Tuan, adakah ayat "Dia pernah kenal gadis itukah?" harus dibetulkan kepada "Pernah mengenal gadis itukah dia?" ? Betulkah predikat "pernah mengenal gadis itukah" perlu didepankan kerana adanya kata penegas -kah pada kata "itu"? Atau sebahagian daripada predikat sahaja yang perlu didepankan? Jika sebahagian predikat, bahagian predikat manakah yang wajar didepankan? Bolehkah bahagian "gadis itukah" sahaja yang didepankan, membentuk ayat: Gadis itukah dia pernah mengenal? Bolehkah ayat ini "Gadis itukah dia pernah mengenal" diterima, dengan pendepanan objek "gadis itukah" dan frasa kerja transitif "pernah mengenal" tiada dijudulkan? Boleh tak macam ini? (Sumber: Novel Hantu Gadis Opera, lembaran 21, terbitan Syarikat Pelangi.) | Dia pernah mengenal gadis itukah? Sila ambil contoh ayat daripada buku bahasa untuk berhujah atau memahamkan peraturan tatabahasa. Mengambil ayat daripada karya kreatif bukanlah langkah yang tepat kerana sebahagian karya kreatif tidak mematuhi seratus peratus peraturan tatabahasa.
| Tokoh | 20.03.2015 |
Jangan pernah berkasar terhadap ibumu. Ungkapan “jangan pernah” dalam ayat ini sesuai atau tidak? Terima kasih. Terima kasih sekali lagi kerana sudi menjawab soalan-soalan sebelumnya. | Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, jangan ialah kata larangan yang menyatakan tidak boleh, hendaknya tidak, usah.. manakala pernah ialah sudah ada mengalami, sudah berlaku. Perkataan pernah tidak sesuai mengikut konteks ayat yang dinyatakan. Perkataan yang lebih sesuai digunakan ialah sesekali... Jangan sesekali berkasar terhadap ibumu. | Tatabahasa | 17.01.2013 |
Saya pernah mendengar perkataan Hasil mansul atau masul bumi/laut. Apabila saya gunakannya. Rakan sepejabat mengatakan dia tidak pernah mendengar perkataan tersebut. Dan ramai diantara kawan-kawan pun belum pernah dengar. Saya harap tuan dapat memberikan penjelasan sama ada pengunaan bahasa itu betul atau salah. | Penggunaan yang betul ialah hasil mahsul yang bermaksud hasil sesebuah negara (yang dieksport). Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman 976. | Makna | 15.05.2008 |
Dalam BM, bolehkah kita menggunakan frasa "pernah sekali" atau "pada suatu kali" untuk memulakan sesuatu ayat? | "Pernah sekali" boleh digunakan pada pangkal ayat seperti contoh: Pernah sekali saya dimarahi kerana melengah melayan tetamu, manakala "pada suatu kali" penggunaannya adalah tidak gramatis. Penggunaan yang betul ialah "satu kali". | Tatabahasa | 07.06.2011 |
Soalan 1 bolehkah penggunaan kata bantu aspek seperti 'belum' dan 'pernah' hadir bersama-sama dalam satu ayat? Contohnya Saya belum pernah datang ke sini. Soalan 2 bagaimana dengan penggunaan perkataan 'lagipun'? | 1. kata bantu belum dan pernah boleh hadir secara berturutan dalam satu ayat. 2. Lagipun bermaksud lagi pula dan boleh digunakan. | Tatabahasa | 16.04.2010 |
"vigilantism" perkataan ni pernah jumpa dan pernah dengar, tapi bila search kat DBP ni tak ada pula. Boleh bagi pandangan sama ada perkataan ni betul dan apa maksudnya? | Kata ‘vigilantism’ adalah daripada vigilant yang bermaksud sentiasa berjaga-jaga (sila rujuk Kamus Inggeris Melayu Dewan). Melalui carian kami internet, vigilantism dalam bahasa Inggeris adalah berkaitan dengan kaedah , tingkah laku , sikap dan lain-lain yang berkaitan dengan kumpulan yang sentiasa berjaga-jaga, pemerhati, terutamanya militan, ketaksuban dan wasangka. Sila berikan ayat penuh atau konteks penggunaan kata vigilantism untuk mendapatkan padanan dalam bahasa Melayu. | Makna | 23.11.2014 |
pengalaman yang yang pernah ditimba / pengalaman yang pernah dilalui ? diganti dengan perkataan yang lebih sesuai saya berharap untuk dapatkan jawapan sewcepat mungkin pada hari ini bersama dengan dua soalan tadi | Ayat yang betul ialah "pengalaman yang ditimba / pengalaman yang dilalui / pengalaman yang diperoleh. | Tatabahasa | 18.07.2010 |
membelai kulit tidak pernah terasa senikmat ini | belaian kulit yang tidak pernah dirasai sebelum ini | Tatabahasa | 09.10.2008 |
Kawan saya pernah menyebut "secara tutasnya.." dia sendiri xtau ape maknanya tp perkataan itu pernah di guna utk karangan semasa sekolah.. cth ayat: "Secara tutasnya, keadaan itu sudah biasa dilihat." Apakah maksud 'Tutas' di sini? Adakah itu boleh digunakan? | Kata yang betul ialah 'tuntas' yang bermaksud menyeluruh, sempurna dan komprehensif. Sila rujuk kamus untuk mendapatkan penjelasan lanjut. | Makna | 25.12.2009 |
bolehkah kata bantu aspek "belum" dan "pernah" digunakan serentak dalam ayat: CTH: Saya belum pernah ke sini. | Puan Norliza, Ayat di atas tidak ada salahnya. Kita seharusnya berfikir dalam bahasa Melayu sebelum bertutur, dan begitu juga sebaliknya jika kita bertutur dalam bahasa Melayu sedangkan kita berfikir (menterjemahnya) dalam bahasa Inggeris maka ayat yang akan lahir tentu lebih cenderong mengikut tatabahasa Bahasa Inggeris | Tatabahasa | 16.04.2010 |