Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[pe.san] | ڤسن

Definisi : 1. amanat (nasihat, permintaan, suruh­an, dll) yg diterima (diteruskan kpd orang lain): ia teringat ~ ayahnya supaya surat itu jangan diberi kpd tangan orang lain; ada ditinggalkan ~ sebelum ia berangkat tadi; 2. amanat (nasihat, wasiat, dll) yg penghabisan drpd orang yg akan meninggal: emaknya yg baru mati tidak sempat meninggalkan apa-apa ~ kepadanya; 3. permintaan barang utk dibeli, tempahan; ~ dituruti, petaruh dimalami, berserah berkehendak hati prb mem­percayakan sesuatu kpd orang dgn tidak per­caya bulat-bulat; berpesan 1. meminta supaya amanatnya (kehendaknya, nasihatnya, suruhannya, dll) diterima atau diteruskan kpd orang, memberi pesan (kpd): sebelum ia bertolak ia ~ kpd Kak Loyah supaya menjaga anaknya; 2. memberi nasihat (amanat, wasiat, dll) ketika hampir akan meninggal: sebelum ia meninggal ia ~ beberapa kali supaya Dewi berbanyak sabar dan bertenang; 3. membuat permintaan (utk membeli dll barang dagang­an), menyuruh membuatkan (menyediakan, mengirimkan), menempah: “Kek”, katanya ~, sebelum kuih tiba ia minum seteguk; ~ berturut, harap ada, percaya tidak prb tidak mempercayai sepenuh-penuhnya; memesan 1. memberi pesan (nasihat, arahan, dll): sejak dr rumah tadi ia sudah ~ anak-anaknya supaya jangan berenggang jauh; 2. meminta supaya dibawakan (dikirim, dibuatkan, dll), menempah: tidak lama kemudian pelayan tadi muncul pula dgn makanan dan minuman yg dipesan; ~ tempat menempah tempat; memesani berpesan (memesan) kpd: maka kata orang yg dipesani itu, “Baiklah”; memesankan 1. memesan kpd; 2. memesan (barang dll) utk orang: sudah saya pesankan tuan buku itu; 3. meminta (menerusi orang lain) supaya datang dll: apa maksud ~ saya ke mari? pesanan 1. pesan: ~ ibu tidak akan kami lupakan; 2. sesuatu yg dipesan (dipesankan); pemesanan perbuatan memesan (memesan­kan); pemesan orang yg memesan atau menempah (barang dll): ~ buku diharap akan mengirim wang harganya sekali. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[pe.san] | ڤسن

Definisi : 1 = pesanan sesuatu (spt perintah, nasihat) yg mesti dilakukan atau yg mesti disampaikan kpd orang lain; amanat: Apabila sampai di rumah nanti, jangan lupa menyampaikan ~ ini kpd ayahmu. 2 = pesanan permintaan hendak membeli supaya dikirim atau dibuat; tempahan. 3 nasihat dll yg penghabisan drpd orang yg akan meninggal; wasiat. berpesan 1 meminta supaya kehendaknya diterima atau disampaikan kpd orang lain; memberi pesan: Sebelum pergi ke pejabat, dia telah ~ kpd isterinya supaya membawa anaknya ke klinik. 2 memberi wasiat; berwasiat: Sebelum meninggal, ayah telah ~ kpd kami supaya berbaik-baik antara adik-beradik. memesan 1 memberi pesan (nasihat dll): Sudah dipesan oleh ibunya supaya tidak bermain-main di tepi lombong itu. 2 meminta sesuatu supaya disediakan atau dikirim; menempah: ~ buku meminta supaya buku dikirim. memesankan memesan sesuatu utk orang lain: Ibu ~ kakak beberapa helai kain. pemesan orang yg memesan (menempah). (Kamus Pelajar Edisi Kedua)

[pe.san] | ڤسن

Definisi : ; pesan-pesan sepesan. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
pesan
Kata Terbitan : pesanan, berpesan, memesan, pemesanan,

Puisi
 

Kirim surat orang seberang,
     Surat ini bunga perada;
Saya pesan pada abang,
     Amal ibadat jangan dilupa.


Lihat selanjutnya...(18)
Peribahasa

Pesan dituruti,
     petaruh dimalami (= berhunyikan),
berserah berkehendak hati.

Bermaksud :

Harap ada percaya tidak. berhunyi = berhuni.

 

Lihat selanjutnya...(3)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Antara tajuk berikut, yang mana satukah tepat: 'Pesan Untuk Remaja' atau 'Pesan Kepada Remaja'? Atau adakah kedua-duanya tepat dan boleh digunakan silih berganti?Frasa yang gramatis ialah "Pesan kepada Remaja".Tatabahasa25.10.2011
salam sejahtera, contoh ayat "pesan dia tolong tutup lampu" ayat ini betul atau tidak?Ayat yang lebih tepat: Pesan dia supaya tutup lampu.Tatabahasa18.10.2015
Betul ataupun tidak ayat ini? "Sila letakkan noktah di belakang ayat kamu," pesan Puan Zainun."Sila letakkan noktah di belakang ayat kamu," pesan Puan Zainun. - Ayat tersebut betul.Tatabahasa28.10.2015
Mana satu ayat yang betul. "Apabila sudah berjaya, jangan lupa asal-usul kalian," pesan Cikgu Amran kepada murid-muridnya. atau "Apabila sudah berjaya, jangan lupa asal-usul kalian," pesan cikgu Amran kepada murid-muridnya.Kedua-dua ayat yang diberikan adalah sama. Untuk makluman, ayat yang diberikan adalah betul. Walau bagaimanapun, ejaan yang betul ialah asal usul bukan asal-usul.Tatabahasa09.11.2013
Assalamualaikum tuan. "__________ makan ubat ini selepas makan tengah hari," pesan jururawat kepada Puan Amnah. Berdasarkan soalan tersebut, apakah pilihan jawapan yang paling sesuai? Pilihan jawapan yang diberi ialah Sila, Harap dan Minta. Harap tuan dapat memberikan penjelasan berdasarkan pilihan jawapan yang diberi dengan selanjutnya untuk memudahkan saya memberikan maklumat kepada rakan-rakan saya. Sekian, terima kasih.Assalamualaikum tuan. "Sila makan ubat ini selepas makan tengah hari," pesan jururawat kepada Puan Amnah. Kami berpandangan perkataan "sila" paling tepat bagi membawa maksud permintaan dengan hormat. Walau bagaimanapun untuk tujuan peperiksaan, sila rujuk pihak yang berwibawa dalam hal berkenaan.Tatabahasa04.06.2018
Assalamualaikum... Boleh jelaskan jawapan yang tepat. 1."Sila semak jawapan ________sebelum menghantarnya," pesan Cikgu Lina kepada murid-murid kelasnya. Jawapannya kamu atau anda. 2.Saya yakin ________dia akan menang nanti. Jawapannya yang atau bahawa 3. Adakah kedua-dua ayat ini ayat tunggal. i. Kucing itu mengiau. ii.Hakim membeli pen di Kedai Runcit Zaki.Waalaikumussalam,

1. Sila semak jawapan kamu sebelum menghantarnya," pesan Cikgu Lina kepada murid-murid kelasnya.

2. Saya yakin yang dia akan menang nanti.

3. i.. Kucing itu mengigau - ayat tunggal
    ii. Hakim membeli pen di Kedai Runcit Zakit - ayat penyata

Tatabahasa18.08.2015
1. Secawan kopi saya pesan sementara secawan teh dipesan oleh kakak. Adakah penggunaan 'sementara' di atas betul ? 2. Kita perlu menjalani tugas yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita dengan sempurna. Adakah perkataan 'menjalani' di atas betul ?1. Penggunaan sementara dan ayat tersebut tidak gramatis. Ayat yang gramatis, saya memesan secawan kopi sementara itu kakak memesan secawan teh.
2. Perkataan menjalani bermaksud mengalami tidak sesuai digunakan dalam konteks ayat tersebut. Perkataan yang betul ialah menjalankan.
Tatabahasa25.09.2012
"Kita perlulah menyimpan wang dari sekarang agar boleh digunakan semasa kecemasan," pesan ibu kepada Alisya. A) Sediakan payung sebelum hujan B) Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit Jawapan diberi oleh cikgu iala B. Penjelasannya: B adalah dgunakan bagi semua yang berkaitan dengan wang. Jawapan A adalah digunakan bagi situasi seperti persediaan bagi pertandingan atau peperiksaan. Adakah peribahasa di atas digunakan pada keadaan yang tertentu sahaja? Apakah situasi tersebut?Penggunaan peribahasa terpulang kepada masyarakat untuk digunakan pada bila-bila masa atau situasi dengan syarat makna dan maksud peribahasa tersebut tepat. Dalam contoh soalan yang diberi, peribahasa A lebih tepat kerana terdapat situasi kecemasan yang mungkin berlaku dan kita perlu menyiapkan diri untuk menghadapinya. Peribahasa B perlu merujuk satu perbuatan yang dilakukan secara perlahan-lahan untuk mendapatkan hasil yang lebih besar, misalnya mengumpul duit secara perlahan-lahan dan mendapat hasil yang besar jika kerap dilakukan.Lain-lain26.07.2018
apakah maksud paralinguistik?Paralinguistik ialah adalah jenis komunikasi (pelbagai bentuk komunikasi) yang berkaitan dengan cara bagaimana seseorang mengucapkan atau menyampaikan pesan.Lain-lain16.07.2018
Tuan, Saya, Ismail bin Ahmad, adalah pengarang tiga buah buku ilmiah terbitan DBP, seperti yang berikut: Pengenalan Virologi (1993) Komunikasi Saintifik (1995) Penulisan Saintifik (1996) Saya ingin mendapatkan naskhah baru untuk kegunaan sendiri. Pertanyaan saya: Adakah DBP masih boleh mencetak lagi buku-buku tersebut? Berapakan minimum bilangan naskhah yang saya perlu pesan? dan, berapakah kos yang terlibat? Untuk pengetahuan tuan, saya telah menghantar soalan ini kali kedua, kerana soalan yang sama yang saya hantar dua minggu yang lalau tidak mendapat jawapan. Sekian. Terima kasih Yang benar Ismail Ahmad

Judul buku untuk cetak ulang ditentukan oleh Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka. Penulis atau pihak lain boleh memohon atau mencadangkan judul buku yang perlu dicetak ulang dengan menulis surat kepada Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Tingkat 19, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur.

Soalan tuan yang dahulu telah dijawab oleh petugas tetapi terdapat masalah teknikal menyebabkan jawapan tersebut tidak sampai kepada tuan. Harap maaf.

Lain-lain03.03.2008
123

Kembali ke atas