| Salam 1Malaysia, Tuan, 1. 'Pendrive' atau 'Thumbdrive' dalam bahasa Melayu, apa? 2. 'online' merujuk kepada atas talian atau dalam talian? Terima kasih. | 1.Berdasarkan Kamus Teknologi Maklumat (Perkakasan), pemacu pena (pendrive) dan pemacu jari(thumbdrive) adalah sama. Huraian yang diberikan adalah seperti yang berikut: Pemacu berasaskan ingatan kilat yang diintegrasikan dengan antara muka USB. Pemacu ini biasanya kecil seperti pena atau jari, ringan dan mudah bawa. Kapasiti pemacu ini bermula dengan 8 MB pada tahun 1998 dan pada tahun 2006 berkapasiti 64 GB. Pemacu ini biasanya disambung pada komputer melalui port USB. Pemacu ini diperkenalkan pada tahun 1998 oleh Dov Moran. 2. Istilah bahasa Melayu yang betul untuk "online" ialah dalam talian. | Istilah | 03.04.2012 |
| MOHON PANDANGAN DARI PIHAK TUAN, PENGGUNAAN BAHASA BERIKUT YANG MANA SESUAI BAGI DILETAKAN DI PAPAN IKLAN KEDAI KOMPUTER. 1. PUSAT PENYELENGGARAAN KOMPUTER 2. PUSAT SERVIS KOMPUTER 3. PENYELENGARAAN KOMPUTER 4. PENJUAL BARANGAN DAN AKSESORI KOMPUTER 5. MENJUAL BARANGAN DAN PERALATAN KOMPUTER 6. MENJUAL PERKAKASAN KOMPUTER 7. PENJUAL KOMPUTER 8. MENJUAL KOMPUTER | Penggunaan bahasa Melayu yang betul bergantung pada aktiviti perniagaan yang dijalankan. Sekiranya kedai tersebut menjual komputer dan tidak ada perkhidmatan lain seperti penyelenggaraan atau servis komputer, keterangan aktiviti yang sesuai ialah KEDAI KOMPUTER atau PENJUAL KOMPUTER. Sekiranya kedai tersebut hanya menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan atau servis komputer, keterangan aktiviti yang sesuai digunakan ialah PUSAT PENYELENGGARAAN KOMPUTER atau PUSAT SERVIS KOMPUTER.
| Lain-lain | 13.10.2015 |
| Apakah beza penyenggaraan dan penyelenggaraan? Adakah 'penyelenggaraan' lebih sesuai digunakan untuk peralatan komputer seperti PC, Server, Firewall dsb. dan adakah 'penyenggaraan' lebih sesuai digunakan ke atas sistem aplikasi? | Penyenggaraan bermaksud 1. penyelenggaraan, pengurusan, pengusahaan, pengelolaan, pengaturan, pengendalian, pentadbiran, pelicinan, pemberesan, penyusunan, penjagaan, pengawasan. Akasnya ialah pembengkalaian. Penyelenggaraan bermaksud 1. pengurusan: pengusahaan, pengelolaan, pelaksanaan, pengaturan, pengendalian, pentadbiran, pelicinan, pemberesan, penyusunan. Akasnya ialah pembengkalaian. 2. pemeliharaan: pembelaan, penjagaan, perawatan, perlindungan, pertolongan, penaungan, pengawasan. Akasnya ialah penderaan. Walaupun perkataan penyenggaraan dan penyelenggaraan mempunyai maksud yang sama bagi mengelakkan pembengkalaian, tetapi perkataan penyenggaraan lebih sesuai untuk kerja yang melibatkan peralatan atau perkakasan dan pengetahuan sains dan teknologi. Contohnya: penyenggaraan komputer, web, sistem, dan jentera. Penyelenggaraan boleh dilaksanakan oleh orang atau organisasi. Contohnya: penyelenggaraan taman, harta, pesakit, dan pameran. Untuk bidang komputer, perkataan penyenggaraan lebih digunakan. Perkataan penyelenggaraan boleh digunakan tetapi hendaklah sesuai mengikut konteks tugas yang dilaksanakan. | Makna | 28.04.2011 |
| assalamualaikum maaf sy mengganggu... saya ingin membuat semakan berkenaan dengan gelaran bagi memo rasmi kerajaan... penerima memo adalah 4 orang pegawai lelaki...jadi, di dalam kandungan memo tersebut, panggilan perlu "tuan" sahaja atau "tuan-tuan"? saya bagi contoh ayat di dalam memo tersebut : Sehubungan itu, bagi memastikan tugas dan tanggungjawab Jawatankuasa Spesifikasi dilaksanakan selaras dengan PP – PK2.1, sukacita tuan-tuan dilantik bagi menganggotai Jawatankuasa Spesifikasi bagi Perolehan Perkhidmatan Penyelenggaraan Perkakasan Dan Perisian ICT Bagi Tempoh Tiga Puluh Enam (36) Bulan Di Institut Latihan Keselamatan Perlindungan Malaysia (ILKEM). 4. Senarai tugasan dan tanggungjawab sebagai Jawatankuasa Spesifikasi adalah seperti di LAMPIRAN A. Pelantikan tuan-tuan selaku Jawatankuasa Spesifikasi ini adalah tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88). Oleh yang demikian, tuan-tuan diingatkan supaya tidak mendedahkan apa-apa maklumat sulit berkaitan perolehan Kerajaan ini. Bersama-sama ini dilampirkan integrity pact untuk ditandatangani dan diserahkan kembali kepada pihak urus setia untuk tindakan selanjutnya. 5. Kerjasama tuan-tuan berhubung perkara ini amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih. adakah penggunaan tuan-tuan yang lebih tepat atau hanya tuan sahaja? terima kasih atas maklum balas. | | Kata sapaan yang digunakan hanyalah “tuan”, tidak perlu dijamakkan sebagai tuan-tuan kerana kata sapaan ini ditujukan kepada setiap seorang penerima sebagai individu yang disenaraikan bersama-sama penerima yang lain dalam satu memo. Untuk makluman puan, contoh ayat yang diberikan didapati mengandungi banyak kesalahan tatabahasa. Mohon rujuk buku terbitan DBP seperti Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008), Modul Asas Tatabahasa dan Asas Penulisan Dokumen Rasmi (2016) serta buku pedoman terbitan DBP yang lain sebagai panduan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam penulisan dokumen rasmi. | | Tatabahasa | 22.04.2026 |