Ayat di bawah ini bagaimana pula? 1. Teruskan semangat membetulkan penggunaan bahasa Melayu kita! 2. Teruskan semangant betulkan penggunaan bahasa Melayu kita! Ayat yang mana baru betul? | Ayat pertama lebih tepat tetapi perlu dibaiki menjadi "Teruskan usaha membetulkan penggunaan bahasa Melayu kita". | Tatabahasa | 11.05.2014 |
menurut kamus tatabahasa, 'banyak' perlu dibubuh di depan kata kerja. oleh itu, 1) Susu banyak mengandungi khasiat. dan 2) Susu mengandungi khasiat yang banyak. adalah ayat yang betul? Menurut hukum D-M pula, 1) Susu mengandungi banyak khasiat. Jadi, ayat manakah yang betul? Atau semua ayat tersebut boleh diterima? Terima kasih. | Banyak perlu diikuti dengan Kata Nama/Frasa Nama. Ayat - Susu banyak mengandungi khasiat - betul, iaitu banyak + Frasa Nama. Ayat 2 - Susu mengandungi khasiat yang banyak, juga betul (bentuk pasif). Ayat 3 - Susu mengandungi banyak khasiat, tidak betul mengandungi merupakan Kata Kerja Transitif, oleh itu perlu diikuti dengan Kata Nama/Frasa Nama sedangkan banyak merupakan Kata Adjektif. | Tatabahasa | 11.07.2008 |
Cikgu, ayat di bawah kata kerjanya perlu mempunyai imbuhan atau tidak? 1. Harap saudara dapat mempelajari sesuatu yang baharu. 2. Harap saudara dapat pelajari sesuatu yang baharu. Ayat ini pula? 1. Minta tuan jelaskan wang supaya tidak menimbulkan masalah. 2. Minta tuan jelaskan wang supaya tidak timbulkan masalah. (Kedua-dua kata kerja tidak perlu berimbuhan atas syarat ayat permintaan, atau satu tidak perlu berimbuhan dan satu lagi perlu berimbuhan?) Sama dengan ayat di bawah ini. 1. Minta saudara buang sampah ini untuk mengelakkan pencemaran udara. 2. Minta saudara buang sampah ini untuk elakkan pencemaran udara. (Bentuk ayat 1: Kata kerja pertama iaitu "buang" tidak perlu berimbuhan, manakala kata kerja kedua iaitu "elak" harus berimbuhan. Bentuk ayat 2: Kata kerja pertama iaitu "buang" tidak perlu berimbuhan, kata kerja kedua iaitu "elak" juga tidak perlu berimbuhan.) Saya keliru. Tolong tuan bantu saya. | 1. Harap saudara dapat mempelajari sesuatu yang baharu. 2. Tuan diminta menjelaskan wang bayaran supaya tidak menimbulkan masalah. 3. Buang sampah ini untuk mengelakkan pencemaran udara. (ayat ini tidak gramatis - buang sampah dan pencemaran udara) Untuk membuat binaan ayat yang betul, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 11.05.2014 |
Apakah perbezaan antara menyambungkan dengan menyambung? | Menyambung membawa maksud: 1. menjadikan lebih panjang dengan tambahan (tali, perbualan, cerita, dan lain-lain), memanjangkan, meneruskan (perbualan, permainan, dan lain-lain)2. menghubungkan sesuatu dengan yang lain (benda yang putus-putus dan lain-lain) 3. menghubungkan (telefon yang mendapat panggilan dengan sambungan-sambungan lain). Menyambungkan pula, 1. memanjangkan (cerita, perbualan, dll), meneruskan 2. menghubungkan sesuatu dengan yg lain (perkara yg putus-putus dll) 3. menggunakan sesuatu utk menyambung; 4. menyambung untuk (orang lain). Kedua-dua perkataan ini membawa maksud yang sama. Cuma makna tambahan bagi menyambungkan ialah, menyambung untuk orang lain. | Tatabahasa | 16.06.2016 |
saya masih kurang jelas ttg penerangan tuan... Sekiranya imbuhan apitan me...i menerima orang sbg objek manakala me....kan pula menerima objek bukan orang... maka jwpn tu spatutnya no 1... 1.Saya menemukan kucing itu di tepi longkang. Imbuhan me...kan ....objeknya bkn org. Tp tuan bg jwpn no. 2... 2. Saya menemui kucing itu di tepi longkang. imbuhan me...i yg sptutnya objeknya ialah orang. | Untuk makluman tuan, lazimnya apitan meN-...-i menerima objek yang bernyawa dan apitan meN-...-kan menerima objek tidak bernyawa. Kekeliruan di sini ialah penggunaan frasa "objek orang" dan "objek bukan orang" mengambil tempat "objek bernyawa" dan "objek tidak bernyawa" Oleh itu, ayat "saya menemui kucing itu di tepi longkang" betul. Perlu diingat rumus ini tidak terpakai untuk semua keadaan kerana apitan meN-...-kan dan meN-...-i dapat dibahagiakan kepada tiga. Untuk lebih memahaminya, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 207. | Tatabahasa | 17.04.2014 |
Salam, saya ingin bertanya tentang penggunaan kata 'dihias' dan 'dihias dengan'..Betulkah ayat ini? 1. Di bahagian dalamnya pula dihias dengan bunga yang cantik @ 2. Di bahagian dalamnya pula dihiasi dengan bunga yang cantik @ 3. Di bahagian dalamnya pula dihiasi bunga yang cantik. Sekian, terima kasih. | Ayat yang gramatis ialah: 1. ... dihias dengan bunga yang cantik. 2. ... dihiasi bunga yang cantik. | Tatabahasa | 27.12.2012 |
salam di sini ada 1 soalan 1)peratus sekiranya nombor dalam perpuluhan disebut satu perpuluhan dua tiga (1.23) bagaimana pula dengan peratus (%) adakah disebut satu perpuluhan dua puluh tiga peratus atau seperti di atas? | Dalam penulisan teks, kata peratus (%) hendaklah dieja, misalnya 1.23 peratus. Manakala dalam ilustrasi, misalnya jadual dan statistik, simbol % digunakan. | Tatabahasa | 06.10.2010 |
Salam sejahtera. 1. Apakah istilah yang lebih sesuai bagi makmal/bengkel kemahiran hidup. jika makmal tidak melibatkan kajia sains. Jika bengkel bukan pula tempat membaiki tambahan pula bukan tukang yang bekerja Ia hanya sebuah kelas tempat belajar yang dilengkapi dengan peralatan. Terima Kasih. | Makmal bermaksud tempat mengadakan percubaan atau penyelidikan, terutamanya dalam bidang sains atau teknikal, manakala maksud bengkel antaranya termasuklah kilang kecil, iaitu tempat perkerja melakukan tugas yang berkaitan dengan sesuatu kemahiran atau kerja-kerja fizikal. Mata pelajaran Kemahiran Hidup bukan setakat kelas akademik biasa tetapi juga melibatkan kerja-kerja kemahiran. Oleh itu, penggunaan yang paling tepat ialah bengkel Kemahiran Hidup.
| Tatabahasa | 09.05.2011 |
Salam, saya ingin tahu, apakah tempoh waktu yang sesuai bagi 7.00 pm?sama ada petang atau malam? 1.00 pm pula dipanggil 1.00 tengah hari atau 1.00 petang?Bolehkah tuan/puan jelaskan tempoh had masa yang sebetul-betulnya kepada saya? Sekian, terima kasih. | Penggalan waktu yang betul adalah seperti yang berikut: 12.00-1.59 tengah hari; 2.00 - 6.59 petang; 7.00- 11.59 malam; 12.00- 12.59 tengah malam; 1.00- 11.59 pagi. | Tatabahasa | 02.01.2013 |
(1) Menurut kamus, memercikkan bermaksud menrenjiskan air. Apakah pula maksud kiasannya dalam frasa "memercikkan semangat"? (2) Tempias pula bermaksud percikan. Apakah maksudnya dalam frasa "menerima tempias arus globalisasi"? | Frasa “memercikkan semangat” boleh diterjemahkan kepada “menimbulkan/membangkitkan/mencetuskan semangat/marah/benci dan lain-lain. Manakala, frasa “menerima tempias arus globalisasi” pula bermaksud “mendapat/menerima sesuatu bencana/akibat daripada arus globalisasi”.1"> | Makna | 19.06.2020 |