(prihatin terhadap, prihatin dengan, prihatin akan) kebajikan murid? Yang manakah betul? | Jawapan yang betul ialah prihatin terhadap kebajikan murid. | Tatabahasa | 29.03.2010 |
Salam sejahtera. Saya ingin tahu tentang perbezaan antara prihatin tentang dengan prihatin terhadap. Yang manakah ayat-ayat di bawah adalah betul? 1. Ibu bapa prihatin tentang / prihatin terhadap pelajaran anak-anak di sekolah. 2. Ali prihatin tentang / terhadap keadaan kesihatan datuknya yang baru sembuh daripada penyakitnya. | Ayat yang betul ialah: 1. Ibu bapa prihatin tentang pelajaran anak-anak di sekolah. 2. Ali prihatin tentang keadaan kesihatan datuknya yang baru sembuh daripada penyakitnya. Kata sendi nama tentang digunakan sebagai unsur rujukan sesuatu yang tidak tentu, umum atau mujarad manakala kata sendi nama terhadap digunakan sebagai unsur rujukan yang melibatkan penyambut tertentu sama ada manusia, haiwan, atau benda. Contoh: Jangan bersikap biadap terhadap orang tua. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tokoh | 11.05.2021 |
Tuan, Manakah ayat di bawah adalah gramatis? a) Pihak majikan harus prihatin terhadap pekerja dengan menyediakan pelbagai kemudahan kepada para pekerja. b) Pihak majikan harus prihatin akan pekerja dengan menyediakan pelbagai kemudahan kepada para pekerja. Apakah perbezaan 'prihatin terhadap' dengan 'prihatin akan'? Terima kasih. | Ayat yang gramatis ialah Pihak majikan harus prihatin terhadap pekerja dengan menyediakan pelbagai kemudahan kepada para pekerja. Kata sendi nama akan lazimnya digunakan dalam ayat yang menyatakan unsur emotif, seperti saya sayang akan emak saya.
| Tokoh | 03.10.2017 |
Cikgu, penggunaan di bawah yang manakah baru betul? 1. prihatan terhadap persoalan yang berkaitan dengan alam sekeliling. 2. prihatin tentang persoalan yang berkaitan dengan alam sekeliling. 3. prihatin mengenai persoalan yang berkaitan dengan alam sekeliling. Kata nama "persoalan" bukankah kata nama tak hidup abstrak? Bukankah patut menggunakan kata sendi nama "tentang" atau "mengenai" sedangkan kedua-dua kata sendi nama ini sama maksudnya. | Ayat yang betul ialah "prihatin tentang persoalan yang berkaitan dengan alam sekeliling" dan "prihatin mengenai persoalan yang berkaitan dengan alam sekeliling".
| Tatabahasa | 13.05.2014 |
Dalam nilai murni, apakah perbezaan antara prihatin dengan mengambil berat? | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, prihatin bermaksud 1. mengambil berat, perhatian terhadap sesuatu perkara 2. (Jawa) berdukacita atau kecewa yang amat sangat (kerana gagal usaha, menghadapi kesusahan, dll), rasa sedih yang amat sangat 3. berusaha (berikhtiar) dengan bersungguh-sungguh untuk mendapat sesuatu yang dicita-citakan. Mengambil berat bermaksud memberikan perhatian (minat, layanan) yang istimewa (kepada atau terhadap sesuatu atau seseorang). Untuk makluman, DBP tidak mempunyai maklumat tentang perbezaan antara kedua-dau perkataan ini dalam nilai murni. | Makna | 09.02.2014 |
Saya ingin tahu penggunaan kata yang betul : a. PERIHATIN atau PRIHATIN b.istilah BAHARU atau BARU | Ejaan yang betul ialah prihatin. Kata "baru" dan "baharu" kedua-duanya betul, namun penggunaannya mengikut konteks ayat. Menurut Kamus Dewan, baharu atau baru bermaksud membaharui, memperbaharui, membaiki semula (melakukan sesuatu, mengubah, dll). Bagi menjawab pertanyaan saudara, "baru" kebiasaannya merujuk kepada masa, bagi membantu, dalam bahasa Inggeris, kata "just" digunakan untuk mempamerkan penggunaan kata ini. Contoh ayatnya, Dia baru tiba dari Kuala Lumpur. Kata "baharu" pula merujuk kepada sesuatu yang baru. Terjemahan dalam bahasa inggerisnya, "new" , termasuk digunakan untuk barang-barang. Contoh , Buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. | Tatabahasa | 18.10.2011 |
Banyak orang/Ramai orang suka akan waklil rakyat yang prihatin dan peramah itu. ramai orang betul atau banyak orang betul? atau kedua-duanya betul? apa rasionalnya? | Banyak/ramai orang suka akan waklil rakyat yang prihatin dan peramah itu. Banyak dan ramai kedua-duanya boleh digunakan dalam ayat tersebut. Dalam Kamus Dewan, banyak sama makna dengan bukan sedikit, tidak sedikit seperti orang dan sebagainya. | Tatabahasa | 04.09.2008 |
(i) Setiap anggota masyarakat hendaklah prihatin dan meminimumkan penggunaan air pada musim kemarau agar bekalannya tidak kritikal dan terpaksa dicatu. boleh tak kata 'pada' dalam ayat di atas dgantikan dengan 'semasa'? mana yang lebih sesuai? apakah perbezaan fungsi kedua-dua kata tersebut? | Setiap anggota masyarakat hendaklah prihatin dan meminimumkan penggunaan air pada/semasa musim kemarau agar bekalannya tidak kritikal dan terpaksa dicatu. - semasa juga boleh digunakan dalam ayat tersebut kerana semasa bermaksud pada ketika/pada waktu. | Tatabahasa | 05.05.2010 |
Mohon semak ayat di bawah: 1. Cinta terhadap negara 2. prihatin terhadap Ali 3. rindukan ibu | Ayat tersebut diberikan penambahbaikan, seperti yang berikut: 1. Saya cinta akan negara. 2. Saya prihatin terhadap Ali. 3. Saya merindui ibu. Untuk maklumat lanjut yang berkaitan dengan ayat, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 432 - 575.
| Tatabahasa | 13.03.2025 |
Saya ingin bertanya tentang perkataan "prihatin": 1) Masalah mendera kanak-kanak memprihatinkan para pemimpin negara. 2) Masalah mendera kanak-kanak diprihatinkan oleh para pemimpin negara. Soalan 1 dan 2, yang mana satukah yg betul? Atau kedua-duanya betul? Sila jelaskan. | Ayat yang betul ialah Masalah penderaan kanak-kanak memprihatinkan para pemimpin negara. | Tatabahasa | 17.02.2023 |