| Adakah ayat di bawah salah struktur bahasanya? 1. Aktivitis masyarakat itu dianugerahkan pingat kebesaran atas jasanya dalam kerja-kerja kemasyarakatan Kalau ayat tersebut salah strukturnya, apakah alasannya? | Saudara, Ayat yang betul : Aktivis masyarakat itu dianugerahi pingat kebesaran atas jasanya dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Fungsi meN...i/ di...i menandakan lokatif manakala fungsi meN...kan/di...kan menandakan kausatif. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 207. | Tatabahasa | 03.09.2009 |
| Mohon DBP cadang penggunaan yang tepat. 1. Sultan menganugerahkan ATAU mengurniakan pingat kebesaran...? 2. Selamat pagi guru dan rakan rakan sekalian / Selamat pagi guru dan rakan rakan. yang mana betul? Terima kasih. | 1. Penggunaan perkataan yang tepat dalam konteks tersebut ialah Sultan mengurniakan pingat kebesaran. 2. Frasa yang betul ialah Selamat pagi guru dan rakan sekalian. | Lain-lain | 25.05.2021 |
| Mana satu yang betul, Dato atau Dato'? | Gelaran yang ada ialah Dato' dan Datuk, tidak ada Dato. Gelaran Dato' diperoleh apabila seseorang itu dianugerahkan pingat kebesaran oleh negeri yang bersultan/beraja, manakala gelaran Datuk diperoleh apabila seseorang itu dianugerahkan pingat kebesaran oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong dan negeri-negeri yang tidak bersultan. | Tatabahasa | 28.04.2013 |
| Selamat petang Mohon maklum balas, apa beza Dato dan Dato'. Sekian, terima kasih. | Gelaran yang ada ialah Dato' dan Datuk, tidak ada Dato. Gelaran Dato' diperoleh apabila seseorang itu dianugerahkan pingat kebesaran oleh negeri yang bersultan/beraja, manakala gelaran Datuk diperoleh apabila seseorang itu dianugerahkan pingat kebesaran oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong dan negeri-negeri yang tidak bersultan. | Tatabahasa | 31.05.2013 |
| Sultan menganugerahkan atau mengurniakan pingat kebesaran | Kedua-duanya boleh digunakan. | Lain-lain | 16.08.2017 |
| Asalamualaikum, saya ingin bertanya, apakah kesalahan bahasa yang terdapat dalam ayat di bawah. Terima kasih. 1. Sultan Azlan Shah telah bersetuju untuk menganugerahkan pingat kebesaran kepada rakyat yang layak sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-60. 2. Puan Haiza tidak turut serta dalam majlis hari jadi di rumah Puan Jamilah kerana diatelah membuat temu janji dengan doktor. | - Ayat yang betul ialah “Sultan Azlan Shah menganugerahkan pingat kebesaran kepada rakyat yang terpilih bersempena dengan hari keputeraan baginda yang ke-60.”
-
Kesalahan bahasa dalam ayat tersebut ialah penggunaan frasa temu janji. Frasa yang betul ialah janji temu. Oleh yang demikian, ayat yang betul ialah “Puan Haiza tidak turut serta dalam majlis hari jadi di rumah Puan Jamilah kerana dia telah membuat janji temu dengan doktor.” Sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 870. | Tatabahasa | 06.11.2024 |
| Q. Sultan kedah telah _____ pingat kebesaran kepada sasterawan tersohor yang berasal dari negeri itu. A.menyerahkan B.mengurniakan C.menyampaikan D.menganugerahkan Mengapakah jawapannya ialah 'B' ? Saya ternampak ayat ini di dalam buku. Yang di-Pertuan Agong menganugerahkan pingat PJK kepada orang-orang yang berjasa. Mengapakah sini letak menganugerahkan? | Dari aspek makna, mengurniakan juga bermaksud menganugerahkan dan begitu juga sebaliknya. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan dalam penggunaan kedua-dua perkataan berkenaan. a) Perkataan mengurniakan lazimnya dikaitkan dengan sultan/raja. Contoh: Sultan Kedah telah mengurniakan pingat kebesaran kepada sasterawan tersohor yang berasal dari negeri itu. b) Perkataan menganugerahkan boleh digunakan kepada raja dan bukan raja. Contoh: Baginda menganugerahkan pingat PJK kepada beliau. Kerajaan menganugerahkan sebidang tanah kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik. | Tatabahasa | 19.11.2021 |
| Bagaimanakah cara penulisan pingat kebesaran seseorang selepas namanya. Contohnya Ahmad bin Yusuf mendapat 3 pingat (BKM, AMK, PJK) Cara tulisnya Ahmad bin Yusuf, BKM., AMK., PJK. atau Ahmad bin Yusuf., B.K.M., A.M.K., P.J.K. Terima kasih. | Ejaan yang betul ialah tanpa tanda noktah, Ahmad bin Yusuf, BKM, AMK,dan PJK. | Tatabahasa | 02.10.2013 |
| SALAM SEJAHTERA MOHON PERTANYAAN PENGGUNAAN PINGAT KEBESARAN KEPADA PANGGILAN NAMA KETUA JABATAN PADA PENGAKHIRAN SURAT RASMI SEPERTI BERIKUT : Saya yang menurut perintah, ................................................... (MOHD KHAIRUDDIN BIN MD. SOM A.M.N, A.M.S) @ (MOHD KHAIRUDDIN BIN MD. SOM) A.M.N, A.M.S | Saya yang menurut perintah, ................................................... (MOHD KHAIRUDDIN BIN MD. SOM, AMN, AMS) - italikkan ejaan nama pingat | Tatabahasa | 21.04.2015 |
| Bagaimana cara penulisan darjah/pingat kebesaran selepas nama seseorang? Beliau menerima pingat kelakuan terpuji (p.k.t.). | Penggunaan Darjah Kebesaran Persekutuan atau Darjah Kebesaran Negeri biasanya diletakkan di bawah nama penerima darjah kebesaran tersebut. Sekiranya diletakkan sebaris dengan nama penerima, darjah kebesaran tersebut perlu dimasukkan dalam tanda kurung () serta disusun mengikut darjah tertinggi. Contohnya, Tn. Hj. Muhammad bin Daud (P.K.T.). Namun hal ini bergantung pada protokol khusus sesebuah negeri dan sebagainya. | Lain-lain | 28.02.2020 |