| Tuan, saya difahami bahawa: (1) dengan ialah kata sendi yang perlu diikuti kata nama. Dalam hal ini, lancar dan meriah ialah kata adjektif. oleh itu, perlukah kita tambah -nya bagi kata adjektif ini jika depan ialah kata sendi dengan? contoh: (i)Program itu dijalankan dengan lancarnya dan meriahnya atau (ii) Program itu dijalankan dengan lancar atau meriah? (yang mana betul) (2) dijalankan ialah kata kerja pasif bagi kata kerja aktif transitif bagi menjalankan. Oleh itu, bolehkah kita menggunakan : i) Program itu dijalankan dengan lancarnya atau perlu guna ii) Program itu berjalan dengan lancarnya? (yang mana betul) Ribuan terima kasih saya ucapkan terlebih dahulu. | Jawapan yang betul seperti yang berikut: 1. Program itu dijalankan dengan lancar dan meriah. 2. (i) Program itu dijalankan dengan lancar (ii) Program itu berjalan dengan lancar.
| Tatabahasa | 30.07.2023 |
| Salam sejahtera. Saya dimaklumkan Kementerian Pendidikan Malaysia menggunakan tajuk program Pelibatan Ibu Bapa dan Sekolah. Adakah maksud atau penggunaan nya berbeza dengan Penglibatan Ibu Bapa dan Sekolah? | Mengikut Tatabahasa Dewan, berdasarkan faktor fonologi, perubahan peN- ...-an menjadi pe-...an apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf m, n, ng, r, l, y dan w. Oleh sebab itu, bentuk yang betul bagi kata libat ialah 'pelibatan'. Namun disebabkan kekerapan masyarakat menggunakan 'penglibatan' maka Kamus Dewan dan Kamus Pelajar memasukkan entri ‘penglibatan” iaitu melibatkan diri sesuatu hal atau perkara, jadi “penglibatan” juga boleh digunakan untuk maksud yang sama dengan “pelibatan”. | Tatabahasa | 19.02.2014 |
| Saya ingin mengetahui istilah yang betul untuk "talent pool" dan "talent bench strenght" serta "coaching and mentoring" | Kesemua istilah yang dikemukakan berkaitan pengurusan atau pentadbiran yang belum didaftarkan padanan nya dalam bahasa Melayu. Talent pool bermaksud pengurusan/program membangunkan kerjaya pekerja yang berpotensi. Berdasarkan istilah sumur /telaga minyak, saya cadangkan talent pool = sumur sumber manusia/sumur pekerja. Talent bench strenght = kekuatan tanda aras sumber manusia. Daripada istilah Coach = pembimbing, jurulatih, koc. mentor = mentor. Dicadangkan Coaching= bimbingan, kejurulatihan. | Istilah | 30.07.2011 |
| Saya ingin menghasilkan buku teknikal berkenaan catur yang merangkumi Undang-undang Catur, Garispanduan Menjayakan Pertandingan Catur, Sistem Pertandingan dan Penggunaan Program Didalam Penganjuran Catur. Kebanyakkan buku-buku reference adalah didalam bahasa Inggeris jadi saya bertujuan untuk mengolahnya kedalam Bahasa Malaysia/Melayu. Undang-undang Catur adalah sesuatu yang umum jadi, perlukah saya mendapat kebenaran dari mana-mana pihak untuk menerbitkannya untuk mengelak plagiarism. Juga, saya didalam usaha menerbitkan buku Belajar Bermain Catur kerana saya rasa tidak ada lagi buku sebegini didalam bahasa Malaysia/Melayu dan kalau ada pun, mungkin ia nya telah dicetak disekitar pertengahan 60an. Adakah DBP menyokong penerbitan buku-buku seperti ini dan apakah garis panduan yang perlu saya ikuti i.e. tebal buku (perlu kah ada minima/maksima muka surat), dan juga penggunaan bahasa kerana beberapa terma dan terjemahan perkataan tidak mungkin terdapat didalam Bahasa Malaysia/Melayu. Harap dapat penjelasan | Pihak kami mengalu-alukan hasrat Saudara untuk menulis buku tersebut. Pihak kami bersedia untuk mempertimbangkan penerbitan buku tersebut sekiranya Saudara menyerahkan manuskripnya nanti kepada DBP. Manuskrip sebaik-baiknya dihantar dalam bentuk bercetak, dan juga dalam bentuk digital. Manuskrip mesti lengkap dengan bahan awalan, bahan teks dan bahan akhiran. Bahan awalan termasuklah halaman judul manuskrip, senarai kandungan, senarai ilustrasi dan senarai jadual, jika berkenaan. Bahan akhiran termasuklah senarai rujukan dan lampiran jika ada. Ilustrasi atau contoh ilustrasi perlu disertakan jika berkenaan. Penulis juga perlu menyertakan surat penyerahan manuskrip yang rasmi dengan keterangan lengkap berkenaan penulis dan sipnosis buku. Tebal manuskrip bergantung kepada kandungan manuskrip yang Saudara tulis dan kepada siapa manuskrip tersebut ditujukan, dan tidak ada syarat khusus mengenainya. | Lain-lain | 09.07.2012 |
| bagaimana hendak mengenal pasti kata majmuk? kemudian, adakah perkataan "sebagai",dan "ialah" juga merupakan kata majmuk? soalan kedua, perkataan "bersamanya", apakah yang dimaksudkan dengan perkataan "-nya"? adakah ianya adalah kletik? dan bagaimana hendak diterangkan dalam pembentukan kata bagi perkataan "bersamanya". | Kata majmuk ialah perkataan yang dibentuk dengan merangkaikan beberapa kata dasar ; bentuk yang terhasil membawa makna tertentu, dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, contohnya kapal terbang, ibu bapa sapu tangan dan sebagainya. Kata majmuk terbahagi kepada tiga jenis, iaitu: 1) Kata majmuk yang terdiri daripada rangkai kata bebas, contohnya guru besar, tengah hari dan balai raya. 2) Kata majmuk yang juga merupakan istilah khusus dalam bidang ilmiah, contohnya graf terarah, program bahasa dan analisis teks. 3) Kata majmuk yang mendokong maksud kiasan, iaitu simpulan bahasa, contohnya cakar ayam, lipas kudung dan anak emas. kata majmuk yang mantap sahaja dieja satu perkataan iaitu warganegara, setiausaha, olahraga, jawatankuasa, tandatangan, suruhanjaya, tanggungjawab, kakitangan, antarabangsa, jawatankuasa, pesuruhjaya, matahari, bumiputera, sukarela, kerjasama, beritahu. Kata majmuk yang lain dieja dua perkataan Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 133. "Sebagai" dan "ialah" bukan kata majmuk. "Sebagai" ialah kata sendi manakala "ialah" kata pemeri. "nya" ialah kata ganti nama diri orang ketiga yang juga boleh berfungsi sebagai kata pembenda/penekan. Keterangan lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga , halaman 295. | Istilah | 18.02.2009 |
| saya ingin mengikuti kursus-kursus jangka pendek yang berkaitan dengan bidang bahasa ataupun sastera. namun, bagaimanakah caranya? Siapakah yang perlu saya hubungi? | Kursus jangka pendek dalam bidang bahasa dan sastera yang dikendalikan oleh DBP hanya di peruntukkan untuk staf DBP.DBP mengendalikan program kursus berbayar jika ada permohonan dan permintaan dari jabatan luar dengan megendalikan sepenuh nya kursus secara pakej berdasarkan modul-modul kursus yang diperlukan oleh pelanggan.Setakat ini DBP belum menawarkan kursus kepada awam secara individu. | Lain-lain | 30.01.2008 |