| Adakah salah kalau murid tidak tulis -nya pada ayat berikut? 1)Ben Li makan sarapan dengan keluarga(nya). 2)Ben Li dan kawan-kawan(nya) pergi ke ladang anggur. 3)Ben Li dan keluarga(nya) menyaksikan pertunjukan udara. | Fungsi 'nya' ialah sebagai kata pembenda dan penekan selain bertindak sebagai kata ganti nama diri ketiga. Menerusi ayat pertama, kedua dan ketiga yang disoal, seharusnya diletakkan 'nya'. Hal ini demikian kerana, penggunaan 'nya' di dalam ayat tersebut merujuk kepada kata ganti nama ganti orang ketiga. Sekiranya tidak diletakkan 'nya' akan timbul persoalan misalnya menerusi ayat pertama sekiranya tidak diletakkan kata 'nya' akan wujud persoalan Ben makan bersama keluarga siapa? Oleh itu, saudari/saudari perlu meletakkan kata 'nya' di dalam ketiga-tiga ayat tersebut. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 02.08.2012 |
| Masih dengan persoalan "antara...dan" dan "antara dengan". Adakah "antara...dengan" digunakan dlm kes perbandingan? Bagaimana pula dengan contoh ayat di bawah? 1) PErkahwinan antara William and Carol berakhir dengan perceraian. 2) Syaitan cuba merosakkan hubungan antara Tuhan dan umat-Nya. | Kata sendi 'antara' perlu diikuti oleh kata sendi nama 'dengan' atau kata hubung 'dan'. Berdasarkan contoh yang diberikan, ayat yang betul ialah 'Perkahwinan antara William dengan Carol berakhir dengan perceraian dan Syaitan cuba merosakkan hubungan antara Tuhan dengan umat-Nya'. Penerangan dan contoh penggunaan kata sendi 'antara' diikuti kata hubung 'dan' telah diberikan sebelum ini. | Tatabahasa | 08.03.2011 |
| Apa itu konsep menulis dan komponen-kompenan nya? Terima kasih | Menulis ialah proses melahirkan/memindahkan idea/pemikiran seseorang ke atas kertas atau sebarang bahan dalam bentuk tulisan. Komponen penulisan perlu menjawab persoalan asas iaitu- apa, siapa, di mana, bila, bagaimana (what, who, where, when, how - 4W 1H). | Lain-lain | 14.02.2009 |
| Assalamualaikum wbt Tuan Saya mohon bertanya.. Di dalam surat rasmi ada no. perenggan seperti berikut.. 2. 3. Persoalan saya diperenggan yang terakhir sekiranya ayatnya seperti contoh.. 'Kerjasama dan perhatian pihak tuan di dalam perkara ini amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih. ' Adakah patut atau tidak ada no.? saya keliru..kadang terima surat yang ada no.nya..kadang terima surat yang tiada no.nya.. Terima kasih. | Penomboran pada surat rasmi ialah mengikut gaya penulisan sesebuah organisasi. Gaya penulisan DBP dalam surat rasmi menggunakan nombor perenggan terakhir. | Lain-lain | 19.08.2016 |
| Banyak kenyataan yang saya jumpa mengatakan kata ganti nama ku- dan kau- ditulis serangkai dengan kata yang mengikutinya. Persoalan saya, bilakah penggunaan kau- dan ku- boleh dijarakkan selain adanya kata sendi nama yang mengikutinya. Adakah ia perlu dirapatkan jika kata yang mengikutinya itu sama ada kata bantu, kata nafi, kata nama, kata pemeri dan sebagainya. Mohon pencerahan dari pihak DBP berkenaan persoalan yang dikemukakan. | Kata ganti nama ku dan kau ditulis serangkai dengan kata yang mengikutinya; ku, mu, dan nya ditulis serangkai dengan kata yang mendahuluinya. Kata ganti nama diri kau ialah kependekan engkau, digunakan sebagai awalan yang terikat dengan kata kerja pasif maka itu ditulis bercantum contohnya: kaubacalah buku ini. Kata ganti nama diri ku ialah kependekan aku dan digunakan juga sebagai awalan yang terikat dengan kata kerja pasif atau kata yang mendahuluinya, contohnya kulihat, kudengar, rumahku, menemaniku dan lain-lain. Bagi kata ganti nama diri mu pula (kependekan kamu), digunakan sebagai akhiran yang terikat dengan kata yang mendahuluinya, contohnya kepadamu, bukumu, menyayangimu dan lain-lain. | Tatabahasa | 07.04.2015 |
| Selamat sejahtera.Terdapat beberapa persoalan yang ingin saya tanya kepada pihak tuan/puan.Adakah perkataan "ianya" tidak digunakan lagi? Saya mendapati terdapat perubahan tertentu dalam penggunaan bahasa.Bagaimana atau di mana boleh saya rujuk untuk mendapatkan maklumat terkini tentang perubahan penggunaan bahasa atau perubahan kata? | Perkataan "ianya" tidak boleh digunakan kerana kata "ia" dan 'nya" merupakan kata ganti nama diri orang ketiga dan tidak boleh disekalikan/digabungkan penggunaannya. Untuk maklumat lanjut berkaitan bahasa tuan boleh rujuk Tatabahasa Dewan. | Lain-lain | 08.02.2010 |
| Apakah perkataan yang patut digunakan? 1. Wam Khatijah (mengupas) kuih itu sebelum menyuapkan ke mulut adiknya. 2. Mak Andam (mengupas) wajah pengantin itu sebelum majlis persandingan. 3. Disebabkan dia (pengikut), dia sering mengikuti lawatan sambil belajar. 4. Nama adik saya yang kecil ini ialah Aizudin tetapi nama (timbangan)nya ialah Judin. | Penggunaan kata dalam kurungan adalah tidak tepat. Untuk melihat penggunaan kata yang betul rujuk www.prpm.dbp.gov.my dan taipkan perkataan yang hendak dicari, contohnya mengupas boleh membawa maksud membuang kulit (buah-buahan) dan menghuraikan dengan teliti (karangan, pendapat, persoalan). Berdasarkan makna yang tersebut kata mengupas tidak sesuai digunakan dalam kedua-dua konteks ayat tersebut. | Tatabahasa | 06.10.2011 |
| saya seorang yang suka berkarya tetapi tidak berani menunjukkan bakat yang saya miliki...soalan,bagaimana saya boleh memberanikan diri untuk berdepan dengan pengkarya seperti saya ini????? | Pertamanya, saya ingin mengucapkan syabas kepada saudari kerana mempunyai keberanian untuk bertanya tentang bakat dan potensi diri kepada pihak kami. Sebagai seorang manusia, setiap daripada kita mempunyai bakat yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada setiap hamba-Nya untuk kita melalui perjalanan hidup ini di muka buminya. Justeru, seseorang itu harus mencari dan meneroka bakat ada ada pada diri sehingga seseorang itu tahu bahawa itulah potensi dirinya yang sebenar dan seterusnya memberikan fokus kepada bakat tersebut. bakat yang dimaksudkan di sini ialah pelbagai jenis kemahiran semula jadi seperti memasak, bertukang, menjahit, dan termasuklah menulis atau mengarang. Memang semua perkara tersebut boleh dipelajari, namun bakat semula yang ada pada seseorang itu akan menjadi sesebuah hasil itu lebih baik dan tinggi mutunya. Persoalan di sini sekarang ialah saudari merasakan diri seorang mempunyai bakat dan saudari juga telah menulis, tetapi yang menjadi masalah sekarang ialah ketidak beranian saudari untuk menonjolkan karya saudari itu di khalayak ramai atau pembaca. Bagi kami, langkah pemula yang harus saudari ambil ialah yakin bahawa saudari harus menghantar karya saudari itu kepada mana-mana pihak penerbit. Langkah kedua, saudari boleh menyertai mana-mana bengkel penulis atau kursus penulisan yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu. Langkah ketiga, saudari boleh mengikuti mana-mana seminar yang berkaitan dengan kesusasteraan atau penulisan. Semua langkah yang diberi ini akan menambahkan keyakinan saudari terhadap diri sendiri dan bakat yang ada. Seterusnya, saudari juga harus berani bertemu atau menelefon mana-mana pihak penerbit untuk bertanya dan berbincang tentang karya yang saudari hasilkan itu sama ada sesuai atau tidak untuk diterbitkan. Jika saudari tidak melakukan, bakat dan potensi diri saudari itu akan terhakis sedikit demi sedikit. Oleh itu saudari harus memulakan. Semua bergantung kepada diri saudari sendiri. Bagi pihak DBP, kami mencadangakan saudari merujuk laman web DBP untuk mengetahui bengkel, kursus atau seminar yang dianjurkan oleh pihak kami. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 06.10.2009 |