I Pohon telinga Nazmir cedera kerana terkena ranting pokok semasa dia bermain-main di kawasan itu. II Pak Leman berehat seketika di bawah pohon beringin selepas membajak sawahnya. III Puan Rosnani menyuruh anak-anaknya masuk ke dalam rumah apabila dia melihat pohon angin yang mendung. IV Dewan Bahasa dan Pustaka bertanggungjawab dalam menentukan pohon bahasa yang berkaitan dengan Bahasa Malaysia. berdasar makna di dalam kamus dewan bahasa edisi 3, semua makna tertera sepatutnya betul tetapi mengapakah soalan I adalah salah. kalau salah, apakah kesalahannya? terima kasih | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat antara rangkai kata yang dibentuk daripada perkataan pohon ialah pohon telinga yang bermaksud pangkal telinga. Harap saudara dapat berbincang lebih lanjut dengan pihak yang menyatakan penggunaan perkataan pohon dalam konteks pertama tidak betul. | Makna | 07.06.2008 |
Selamat sejahtera tuan/puan. Mohon pertolongan tuan/puan untuk menyatakan pilihan jawapan yang tepat berdasarkan pilihan jawapan di bawah. 1.a)Satu kilogram setengah ATAU satu setengah kilogram? b)Satu jam setengah ATAU satu setengah jam? c)Satu meter setengah ATAU satu setengah meter? 2.a)Lagenda ATAU legenda? Terima kasih tuan/puan. Maaf untuk mengganggu. | Menurut data kami, rangkai kata yang betul ialah i. satu setengah kilogram ii. satu setengah jam iii. satu setengah meter. Ejaan yang betul ialah legenda. | Lain-lain | 19.03.2019 |
Selamat sejahtera tuan/puan. Mohon pertolongan tuan/puan untuk menyatakan pilihan jawapan yang tepat berdasarkan pilihan jawapan di bawah. 1.Menteri-menteri besar ATAU menteri besar-menteri besar 2.Perdana-Perdana Menteri ATAU Perdana Menteri-Perdana Menteri 3.Kaki-kaki botol ATAU kaki botol-kaki botol Mohon penjelasan untuk setiap pilihan jawapan yang tepat. Terima kasih tuan/puan. Maaf untuk mengganggu | Menurut data kami, rangkai kata yang betul ialah i. Menteri-menteri Besar ii. Perdana-perdana Menteri iii. Simpulan bahasa kaki botol tidak sesuai untuk digandakan. Lazimnya untuk menunjukkan bilangan jamak boleh menggunakan kata bilangan. Contohnya sekumpulan, semua dan beberapa. | Tatabahasa | 03.09.2019 |
Salam sejahtera, boleh tuan/puan beritahu saya apakah jawapan untuk soalan yang disertakan atau soalan tersebut langsung tidak mempunyai jawapan yang tepat. soalan: Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan cergas dengan betul. I Bersenam menjadikan otak kita cergas. II Dia bergiat cergas dalam bidang olahraga. III Kami berasa cergas setelah bekerja seharian. IV Suara budak itu memang cergas apabila berpidato. A. I dan II sahaja. B. I dan III sahaja. C. II dan IV sahaja. D. I, II, III dan Iv | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, makna cergas ialah: 1. bertenaga dan giat (bkn orang, tubuh, otak, dsb), aktif: Aminah kanak-kanak yg ~; 2. pantas, cepat: mereka bergerak ~ sebaik-baik sahaja diberi perintah; 3. banyak menjalankan atau terlibat dlm kegiatan dsb, giat, aktif: mengambil bahagian ~ dlm aktiviti sukan sekolahnya; sebuah jawatankuasa yg ~; 4. banyak kegiatannya menjual dan membeli (bkn pasaran saham); 5. (masih) mengeluarkan wap dan lahar (bkn gunung berapi), aktif: gunung berapi Etna masih ~. Berdasarkan takrifan tersebut, maka pilihan yang betul ialah ialah I, II, dan III. Untuk mengelakkan kekeliruan, saudara digalakkan merujuk penyedia soalan tersebut. | Tatabahasa | 24.06.2010 |
Salam Tuan/Puan, Bolehkah saya dapatkan terjemahan istilah Bahasa Inggeris berikut (dalam konteks metodologi kajian dan statistik): i. unidimensionality ii. normality test iii. corrected item total correlation iv. convergent validity v. disriminant validity Maklum balas dan kerjasama Tuan/Puan adalah amat dihargai. Sekian, terima kasih. | Walaikumussalam. Cadangan terjemahan yang sesuai ialah: i. Unidimensionality = keekadimensian ii. Normality test = ujian kenormalan iii. Corrected item-total correlation = korelasi item-jumlah dibetulkan iv. Convergent validity = keesahan konvergen v. Discriminant validity = keesahan diskriminan Terima kasih. | Istilah | 16.01.2017 |
Apakah pola untuk ayat berikut: i) Dapatkah anda mengatasi masalah ini? ii) Ya, sudah tentu boleh! iii) Eloklah anda mulakan tindakan ini segera. | Soalan yang dikemukakan tidak jelas. Untuk makluman puan, pola ayat terdiri daripada : I. Frasa Nama + Frasa Nama ii. Frasa Nama + Frasa Kerja iii. Frasa Nama+Frasa Sendi Nama iv. Frasa Nama +Frasa Adjektif Berdasarkan ayat di atas, ayat pertama merupakan ayat tanya, kedua ialah ayat seru dan ketiga ialah ayat penyata. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan untuk keterangan lebih lanjut. | Tatabahasa | 29.11.2013 |
Ayat yang betul ialah Puan Lee pandai menganyam tikar daripada buluh. bolehkah terangkan penggunaan daripada..... kalau ayat "tikar diperbuat daripada buluh" memang betul, kenapa kita tidak boleh gunakan " Puan Lee pandai menganyam tikar dengan buluh". boleh terangkan penggunaan dengan dan daripada. sekian terima kasih. | Kata sendi nama "daripada" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda dan unsur perbezaan atau perbandingan. Contoh: i. Pemain sarkas itu menerima bola daripada beruangnya ii. Ukiran itu diperbuat daripada kayu iii. Edisi kedua buku itu lebih lengkap daripada edisi pertama. Kata sendi nama "dengan" hadir di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud seperti yang berikut: i. membawa maksud bersama-sama atau berserta (Ayah pergi ke pekan dengan ibu.) ii. membawa maksud cara sesuatu dilakukan (Dia menyambut tetamu itu dengan senyum simpul.) iii. membawa maksud memakai atau menggunakan (Ani melukis potret itu dengan cat air.) iv. menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama (Orang itu sentiasa sependapat dengan ketuanya.) | Tatabahasa | 04.09.2013 |
Adakah terjemahan berikut tepat? i. All-Day-Dinning - Menu Sepanjang Hari ii. All-Day-Breakfast - Menu Sarapan Sepanjang Hari iii. All-Day-Snacks - Menu Snek Sepanjang Hari iv. Healthy choice - Pilihan berkhasiat Atau, bolehkah tuan/puan berikan cadangan terjemahan bagi yang di atas? Terima kasih. | Cadangan terjemahan tuan telah disemak dan dibuat sedikit pindaan: i. All-Day-Dinning - Menu Sepanjang Hari ii. All-Day-Breakfast - Sarapan Sepanjang Hari iii. All-Day-Snacks - Snek Sepanjang Hari iv. Healthy choice - Pilihan berkhasiat | Penyemakan dan penterjemahan | 09.03.2015 |
Salam tuan/puan. Saya ingin bertanya beberapa soalan. 1. Mana satu ayat betul dari segi tatabahasa? Apa yang perlu dia lakukan? / Apa yang perlu dilakukan olehnya? 2. Adakah kata tanya boleh diletak di tengah ayat? Cth: i. Rambut awak kenapa pendek sangat? ii. Awak kawan rapatnya, tahukah awak pergi ke mana? iii. Cikgu, adakah soalan ini betul? | Untuk soalan 1, ayat yang betul ialah “Apakah yang perlu dilakukannya?” Untuk soalan 2, kata tanya boleh wujud pada awal, tengah dan akhir ayat. Ayat yang betul ialah: i. Mengapakah rambut awak sangat pendek? ii. Awak kawan rapatnya, tahukah awak mengapa dia pergi? iii. Cikgu, adakah soalan ini betul? Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Nahu Melayu Mutakhir (DBP, 2015) hlmn. 435-444. | Tatabahasa | 26.01.2024 |
Salam tuan/puan, Bolehkah saya dapatkan terjemahan istilah berikut dalam konteks statistik? i) suppressor variable ii) reciprocal suppression iii) inconsistent mediation iv) bias-corrected confidence interval v) negative suppression vi) spurious relationship Terima kasih. | Dalam data rujukan kami, hanya perkataan spurious relationship mempunyai padanan bahasa Melayu, iaitu Perhubungan Palsu. Perkataan lain tiada dalam data rujukan kami. Mohon pihak tuan berikan cadangan bahasa Melayu terlebih dahulu bagi istilah tersebut supaya kami dapat membantu membetulkan istilah dalam bahasa Melayu tersebut mengikut konteks tuan. | Penyemakan dan penterjemahan | 28.09.2017 |