pinggan mangkuk di kedai itu. 5. Di tepi tangga itu terdapat satu tabung alat pemadam api. Bolehkah pelepah, pot, sangkar, set dan tabung digunakan sebagai penjodoh bilangan dalam ayat di atas? Harap soalan ini dapat dijawab dengan segera. Sekian, terima kasih. | Untuk makluman, perkataan pelepah, pot, sangkar, set dan tabung tidak boleh digunakan sebagai penjodoh bilangan. Penjodoh bilangan ialah kata nama tunggal yang menjadi pasangan pada kata bilangan untuk menjadi sejenis penerang bentuk atau keadaan pada kata nama ynag mengikutinya. Contohnya, dalam ayat pertama, penjodoh bilangan yang betul ialah batang (Salmah mencantas dua batang pelepah daun pisang di kebunnya. ) | Tatabahasa | 31.10.2013 |
Perbezaan makna kukus, rebus, bakar dan goreng. | Assalamualaikum, Merujuk kepada soalan puan, perbezaan makna perkataan kukus, rebus, bakar dan goreng dijawab berdasarkan penggunaan kata dalam bidang masakan: 1. kukus (makna ke-4 lihat mengukus) Makna mengukus - memasak atau memanaskan sesuatu dengan menggunakan wap air mendidih Contoh ayat - Memasak dengan cara mengukus dapat mengekalkan rasa dan zat bahan yang digunakan dalam sesuatu makanan. 2. rebus (makna ke-2 lihat merebus) Makna merebus - memasak (sesuatu) dalam air yang mendidih supaya masak, empuk dan sebagainya Contoh ayat - Nenek merebus jagung yang sudah dibuang kulitnya. 3. bakar (makna ke-2 lihat membakar) Makna membakar - memasak (sesuatu) dengan meletakkannya di atas api atau di dalam alat yang mengandungi haba, misalnya ketuhar Contoh ayat - Zamri sedang sibuk membakar sate bersama pekerjanya. 4. goreng (makna ke-3 lihat menggoreng) Makna menggoreng - memasak (telur, ikan, ayam dan sebagainya) dengan memasukkannya ke dalam kuali atau periuk yang mengandungi minyak Contoh ayat - Kak Halimah menggoreng pisang nangka. Puan disarankan merujuk Kamus Dewan Perdana untuk mendapatkan lebih maklumat mengenai kata. Terima kasih. | Makna | 02.11.2024 |