Saya mempunyai beberapa pertanyaan dan cadangan. 1. Adakah perkataan-perkataan yang bertanda “id” seperti perkataan “bisa” yang membawa maksud “boleh” dikira sebagai kata pinjaman dari bahasa Indonesia dan boleh digunakan dalam bahasa Melayu? 2. Adakah perkataan “karna” yang bertanda bp merupakan kata serapan dari bahasa Indonesia? Atau ianya bahasa percakapan dalam kalangan penutur bahasa Melayu? 3. Adakah perkataan “apakah” dan “adakah” mempunyai makna yang sama? 3. Saya ingin mencadangkan kepada pihak DPB untuk menyerap dan merakamkan perkataan “ghibah” yang bermaksud mengumpat dalam bahasa Arab di dalam Kamus Dewan sebagai alternatif/sinonim bagi perkataan “umpat”. | 1. Bahasa Indonesia (yang berlabel Id dalam kamus DBP) dikategorikan sebagai bahasa serumpun dan mempunyai ciri-ciri yang sama dengan bahasa Melayu. Pengguna bahasa boleh menggunakan kata-kata daripada bahasa serumpun tersebut dalam berkomunikasi, yang sesuai dengan khalayak, makna dan konteksnya. 2. Kata karna dalam kamus terbitan DBP ialah penggunaan masyarakat dalam bahasa percakapan atau bahasa basahan dalam bahasa Melayu. 3. Kata apakah dan adakah tidak mempunyai makna yang sama. Sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020; 11 dan 124) dan Tatabahasa Dewan. 4. Kata ghibah telah pun terakam dalam kamus terkini terbitan DBP; Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020; 684) seperti yang berikut: ghibah kata nama kata-kata yang dituturkan untuk memburuk-burukkan orang lain di belakangnya, biasanya boleh menimbulkan kemarahan, dendam dan sebagainya; umpat: Islam mengharamkan ghibah kerana boleh mengakibatkan perbalahan dan menimbulkan permusuhan. | Makna | 27.05.2023 |
Senaraikan dan bincangkan perkataan-perkataan yaang masih digunakan sekarang. | Sila perincikan soalan puan. Bagi maklumat tentang ejaan dan maksud perkataan, sila rujuk Kamus Dewan Perdana, manakala bagi persoalan tentang tatabahasa pula puan boleh merujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Lain-lain | 29.08.2023 |
Salam DBP. Saya keliru dengan perkataan Parkir. Perkataan ini kalau dibuat carian DBP online ada terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Maknanya perkataan ini diiktiraf sebagai perkataan Bahasa Melayu. Tapi kenapa dalam kategori Khidmat Nasihat, perkataan ini adalah perkataan Bahasa Indonesia dan tempat letak kereta adalah Bahasa Melayu. Kewujudan perkataan Parkir dalam Kamus Dewan Edisi Keempat mengelirukan. Mungkin ini juga punca penggunaan perkataan Parkir banyak digunakan di Malaysia. Mohon pencerahan. Terima kasih. | Takrif parkir dalam kamus DBP: parkir tempat atau kawasan khas yang disediakan untuk meletakkan kereta, motosikal dan sebagainya untuk beberapa waktu, yang kadangkala dikenakan bayaran; tempat letak kereta (KDP 2020:1621) parkir IB; memarkir menghentikan (menyimpan) kereta: sebuah teksi diparkir; mobil saya diparkir di pinggir jalan; parkiran tempat menghentikan (menyimpan) kereta. (KD-4 2005: 1142) Perkataan parkir telah digunakan secara meluas oleh masyarakat dan banyak terdapat dalam bahan-bahan korpus bahasa Melayu. Dalam kamus bahasa Melayu terkini DBP, iaitu Kamus Dewan Perdana kata parkir diberikan sinonim tempat letak kereta. Parkir dan tempat letak kereta telah sama banyak digunakan dalam korpus lisan mahupun tulisan. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat yang terbit pada tahun 2005, parkir diletakkan label IB kerana pada masa tersebut parkir merupakan kata serumpun (Indonesia/Belanda) yang masih belum banyak digunakan di negara ini dan belum diangkat sebagai bahasa Melayu baku. Kamus boleh dijadikan panduan atau rujukan bagi memastikan sesuatu perkataan yang digunakan adalah betul. | Lain-lain | 18.02.2025 |
1. Adakah perkataan "leluhur" berasal daripada perkataan "luhur" atau leluhur itu sendiri merupakan bentuk "kata tunggal"? 2. Jika perkataan "leluhur berasal daripada perkataan "luhur", adakah perkataan ini menerima imbuhan apitan -el- ataupun mengalami proses penggandaan separa sehingga mengahsilka perkataan leluhur? Terima kasih. | Perkataan “leluhur” bermaksud nenek moyang, manakala perkataan “luhur” bermaksud (berkenaan sifat, cita-cita, budaya dan lain-lain) mulia dipandang tinggi. Oleh demikian, perkataan “leluhur” bukan menerima imbuhan apitan -el- ataupun mengalami proses penggandaan separa, tetapi merupakan kata tunggal. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), hlm. 1285 dan 1361. | Makna | 04.03.2025 |
Apakah terjemahan bagi perkataan-perkataan berikut? Gay, lesbian, bisexual, non-binary, queer, genderqueer, intersex, transgender, cisgender, gender, sex | Padanan bahasa Melayu bagi istilah gay ialah homoseks, lesbian ialah lesbian, bisexual ialah dwiseksual, non-binary ialah bukan binari, queer ialah kuira, genderqueer ialah genderkuira, intersex ialah interseks, transgender ialah transjantina, cisgender ialah cisgender, gender ialah jantina atau gender, dan sex ialah jantina. Padanan kesemua istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam sesuatu bidang tertentu. | Istilah | 11.02.2024 |
Adakah setiap perkataan yang wujud dalam bahasa Melayu Klasik mempunyai sebutan fonetik yang sama sepenuhnya dengan perkataan-perkataan bahasa Melayu Moden dalam kamus-kamus terbitan DBP? | Transkripsi fonetik hanya disediakan dalam kamus terkini terbitan DBP, iaitu Kamus Dewan Perdana (2020). Kamus ini memanfaatkan maklumat yang terkandung dalam Pedoman Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu yang terakam dalam Daftar Kata Bahasa Melayu, Rumi-Sebutan-Jawi, Edisi Kedua (2008). Hampir semua kata entri dan terbitannya menggunakan lambang fonetik antarabangsa (IPA) SIL Manuscript yang dieja dengan sebutan baku, termasuklah kata daripada bahasa Melayu klasik. Setakat hari ini, kamus terbitan DBP tidak membezakan sebutan bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu moden. | Lain-lain | 10.04.2023 |
Assalamualaikum WBT dan Salam Malaysia Madani. Saya ingin bertanya apakah terjemahan Bahasa Melayu yang tepat bagi perkataan-perkataan yang sering digunakan dalam bidang pemasaran dan media sosial seperti berikut: 1. Call to action 2. Please Like, Comment and Share | Sila berikan konteks penggunaan perkataan dan ayat untuk diberikan padanan bahasa Melayu. | Lain-lain | 13.07.2024 |
Assalamualaikum Tuan, Saya ucap jazakumullahu khairan atas perkhidmatan yang baik ini. Seterusnya ada satu penambahbaikan yang penting berkaitan huraian perkataan-perkataan tertentu yang ada hubungkait yang khusus dengan junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad ﷺ , contohnya perkataan UMMI sepertimana dalam lamanweb, "ummi II Ar tidak berpendidikan (orang yg buta huruf): Nabi Muhammad ialah seorang ~; " kalau guna ayat contoh tentang Nabi ﷺ maka hendaklah jaga Adab berkaitan Nabi, kerana pembaca akan merasa ada elemen merendahkan khususnya bila bagi contoh tentang nabi setelah menulis tidak berpendidikan, perlu jelaskan disitu bahawa Nabi dididikan oleh Allah ﷻ sendiri, dan bahawa sifat Ummi (buta huruf) pada orang lain adalah kekurangan tapi pada Nabi adalah kesempurnaan serta mukjizat kerana ilmu Nabi yang sempurna. | Terima kasih kerana memberikan cadangan pembaikan takrif bagi kata pinjaman, khususnya bahasa Arab. Kami mengambil maklum berkaitan hal tersebut. Sebagai tambahan maklumat, sila rujuk kamus terbitan DBP yang terkini iaitu Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020). | Makna | 17.07.2023 |
Adakah kata seperti jati diri, berat badan, yakin diri ialah kata majmuk ? | Berdasarkan perkataan-perkataan yang disenaraikan, hanya "jati diri" merupakan kata majmuk. | Tatabahasa | 11.05.2023 |
Apakah ada perbezaan perkataan dirasmikan dan perkataan disempurnakan? adakah boleh diletakkan dua perkataan "dirasmikan" dan perkataan "disempurnakan" oleh dua orang yang berbeza dalam satu program | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) halaman 1828 dan 2034, dirasmikan bermaksud mengumumkan atau mengisytiharkan (perkara, hal, pelantikan dan lain-lain) manakala disempurnakan bermaksud merasmikan (sesuatu majlis, istiadat, upacara dan sebagainya). Sehubungan dengan itu, kedua-dua perkataan tersebut boleh digunakan dalam konteks pelaksanaan program atau majlis. Dari sudut protokol dan pengurusan majlis, sesuatu program atau majlis akan dirasmikan atau disempurnakan oleh seorang tetamu kenamaan yang mempunyai jawatan/hierarki/kedudukan yang paling tinggi walaupun program atau majlis tersebut turut dihadiri oleh ramai tetamu kenamaan. Oleh itu, penggunaan kedua-dua perkataan tersebut pada individu yang berbeza dalam satu program atau majlis tidak sesuai. | Makna | 21.03.2024 |