Apakah maksud POLISI dari segi bahasa dan istilah? apakah salah satu contoh polisi? | Polisi membawa maksud rancangan tindakan yang telah dipersetujui secara rasmi sebagai asas untuk membuat atau melaksanakan sesuatu keputusan atau dasar kerajaan. 2. Dokumen yang mengandungi kontrak insurans. | Lain-lain | 16.01.2007 |
Adakah penggunaan perkataan "diwara" di dalam ayat berikut betul atau salah? Atau adakah saya sepatut menggunakan perkataan "diuar-uar" Ayatnya adalah : "Polisi Perakuanan yang dicadang adalah selaras dengan polisi–polisi yang dilulus dan diwara oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (Malaysian Accounting Standards Board (MASB)) untuk pihak swasta." | Puan Aisya,Ayat di bawah ini merupakan cadangan pihak kami dengan mengedit ayat puan adalah seperti yang berikut: "Polisi Perakaunan yang dicadangkan oleh ........(mohon diberitahu pihak yang mencadangkan polisi ini) adalah selaras dengan polisi–polisi yang telah diluluskan dan diwartakan oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (Malaysian Accounting Standards Board (MASB)) untuk pihak swasta." Dalam konteks ayat puan, penggunaan kata diuar-uar dan wara kurang tepat. Hal ini kerana, kata diuar-uar/wara membawa maksud pengumuman yang dibuat dengan meneriakkannya kuat-kuat. Tambahan pula, polisi perakaunan merupakan peraturan atau dasar bukannya program yang perlu diuar-uarkan kepada orang ramai, memadailah dengan mewartakannya. Kata warta sering kali digunakan dalam laras bahasa undang-undang. | Tatabahasa | 24.04.2009 |
Assalamualaikum, Adakah perkataan "policy" telah diserap ke dalam bahasa Melayu dan ejaannya adalah "polisi"? Terima kasih. | Perkataan policy diterjemahkan kepada polisi dalam bidang undang-undang dan ekonomi sahaja seperti pemegang polisi insurans {policy holder (insurance)}. Dalam bidang lain dan teks umum policy diterjemahkan kepada dasar seperti dasar penyelidikan (research policy). | Istilah | 04.10.2012 |
Apa beza antara polisi, peraturan atau garis panduan dari segi perundangan. Penggunaan perkataan manakah yang lebih spesifik. | Dalam Kamus Dewan Edisi Empat, polisi ialah rancangan tindakan yang telah dipersetujui secara rasmi sebagai asas untuk membuat atau melaksanakan sesuatu keputusan, dasar; ~ kerajaan dasar kerajaan. Peraturan ialah rancangan tindakan yang telah dipersetujui secara rasmi sebagai asas untuk membuat atau melaksanakan sesuatu keputusan, dasar; ~ kerajaan dasar kerajaan. Garis panduan ialah panduan atau petunjuk-petunjuk yang perlu diikut, dasar (ciri-ciri utama dsb) yang boleh dijadikan panduan atau pegangan. | Tatabahasa | 04.10.2013 |
Saya sedang menjalankan kajian tentang polisi penggunaan bahasa di papan iklan (billboard) bagi tesis PhD saya. Untuk itu saya ingin memastikan beberapa perkara dan ingin menemuduga pegawai yang berkaitan. Siapakah pegawai yang dapat membantu saya untuk memberikan maklumat labih lanjut tentang polisi penggunaan bahasa pada papan iklan? Bagaimanakah prosedurnya untuk says menemuduga pegawai tersebut? Harap dapat memberikan bantuan. Terima kasih. | Sila kemukakan permohonan secara rasmi kepada Encik Abd. Karim bin A. Bakar, Ketua Bahagian Penguatkuasaan, melalui e-mel karim@dbp.gov.my atau surat yang dialamatkan kepada Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Tingkat 25, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. | Tatabahasa | 01.07.2013 |
Salam. Pada abad ke-21 ni kita melihat banyak cabaran yg dihadapi dalam usaha untuk memartabatkan dasar dan polisi bahasa di negara kita. Dalam konteks pembangunan perisisan teknologi maklumat, apakah langkah-langkah yg diambil DBP untuk mengekalkan polisi bahasa yang tersedia ada agar seiring dengan pembangunan teknologi maklumat? | Assalamualaikum Untuk makluman, kemajuan teknologi maklumat tidak akan memperkasakan bahasa Melayu tetapi dengan mengetahui kelebihan teknologi maklumat seperti mampu menyampaikan maklumat dengan cepat dan pantas, tanpa halangan masa dan sempadan benua maka bahasa melayu boleh diperkasakan dengan menggunakan kelebihan teknologi maklumat. Ini bermakna kita boleh memperkasakan bahasa Melayu dengan menggunakan teknologi maklumat. Caranya, pertama kita perlu memahami bagaimana kita boleh menerbitkan bahan-bahan berbahasa melayu dengan pantas menggunakan teknologi. Kedua, kita perlu memahami kelebihan penyebaran maklumat menggunakan teknologi berbanding dengan menggunakan kaedah tradisional dan ketiga fikirkan pula bagaimana menggunakan teknologi ini boleh memperkasakan dan memasyarakatkan bahasa melayu. Contohnya, untuk memperkasakan dan memasyarakatkan bahasa melayu kita haruslah memperbanyakkan penerbitan bahan-bahan berbahasa melayu di berbagai-bagai bidang dan berbagai-bagai peringkat pengguna. Ini lah yang sedang diusahakan dengan giat oleh DBP. Dengan menggunakan teknologi kita boleh mempercepatkan proses penulisan, penyuntingan dan juga penerbitan. Seterusnya dengan menggunakan teknologi kita boleh menyebarluaskan bahan tersebut tanpa sempadan dunia dengan pantas dan bahan tersebut juga boleh dicapai diseluruh dunia tanpa mengira waktu (pagi atau petang , siang atau malam). Malahan di negara sedang berperang pun kita boleh menyebarkan bahan berbahasa melayu dengan menggunakan teknologi. Bayangkan jika kita cuba menyebarkan bahan berbahasa melayu dengan kaedah tradisional di negara yang sedang berperang! Begitulah hebatnya teknologi. | Lain-lain | 03.11.2010 |
Salam sejahtera, mohon berikan cadangan terjemahan bagi "Privacy Policy" (polisi yang biasanya dinyatakan jika kita mengisi borang, untuk melindungi butir peribadi kita) dan sejenis warna, "medium green". Terima kasih | 1. Ruangan tersebut bukanlah suatu dasar, sebaliknya disebut "Maklumat Peribadi" yang perlu dilengkapkan apabila kita mengisi borang. 2. Medium bermaksud sederhana dan jika medium green diterjemahkan itulah warna hijau yang sebenarnya. Maka cukup sekadar kita menandakannya sebagai warna hijau kerana jika berlebihan hijaunya baharu disebut hijau pekat dan jika sebaliknya disebut hijau cair. | Istilah | 17.07.2012 |
Assalamamualaikum... Saya mempunyai satu soalan untuk dikemukakan kepada pihak DBP, berkenaan polisi baru pihak kerajaan dalam Sistem Pendidikan yang baru digubal beberapa waktu lalu. Pembelajaran Sains dan Matematik yang kembali diajar semula dalam Bahasa Melayu menjadi kelegaan kepada banyak pihak terutama bagi yang memang selesa dan menjiwai bahasa Malayu itu sendiri. Bagi menyediakan prasarana itu,adakah pihak DBP mempunyai projek-projek terbaru untuk merialisasikan cita-cita kerajaan untuk memanggil semula minat pelajar-pelajar yang telah pudar dalam Sains dan Matematik? Bagi pandangn saya, DBP punya peranan yang sangat besar sebesar peranan Baitul Hikmah yang wujud tatkala zaman Kerajaan Abbasiah suatu ketika dahulu, yang mana, ia menjadi perpustakaan terbesar menempatkan sumber ilmu tak mengira bidang, dan yang lebih mengujakan, kebanyakan buku tersebut adalah dalam bahasa ibunda,iaitu bahasa Arab.... Adakah pihak DBP juga dalam perancangan kearah itu, atau hanya tertumpu kepada bidang kesasteraan Melayu semata? saya warga Malaysia yang punya harapan yang sangat tinggi terhadap DBP agar ia wujud menjadi badan yang bisa meyuntik penawar kepada tahapan ilmu dan kecintaan ilmu di kalangan rakyat Malaysia yang masih dalam kategori rendah dibaningkan dengan negara-negara membangun yang lain. Sekian. | Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu lebih kepada pedagogi pendidikan yang ditagani oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Dalam hal ini DBP tetap meneruskan fungsi dan peranannya dalam pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu yang dilaksanakan melalui pelbagai kegiatan di sektor awam dan swasta. DBP akan mengemaskinikan dan menerbitkan lebih banyak buku dan istilah yang berkaitan seperti istilah Sains, Matematik dan Teknologi. Selain itu, kegiatan penggalakan dan pengembangan bahasa Melayu akan dipertingkatkan dan diperluas. | Lain-lain | 16.07.2009 |
1)job rotation 2)continuous professional development 3)exit policy | 1)pusingan kerja 2)perkembangan profesional berterusan 3)polisi keluar | Istilah | 01.08.2011 |
abang tidak mahu saya bercerita tentang dasar sejak awal-awal lagi setelah bekerja, dasarnya kita mempunyai tanggungjawab yang besar. (tuan, adakah kedua-dua ayat ini menggunakan perkataan dasar dengan betul, kalau salah, apakah perkataan yang sesuai digantikan? TQ) | Abang tidak mahu saya bercerita tentang dasar sejak awal-awal lagi setelah bekerja, dasarnya kita mempunyai tanggungjawab yang besar. Penggunaan dasar dalah ayat ini kurang tepat kerana dasar bermaksud polisi yang lazimnya digunakan dalam sesebuah organisasi. Sila rujuk kamus dan gantikan dengan perkataan lain yang sesuai dengan konteks ayat dan maksud yang saudara hendak sampaikan. Untuk menghasilkan ayat yang gramatis, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, Bab 16. | Tatabahasa | 15.08.2011 |