Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ra.sa] | راس

Definisi : 1. perihal sesuatu yg dikecap oleh lidah, keadaan yg dialami oleh bahagian tubuh (kulit dll apabila kena sesuatu): ~ manis (tawar, masam, masin, dll); ~ pedih (sakit, ngilu, dll); ~ badanku spt dibakar dgn api; 2. tabiat sesuatu benda yg menimbulkan rasa: gula manis ~nya; 3. = ~ hati keadaan hati terhadap sesuatu: ~ sedih (kecewa, pilu, senang, dll); ~ hormat (cinta, sayang, takut, dll); mengikut ~, binasa; 4. anggapan tentang baik buruk (salah benar dll), pendapat, fikiran: ~ adil dan saksama; pd ~ saya pd pendapat saya; 5. = rasa-rasa, rasanya, rasa-rasanya agaknya, barangkali, gerangan, kalau-kalau, kira-kira, rupa-rupanya: rasanya sedikit benar orang yg mengetahuinya; 6. = rasanya, serasa, rasa-rasa, serasa-rasa, rasakan sama rasanya dgn, seakan-akan, seolah-olah, selaku: dia sendiri serasa mengalami semula pengalaman Hilmy di sekolahnya; biadab di hadapan Bendahara itu rasa-rasa di hadapan kita; Amran rasa-rasa mendidih darahnya mendengar ucapan itu; rasakan lebih enak drpd rokok kita pasak kampung; serasa bayang hilang semangat; 7. = rasa-rasa ada ingatan, ada terlintas di hati (bagi menyatakan bimbang, ragu-ragu): ~ hendak dipukulnya pencuri itu habis-habisan; 8. memikir, mengagak, menganggap: saya ~ dia belum pulang lagi; dia ~ tidak ada gunanya mengamuk; ~ akan rasakan, bagaikan, seolah-olah oleh; turutkan ~ binasa, turutkan hati mati prb perihal orang yg menurutkan kemahuan hawa nafsunya, akhirnya binasa juga; yg dimakan ~, yg dilihat rupa, yg didengar bunyi prb melihat sesuatu menurut keadaannya yg terbukti dan sudah dipersaksikan; berasa 1. mendapat rasa (yg dialami oleh bahagian-bahagian badan): kakinya ~ sengal; seluruh badannya ~ sakit; 2. mempunyai rasa (manis, masam, pahit, dll): kerana banyak sangat garam, masakan itu ~ sangat masin; air ialah suatu cecair yg tidak berwarna, ~, atau berbau; 3. mengalami rasa di dlm hati (batin): orang Melayu lekas ~ tersinggung; ~ suka; ~ takut; 4. = dirasa, dirasai, terasa: rumahku ini tiada ~ rumahku lagi; maka ~ kpd dadanya spt kena panah; ~ berat berasa tidak sanggup, berasa di luar kekuasaan (kesanggupan); ~ hati a) ingin akan sesuatu, tertarik kpd; b) berasa kecewa, tidak senang hati, agak marah; c) tersinggung; merasa 1. mengalami rasa dgn lidah: air itu dirasanya masin; 2. mengalami rasa (sakit dll) pd tubuh: setelah Raja Zainal ~ luka, maka baginda pun meraba keris; nanti setelah lepas Pulau Penuba, sebelah petang, kita akan ~ angin Laut China; 3. = merasa-rasa mencuba dgn lidah utk mengetahui manis masam (pahit tidaknya dll): ia ~ gula itu; dua tiga orang sudah pun sampai dan ~ air kopi itu; 4. = merasa-rasa meraba-raba (menjamah dll) utk mengetahui kasar halus­nya (berat tidaknya dll): licin tidaknya dapat dirasa sendiri dgn tangan; merasai 1. mengecap (makanan, minuman, dll), mencicip: alangkah puas hatinya ~ makanan masakan ibunya; rasai dulu kopi itu sebelum dihidangkan; 2. menikmati (kesenangan, kemewahan, kebahagiaan, dll): kesenangan dan kemewahan hidup yg di­rasainya itu ialah drpd harta isterinya; belum pernah ia ~ hidup senang spt orang-orang lain; 3. menderita (kesusahan, seng­sara, dll): barulah hamba ~ sengsara hidup di dlm penjara; mereka akan ~ duka nestapa yg tidak terkira-kira lagi; rasai olehmu balas­an kekasaran tingkahmu; 4. = merasa-rasai meraba-rabai (menjamah-jamah) hendak me­ngetahui dgn tangan dll: rasa-rasai dahulu dgn kakimu sama ada dalam atau tidak sungai itu; 5. ki menduga (mengajuk, meng­kaji, meninjau, dll) hati orang dll: drpd air mukanya, kita dapat ~ apa yg ter­kandung dlm hati perutnya; syor-syornya itu harus dirasa-rasai dulu sebelum dibuat keputusan; 6. mengalami rasa dlm hati (batin): dirasai­nya cintanya pd wanita itu kian lumpuh; 7. sl menyedari, menginsafi: duduk di Mesir kira-kira tiga bulan lamanya itu pun tiada dirasai oleh Laksamana; merasakan 1. = memperasakan mem­biarkan (menjadikan, menyuruh) berasa atau merasai: ia mencuba sungguh-sungguh utk ~ fahamnya kpd seluruh pendengarnya; 2. merasai, menginsafi, memikirkan, meng­endahkan: beliau masih dirasakan penting utk memimpin Jabatan itu; utk memberikan nilai kpd sesuatu keindahan, seseorang mestilah faham dan dapat ~ keindahan itu; dan dirasakannya sekali bahawa tugasnya utk menjaga dirinya sudah semakin ber­tambah; 3. merasai, menderita: saya rasakan benar-benar kemesraan perhubungan kami; air matanya berderai menahan pedih yg dirasakannya; terasa dapat dirasa(i), sudah dirasa(i), merasa (berasa) dgn tiba-tiba: penat membawa barang-barang itu semakin ~; ~ sekarang belanja kita berlebihan drpd biasa; akhirnya ~ senang juga hatinya; terasakan terasa akan: dia ~ sesuatu yg memilukan hatinya; kerasaan mendapat rasa, dapat dirasa; perasaan 1. perihal merasa(i) dgn badan atau kulit dll, hasil atau perbuatan merasa dgn badan atau kulit dll: makanan yg lama tinggal dlm perut boleh menyebabkan sakit dan lain-lain ~ yg tidak menyenangkan; 2. perihal merasa(i) dlm hati atau batin, hasil atau perbuatan merasa dlm hati atau batin, sentimen: seorang gadis yg sangat halus ~nya; ~ kurang senang; tunjuk ~ perbuatan me-nyatakan bantahan beramai-ramai, demons-trasi; 3. kemampuan (kecekapan, kekuatan) utk merasa(i): seekor tikus me­nangkap mang­­sa­­nya dgn ~; tajamkanlah ~, pelihatan, dan fikiran tatkala menghadapi musuh; 4. fikiran, pendapat, pertimbangan: bagaimana ~ tuan berkenaan dgn masalah ini?; ~ perkauman sentimen yg berdasarkan kaum; berperasaan 1. ada atau mempunyai pera­saan: orang yg tidak ~; mereka ~ mulia dan tinggi budi; 2. penuh dgn perasaan: pelukan­nya menjadi semakin kuat dan ~; perasa 1. = alat ~ alat atau bahagian badan utk merasa(i); organ ~ lidah dll; 2. mudah (berasa): ia seorang tua ~ yg sering menge­luarkan air mata apabila ber­hadapan dgn anak-anak yatim; ~ angin lekas tersinggung; 3. benda yg memberi rasa (pd masakan dll); serbuk ~ serbuk yg dipakai utk menyedapkan rasa masakan; berperasa mempunyai perasa (bkn makan­an): biskut krim ~ buah-buahan. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ra.sa] | راس

Definisi : 1 apa-apa yg dialami oleh lidah atau kulit (ketika terkena sesuatu): ~ manis; ~ sakit. 2 sifat sesuatu benda yg menimbulkan rasa 1: Gula manis ~nya tetapi garam masin ~nya. 3 apa-apa yg dialami oleh hati atau batin ketika berlaku (melihat) sesuatu; keadaan hati atau batin terhadap sesuatu: ~ sedih; ~ pilu. 4 apa-apa yg difikirkan mengenai sesuatu; pendapat; fikiran: Pd ~ saya, itu tidak betul. rasanya, rasa-rasanya barangkali; agaknya: Kalau ~ dpt dikerjakan, kerjakanlah. ~ hari ini saya tidak dpt datang. ~ akan berhasil juga usaha kita ini. berasa 1 mempunyai atau beroleh rasa (terutama yg dialami oleh badan): Kedua-dua tangannya ~ lenguh. 2 ada rasanya (manis, masin dll). 3 mengalami rasa di dlm hati: ~ takut; ~ ngeri. merasa mengecap utk mengetahui rasa makanan atau minuman dgn lidah: Ibu hendak ~ kuih yg saya buat. merasa-rasa meraba-raba atau memegang-megang dsb utk mengetahui kasar halusnya (berat ringannya dsb): Halus atau kasarnya kain ini dpt dirasa-rasa sendiri dgn tangan. Rasa-rasalah dahulu dgn kaki utk mengetahui dalam tidaknya sungai itu. merasai 1 mendapat atau mengalami (nikmat dll); menikmati: Selama ini ia tidak pernah ~ kesenangan hidup. 2 menderita atau menanggung (kesusahan dll): Mereka akan ~ balasan Tuhan kelak. merasakan 1 membiarkan merasa atau merasai; mengesankan: Ia berusaha hendak ~ pengaruhnya kpd anggota-anggota persatuan yg dipimpinnya. 2 memikirkan; menganggap: Ia masih dirasakan penting dlm persatuan kami. terasa dpt (sudah) dirasa atau dirasai: ~ benar sakitnya sekarang. Tekanan ekonomi ~ di mana-mana. perasaan 1 hal berasa atau merasai sesuatu: ~ ingin menjadi sasterawan terkenal meluap-luap di dadanya. 2 rasa atau keadaan batin ketika menghadapi sesuatu: Hatinya selalu didatangi ~ takut. 3 kesanggupan utk berasa: Sindiran orang itu menyinggung ~ beberapa orang yg hadir. 4 pertimbangan hati ttg sesuatu; pendapat: Bagaimana ~ saudara ttg perkara ini? perasa 1 = alat ~ bahagian badan atau organ utk merasa. 2 mudah berasa atau mudah merasai; peka. serasa sama rasanya dgn; seakan-akan berasa: Minum air ~ duri. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
rasa
1. Dalam konteks pelbagai rasa
bersinonim dengan manis, masam, masin, pahit, tawar, payau, pedas, maung, hambar, kelat,
(adjektif:)

2. Bersinonim dengan fikir
( kira, ingat, agak, )
(kata kerja:)

Kata Terbitan : rasanya, rasa-rasanya, berasa, merasai, merasakan, terasa, perasaan, berperasaan, perasa, berperasa,

Puisi
 

Baju dipakai baju yang mana,
     Ingin serai rimbun ke daun;
Tinggal sekejap sebulan rasa,
     Rasa berkecai beribu tahun.


Lihat selanjutnya...(164)
Peribahasa

Rasa tak mengapa hidung dikeluani.

Bermaksud :

Orang yang membiarkan dirinya diperbodohi orang.

 

Lihat selanjutnya...(19)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Salam, Saya ingin bertanya tentang ayat berikut: -PASIR RASANYA KASAR. Adakah perkataan rasa boleh digunakan dalam ayat di atas, kerana setahu saya, perkataan rasa hanya digunakan apabila kita menggunakan lidah seperti Ubat rasanya pahit. RASA juga boleh digunakan untuk menunjukkan rasa sakit, pedih dan sebagainya. Saya harap pihak tuan dapat menyelesaikan masalah ini. Sekian.Perkataan 'rasa' memang tidak boleh digunakan dalam konteks ini kerana berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat rasa merujuk kepada 1. perihal sesuatu yang dikecap oleh lidah, keadaan yang dialami oleh bahagian tubuh (kulit dll apabila kena sesuatu) 2. tabiat sesuatu benda yang menimbulkan rasa 3. keadaan hati terhadap sesuatu 4. anggapan tentang baik buruk (salah benar dll), pendapat, fikiran. Dalam konteks ini, perkara yang boleh diterangkan tentang pasir ialah sama ada bentuk, rupa atau tekstur pasir tersebut. Makna10.11.2011
apakah perbezaan makna bagi perkataan "berasa" dan "merasa"Menurut Kamus Dewan, berasa bermaksud (i) mendapat rasa (yang dialami oleh bahagian badan) seperti berasa sakit ; (ii) mempunyai rasa seperti masin dan manis ; (iii) mengalami rasa di dalam hati seperti berasa suka. Manakala merasa pula bermaksud (i) mengalami rasa dengan lidah seperti manis, masin ; (ii) mengalami rasa (sakit dan lain-lain) pada tubuh.Makna03.12.2007
apakah maksud bertimbang rasa?Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, bertimbang rasa bermaksud menaruh (menunjukkan) timbang rasa (belas kasihan dll), bersimpati, berlaku adil.Istilah24.01.2010
Salam sejahtera khairun nisa', Soalan : apakah perbezaan makna bagi perkataan "berasa" dan "merasa" Jawapan : Menurut Kamus Dewan, berasa bermaksud (i) mendapat rasa (yang dialami oleh bahagian badan) seperti berasa sakit ; (ii) mempunyai rasa seperti masin dan manis ; (iii) mengalami rasa di dalam hati seperti berasa suka. Manakala merasa pula bermaksud (i) mengalami rasa dengan lidah seperti manis, masin ; (ii) mengalami rasa (sakit dan lain-lain) pada tubuh. Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan Khidmat Nasihat Dewan Bahasa dan Pustaka. Merujuk kepada jawapan daripada pihak tuan/pn, boleh disimpulkan bahawa maksud perkataan "berasa" dan "merasa" adalah sama. Penggunaan bahasanya juga adalah sama. contohnya, Saya berasa sakit. Saya merasa sakit. Saya berasa gembira. Saya merasa gembira. Adakah kenyataan saya betul?Berasa dan merasa, kedua-dua perkataan tersebut terbitan daripada kata rasa dan maknanya keduanya hampir sama (merujuk Kamus Dewan). Dari segi amalannya perkataan berasa biasanya dikaitkan dengan makna (i) dan (iii), manakala merasa pula biasanya dikaitkan dengan makna (i)Tatabahasa06.12.2007
Aduh, letihnya saya hari ini! Apakah kata seru yang betul untuk menggantikan 'aduh'? Terima kasih!Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, kata seru aduh digunakan untuk menyatakan rasa sakit (rasa hairan, keluhan). Sehubungan dengan itu, kata seru aduh digunakan kerana ayat yang saudara kemukakan itu berbentuk keluhan.Istilah07.07.2009
Salam yang manakah ejaan yag lebih tepat dalam teks " citarasa" atau "cita rasa"?Cita rasaTatabahasa09.04.2012
Apakah makna atau erti istilah SAYANG dan CINTA dan apakah beza antara kedua-dua perkataan ini.

Encik Kamal,

Perkataan sayang bermaksud 1 menaruh rasa kasih atau rasa cinta: ~ benar dia kpd suaminya. 2 perasaan kasih atau cinta: Dr mana datangnya ~, dr mata turun ke hati. 3 menaruh perasaan belas atau kasihan; berasa kesal: ~ aku melihat pengemis tua itu. ~ sekali jika kamu tidak melanjutkan pelajaranmu. 4 panggilan utk orang yg dikasihi; buah hati: ~, mari ayah dukung. bersayang-sayangan saling berasa sayang; berkasih-kasihan. menyayangi 1 berasa sayang akan; mengasihi; men­cintai: Dia sangat ~ anak dan isterinya. 2 berasa kesal terhadap sesuatu; menyesali: Apa gunanya ~ perkara yg telah berlaku? kesayangan 1 rasa kasih dan sayang; perasaan sayang; cinta kasih: ~nya terhadap cucunya itu amat mendalam. 2 apa-apa yg disayangi atau yg disukai: Dia terpaksa meninggalkan anak dan isteri ~nya utk melanjutkan pelajaran ke luar negara. penyayang (orang yg) bersifat sangat menyayangi sesuatu: ibu yg ~.

Perkataan cinta bermaksud 1. perasaan atau berperasaan sangat sayang kpd (negara, orang tua, kebebasan, dll): walaupun ~nya kpd keamanan amat kuat tetapi ia tetap mengangkat senjata kalau dicerobohi; 2. perasaan atau berperasaan sangat berahi (asyik, kasih, sayang) antara lelaki dan perempuan: ~ kpd suaminya masih tinggal bersarang dlm hati; barangkali kau masih ~ pd tunanganmu; 3. sl perasaan atau berperasaan dukacita (risau, bimbang, sedih, dll): tiada terperikan ~nya serta bercucuran air matanya; 4. perasaan atau berperasaan ingin akan sesuatu, rindu: putera raja itu amat sangat ~ akan burung yg dilihatnya itu; ~ berahi terlalu sangat cinta (asyik maksyuk); ~ kasih sangat cinta dan kasih (kasih sayang); ~ monyet cinta yg hanya sementara dan tidak serius, terutamanya di kalangan remaja; ~ pandang pertama cinta yg timbul terhadap seseorang walaupun baru pertama kali melihat atau bertemu dengannya; cintakan cinta akan, mencintai; bercinta 1. menaruh rasa cinta atau berahi (asyik, kasih, sayang) antara lelaki dan perempuan: elakkan drpd ~ sebelum lulus pelajaran; 2. berasa rindu; 3. ki berat rasa hati utk melakukan sesuatu (kerana sesuatu sebab yg kurang menyenangkan): kami sangat ~ utk pergi ke bank memandangkan lalu lintas yg sangat sesak; bercintakan 1. menaruh cinta atau kasih kpd, berahi kpd: sbg laki-laki yg ~ seorang wanita, bagaimana jua pun setia wanita itu kepadanya, namun curiga hatinya akan timbul juga barang sedikit; 2. berperasaan rindu akan, ingin akan: ia ~ benda yg sukar diperoleh; 3. sl berdukacita akan sesuatu, berasa sedih (pilu) hati akan sesuatu: tujuh hari baginda tiada nobat ~ Bendahara Seri Wak Raja; janganlah kakang emas ~ permintaan Ratu Dewi Kesuma Indera itu; bercinta-cintaan 1. cinta-mencintai, berkasih-­kasihan: baru hendak ~ dgn seorang perempuan, tiba-tiba ia diberi malu dan dihina; 2. bercengkerama atau bercumbu-­cumbuan (antara lelaki dan perempuan): sebelum hari malam, dia ~ dgn tunangannya; mencinta 1. menaruh cinta atau kasih (kpd); 2. sl berdukacita (akan), bersedih hati, menyesal; mencintai 1. mengasihi, menaruh cinta pd: ia ingin ~ dan dicintai; 2. merindukan(hendak memperoleh sesuatu dll), mengharap­harapkan, menginginkan: tidak ada orang yg tak ~ duit; tercinta (yg) dicintai (dikasihi, disayangi): engkau pisahkan aku dr anakku yg ~; kecintaan 1. perasaan cinta, kasih, kesa­yangan: yg mempertalikan hati suami dan isteri itu ialah ~ yg diikat oleh kesetiaan; seluruh rakyat seharusnya menerima hakikat ini dan memberi sepenuh ~ kpd bahasa kebangsaan; 2. yg dicintai (dikasihi), kekasih: pemuda ~nya bekerja sbg wartawan; 3. sl kerinduan kesedihan, kebimbangan; 4. sl menanggung cinta (sedih dll); percintaan 1. perihal bercinta-cintaan atau berkasih sayang (antara laki-laki dan perempuan): kahwin itu ialah kemuncak ~;2. sl perasaan dukacita (sedih, pilu, rindu, menyesal, dll), kesedihan, kesusahan: maka oleh bonda baginda kedua anakanda baginda, kedua-dua anakanda baginda dipeluk dicium, maka ~ bonda baginda pun hilanglah; pencinta orang yg meminati dan mencintai sesuatu: ~ sastera; ~ buku.

Daripada makna yang diberikan jelaslah bahawa kedua-dua perkataan ini bersinonim. 

Kamus Dewan Edisi Empat
  
Makna13.06.2010
Salam sejahtera, Tuan/puan, Sila nyatakan ayat yang mana betul. 1. Kita bergantung kepada lidah untuk mengesan rasa makanan. 2. Kita bergantung pada lidah untuk mengesan rasa makanan. Terima kasih.Kita bergantung pada lidah untuk mengesan rasa makanan.Tatabahasa29.06.2012
Saya rasa salah satu halangan dalam pembelajaran bahasa Melayu bagi penutur bukan asli ada pada kata kerja. Kata kerja tidak seperti kata nama boleh merujuk kepada satu objek yang boleh nampak. Semasa saya berada di sekolah menengah dahulu, saya baca novel bukit kepong. Pada masa itulah saya sedar betapa rumitnya nak memahai kata kerja secara terperinci. Saya pernah mencadangkan buat satu kamus kata kerja kepada bos saya. Tetapi selepas saya mencadangkan benda ini barulah saya sedar betapa bodohnya cadangan saya itu. Bagaimanakah sebuah kamus yang hanya dimasukkan kata kerja berfungsi? Tetapi saya masih harap ada kajian terhadap bidang ini(kata kerja) dilakukan.Dalam buku Tatabahasa Dewan, kata kerja ditakrifkan sebagai perkataan yang menjadi inti bagi binaan atau konstruksi frasa kerja. Sebagai orang awam terutamanya yang tidak ada asas linguistik agak sukar untuk memahami tafsiran sedemikian. Semoga buku Tatabahasa Dewan, edisi pelajar yang bakal terbit dapat membantu kita mempelajari dan lebih memahami bahasa Melayu.Lain-lain23.07.2012
Saya rasa istilah bahasa Melayu telah ditukar semula menjadi bahasa Malaysia selepas sambutan kemerdekaan ke-50 tahun lepas. Tetapi Pelita Bahasa Februari 2008 masih menggunakan istilah bahasa Melayu. Adakah masih kekal sebagai bahasa Melayu? Huruf 'B' pada perkataan bahasa dalam huruf kecil atau besar? Terima kasih.Selagi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu tidak berubah, maka nama rasmi bahasa kebangsaan negara Malaysia ialah bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, dalam konteks komunikasi sosial yang tidak rasmi, apabila merujuk kepada bahasa yang menjadi sistem komunikasi bersama rakyat Malaysia, istilah bahasa Malaysia boleh digunakan di samping istilah bahasa Melayu. Ejaan bahasa Melayu yang menggunakan 'B' digunakan untuk mengeja nama mata Pelajaran : Bahasa Melayu.Lain-lain26.02.2008
12345678910...

Kembali ke atas