salam sejahtera, 1. Saya mempunyai kekeliruan penggunaan perkataan 'petinju' dan 'peninju'. Mohon pihak tuan jelaskan penggunaan hukum PKTS... adakah setiap perkataan yang bermula dengan huruf-huruf tersebut perlu ditiadakan hurufnya apabila menerima imbuhan. Contoh perkataan dasar sapu, apabila menerima imbuhan pen- akan menjadi penyapu. 2. mana satu yang betul, pusat beli belah atau pusat membeli belah? sekian, terima kasih | 1. Peninju ialah orang yang meninju, manakala petinju ialah orang yang berlawan tinju. Kata dasar yang bermula dengan huruf PKTS akan gugur apabila menerima imbuhan me-. Contohnya pukul - memukul, kuis - menguis, tolak - menolak dan sepak - menyepak. 2. Pusat beli-belah, membeli-belah ialah perbuatan yang biasanya dilakukan oleh manusia. | Tatabahasa | 29.07.2012 |
1. Adakah perkataan-perkataan berikut betul imbuhannya: Pengoperasian, Pengwujudan, Mempastikan. Jika salah, apakah imbuhan yang betul. 2. Bagaimanakah mengeja perkataan pra persaraan atau prapersaraan atau pra-persaraan? Adakah terpakai untuk semua perkataan yang bermula dengan pra? | 1. Pengoperasian tidak perlu diberikan imbuhan dan memadai dengan operasi sahaja kerana perkataan operasi bermaksud kegiatan, gerakan atau perjalanan sesuatu proses, alat dan sebagainya. Imbuhan yang betul bagi perkataan wujud ialah pewujudan bukannya pengwujudan, manakala perkataan mempastikan salah dan yang betulnya ialah memastikan kerana huruf "p" diawal perkataan pasti itu luluh apabila diberi imbuhan men-...kan. Huruf pertama dalam kata dasar berubah menjadi bentuk sengau yang sama daerah artikulasinya(homoganik) ialah m bagi p, n bagi t, ng bagi k, dan ny bagi s. Contohnya, pesan-memesan, pukul-memukul, tetap-menetap, tari-menari, karang-mengarang, kaji-mengkaji, salin-menyalin, dan sinar-menyinar. 2. Perkataan tersebut ditulis sebagai satu perkataan, iaitu prapersaraan kerana "pra-" ialah awalan produktif yang menerbitkan kata nama untuk membawa pengertian sebelum atau syarat kepada sesuatu yang mengikutinya. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 06.04.2009 |
Apa beza perkataan pukulan dan pemukulan | Pukulan daripada perkataan pukul yang membawa maksud hasil pukulan. Manakala, pemukulan daripada memukul yang membawa maksud proses memukul. | Makna | 12.11.2016 |
Boleh saya tahu adakah DBP ada buku atau buku istilah tentang "bunyi" sesuatu perkara dalam bentuk perkataan? Contohnya bunyi binatang, atau "pong" merujuk kepada "bunyi barang dll yg jatuh di air." Terima kasih | Setakat ini DBP tidak ada menerbitkan buku berkaitan bunyi. Yang ada segelintir jenis bunyi dalam kamus.Contoh: siut I 1. bunyi spt bunyi wisel yg nyaring; 2. bunyi spt bunyi orang menyiuk (kerana kepedasan dll); 3. bunyi spt bunyi rotan dll disebatkan di udara; 4. bunyi spt bunyi api disiram dgn air; bersiut berbunyi siut, berbunyi spt orang menyiuk (kerana kepedasan dll); siutan bunyi siut yg berkali-kali. Kamus Dewan Edisi Keempat lentung Ibunyi spt bunyi kelentung (loceng dll); ~-lentang = lentang-~ bunyi spt bunyi orang bertukang dll, bunyi berdentang; melentung berbunyi spt bunyi kelentung; lentungan bunyi melentung: di bawah keriang-keriut dan ~ roda pedati. Kamus Dewan Edisi Keempat mad Ar pemanjangan bunyi, bunyi pendek dijadikan bunyi panjang; maddah. Kamus Dewan Edisi Keempat lepuk bunyi spt bunyi orang bertepuk tangan, bunyi yg lebih besar drpd bunyi lepak; ~-lepak bunyi lepuk yg berulang-ulang: kemudian aku dengar juga ~-lepak bunyi lembu kena pukul; melepuk memukul, menampar; ®lapuk II. Kamus Dewan Edisi Keempat gedebuk bunyi spt bunyi benda berat jatuh; bunyi spt bunyi pukulan pd belakang seseorang dll. Kamus Pelajar Edisi Kedua lentang bunyi spt bunyi tin dipukul; ~-lentung bunyi kuat spt bunyi tin dipukul berulangulang, bunyi berdentang-dentang. Kamus Dewan Edisi Keempat uak II bunyi spt bunyi kerbau (katak dll); menguak mengeluarkan bunyi spt bunyi kerbau (katak dll): kambing mengembek, kerbau ~; uakan bunyi uak: seekor kuda meringkik diiringi ~ beberapa ekor lembu. Kamus Dewan Edisi Keempat rak I 1. bunyi spt bunyi pena yg digoreskan; 2. bunyi spt bunyi kayu patah dll; ~-rok bunyi pokok yg patah; ® derak. Kamus Dewan Edisi Keempat siul = siulan 1 bunyi spt bunyi suling yg dibuat dgn mulut. 2 bunyi burung. bersiul 1 membuat bunyi spt bunyi suling dgn mulut. 2 berbunyi (bkn burung). Kamus Pelajar Edisi Kedua lengking bunyi spt bunyi besi dipukul, bunyi yg kuat: sebanyak desus dan ~ kereta api sebanyak itu pula debar jantung Poniem; melengking berbunyi dgn kuat (bunyi besi dipukul, orang menjerit, dll): sebentar kemudian terdengar benda jatuh dan berikutannya ~ pula suara jeritan seorang perempuan; lengkingan suara atau bunyi melengking (jeritan dll): bunyi ~ kapak sayup-sayup terdengar dr pondokku; tiada kedengaran ~ anak-anak muda yg bergumal. Kamus Dewan Edisi Keempat | Lain-lain | 09.05.2014 |