Adakah kata-kata seperti pemerkukuh, pemercantik dan pemerpanjang diterima sebagai menepati tatabahasa Melayu untuk memaknai sesuatu yang digunakan untuk memperkukuh, mempercantik dan memperpanjang? Contohnya: Potret-potret catan tangan itu pemercantik kamar yang sudah sedia cantik. | Kata-kata seperti pemerkukuh, pemercantik dan pemerpanjang tidak diterima sebagai kata dalam bahasa Melayu kerana tidak menepati sistem pembentukan kata untuk imbuhan. | Tatabahasa | 07.04.2019 |
Saya pernah tanya soalan ini: Adakah kata-kata seperti pemerkukuh, pemercantik dan pemerpanjang diterima sebagai menepati tatabahasa Melayu untuk memaknai sesuatu yang digunakan untuk memperkukuh, mempercantik dan memperpanjang? Contohnya: Potret-potret catan tangan itu pemercantik kamar yang sudah sedia cantik. Jawapan DBP seperti ini: Kata-kata seperti pemerkukuh, pemercantik dan pemerpanjang tidak diterima sebagai kata dalam bahasa Melayu kerana tidak menepati sistem pembentukan kata untuk imbuhan. Saya tertanya mengapa ia 'tidak menepati sistem pembentukan kata untuk imbuhan' walhal kata 'pemer-' sebagai padanan 'pelaku' untuk 'memper-' iaitu perbuatannya sudah diterima dalam bahasa Melayu khususnya dalam entri Kamus Dewan. Kata seperti 'pemeroleh' yang bermakna orang/pihak yang 'memperoleh' dan 'pemerkosa' yang bermakna orang/pihak yang 'memperkosa' sebahagian perbendaharaan kata Melayu dan ini tidak dapat dibahaskan sebagai 'kekecualian' dalam bahasa kerana tiada bentuk yang dapat diwujudkan untuk 'menepati sistem pembentukan kata untuk imbuhan' dan kata-kata seperti 'pemeroleh' dan 'pemerkosa' mendukung makna sendiri. Mungkin 'sistem pembentukan kata untuk imbuhan' DBP perlu dikemas kini dengan data terkini. | Untuk perkataan memperkukuh, mempercantik dan memperpanjang, awalan memper- bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata adjektif membentuk kata kerja yang membawa makna menjadikan lebih atau bertambah bagi sifat yang terkandung dalam kata dasar. Contohnya: Cantik – mempercatik (menjadikan lebih cantik) (TATABAHASA DEWAN EDISI KETIGA, m.s.: 179) Untuk perkataan pemerkosa, kata dasarnya adalah perkosa. Perkataan ini menerima imbuhan awalan peN- untuk membentuk kata nama terbitan. PeN- menjadi pe- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf-huruf m, n, ny, ng , r, l, dan w. Contohnya: Masak – pemasak Termasuk dalam jenis ini ialah kata dasar yang bermula dengan huruf-huruf p, t, k, dan s. Dalam hal ini, huruf pertama dalam kata dasar luluh dan digantikan dengan bentuk sengau yang dilafazkan pada tempat yang sama daerah artikulasinya (homorganik) dengan bunyi pertama dalam kata dasar, iaitu m bagi p, n bagi t, ng bagi k, dan ny bagi s. Contohnya: Perkosa – pemerkosa Tahan – penahan Karang – pengarang Selam – penyelam Untuk lebih memahami pembentukan kata nama dengan lebih lanjut, tuan boleh merujuk buku TATABAHASA DEWAN EDISI KETIGA (m.s.: 104 – 132) | Tatabahasa | 11.07.2019 |
Bolehkah istilah "potret" digunakan juga untuk gambar foto haiwan contohnya seperti burung atau serangga? Ini kerana menurut pencarian dalam Gerbang Kata, "potret" membawa maksud: (potrét) 1. gambar yg diambil dgn meng'gunakan kamera, foto. Di sini ia tidak mengatakan dengan spesifik istilah ini hanya khusus untuk gambar foto manusia. Misalnya, bolehkah saya menulis tajuk seperti: "Koleksi Potret Burung-burung Tempatan di Semenanjung Malaysia" Harap dapat penjelasan dari pihak DBP. Terima kasih... | Perkataan potret hanya untuk gambar manusia iaitu lukisan cat, lukisan lakar atau gambar foto yang menggambarkan muka seseorang. Penggunaan tajuk"Koleksi Potret Burung-burung Tempatan di Semenanjung Malaysia", tidak sesuai kerana menggunakan perkataan potret. Saudara boleh menggunakan tajuk "Koleksi Lukisan Burung-burung Tempatan di Semenanjung Malaysia". | Tatabahasa | 11.05.2013 |
Saya hendak tanya: Potret datuk masih tergantung (di atau pada) dinding bilik tidur ibu. --penggunaan di atau pada ? mana yang betul ? kenapa? | Ayat yang gramatis ialah Potret datuk masih tergantung pada dinding bilik tidur ibu kerana pada menunjukkan keterangan tempat. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 05.03.2012 |
salam sejahtera, saya ingin bertanya adakah betul penjodoh bilangan bagi potret/lukisan/seni adalah sebuah. terima kasih. | Penjodoh bilangan bagi potret/lukisan ialah buah. | Lain-lain | 04.07.2008 |
Nak pastikan terma dalam Bahasa betul... "Portrait Lighting" ialah "Pencahayaan Potret” dalam penggunaan mobile phone. Terima kasih | Portrait lighting boleh diterjemahkan kepada pencahayaan potret atau pencahayaan imej. | Penyemakan dan penterjemahan | 19.12.2017 |
Adakah perkataan selfie merupakan perkataan baharu dalam kamus?? jika benar.. apakah maksud perkataan tersebut serta perkataan selfie merupakan kata dasar bagi apa?? | Berdsarkan dapatan di Internet, Selfie ialah sejenis gambar potret diri sendiri yang diambil menggunakan kamera digital atau kamera telefon, dan biasanya diambil dalam sudut tertentu oleh empunya gambar itu sendiri sebelum ia dimuat naik ke laman sosial. Menurut data perkataan selfie terakam pada tahun 2002 lagi di Australia, namun perkataan ini menjadi popular pada tahun 2013 lebih-lebih lagi apabila dikaitkan dengan tokoh dunia. Perkataan selfie hanya ditemukan dalam Kamus Oxford versi dalam talian. Perkataan selfie belum ada dalam data kami, oleh itu penggunaannya dalam tulisan perlu diitalikkan.
| Istilah | 11.01.2014 |
dengan menggunakan digunakan bersama atau pilih antara satu?contohnya,dengan dan menggunakan digunakan berasingan.Terima kasih | Kata sendi nama "dengan" hadir di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud seperti yang berikut: i. membawa maksud bersama-sama atau berserta (Ayah pergi ke pekan dengan ibu.) ii. membawa maksud cara sesuatu dilakukan (Dia menyambut tetamu itu dengan senyum simpul.) iii. membawa maksud memakai atau menggunakan (Ani melukis potret itu dengan cat air.) iv. menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama (Orang itu sentiasa sependapat dengan ketuanya.) Berdasarkan penerangan pada nombor iii di atas, perkataan "dengan" tidak perlu digunakan bersama-sama dengan "menggunakan" keranan telah membawa maksud "menggunakan". | Tatabahasa | 02.03.2012 |
Sila berikan penjelasan tentang penggunaan kata ' dengan '. kerana masih terdapat banyak kemusykilan, terima kasih. | Sebagai kata sendi nama, penggunaan perkataan dengan di hadapan kata nama atau frasa nama digunakan untuk membawa maksud seperti berikut: - Membawa maksud bersama-sama atau berserta, contohnya: Ayah pergi ke pekan dengan ibu - Membawa maksud cara sesuatu itu dilakukan, contohnya: Kerja ini dapat dilakukan dengan kerjasama semua pihak. - Membawa maksud memakai atau menggunakan, contohnya: Ani melukis potret itu dengan cat air. - Menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama, contohnya: Warna bajunya sama biru dengan warna bajuku. Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 280. | Tatabahasa | 01.06.2018 |
Ayat yang betul ialah Puan Lee pandai menganyam tikar daripada buluh. bolehkah terangkan penggunaan daripada..... kalau ayat "tikar diperbuat daripada buluh" memang betul, kenapa kita tidak boleh gunakan " Puan Lee pandai menganyam tikar dengan buluh". boleh terangkan penggunaan dengan dan daripada. sekian terima kasih. | Kata sendi nama "daripada" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda dan unsur perbezaan atau perbandingan. Contoh: i. Pemain sarkas itu menerima bola daripada beruangnya ii. Ukiran itu diperbuat daripada kayu iii. Edisi kedua buku itu lebih lengkap daripada edisi pertama. Kata sendi nama "dengan" hadir di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud seperti yang berikut: i. membawa maksud bersama-sama atau berserta (Ayah pergi ke pekan dengan ibu.) ii. membawa maksud cara sesuatu dilakukan (Dia menyambut tetamu itu dengan senyum simpul.) iii. membawa maksud memakai atau menggunakan (Ani melukis potret itu dengan cat air.) iv. menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama (Orang itu sentiasa sependapat dengan ketuanya.) | Tatabahasa | 04.09.2013 |