(1) Rasional berhubung penggunaan "peroleh" tanpa "i" manakala "didapati" boleh menggunakan "i". (2) Perbezaan antara "skop" dan "spesifikasi". adakah perbezaan antara keduanya. (3) Istilah "berkuat kuasa"..kenapa perlu dua perkataan. adakah perkataan "berkuat" itu boleh tersendiri.. Segala perhatian amat dihargai. TK | 1. Apitan di-…i ialah bentuk pasif bagi meN-…-i . Contoh: kata kerja aktif mendapati, kata kerja pasifnya didapati. Apitan mempeR-…-i tidak begitu produktif. Kata-kata yang bergabung dengan apitan ini tidak banyak. Setakat ini hanya empat perkataan yang terbentuk dengan apitan ini iaitu memperingati, memperkawani, mempersuami(i), memperisteri(i). Berlaku pengguguran huruf i pada perkataan mempersuami dan memperisteri. Bentuk lazim memperolehi sebenarnya bentuk terbitan yang lewah, untuk membawa pengertian yang lazimnya dikaitkan dengan perkataan di atas. Memperolehi seharusnya menerima awalan memper-. Oleh itu memperolehi seharusnya memperoleh. Sebagaimana hal yang berlaku pada memper-...-i, demikian juga pada bentuk apitan dipeR-...-i. Bentuk yang lazim digunakan iaitu diperolehi, sebenarnya merupakan bentuk terbitan yang lewah. Kata dasar bentuk apitan ini seharusnya menerima awalan diper- , yakni diperolehi seharusnya diperoleh. (Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga hlm. 208, 211 – 217) 2. Perkataan skop dan spesifikasi ialah dua perkataan yang mempunyai makna yang berbeza. Skop bererti bidang yg diliputi, ruang liputan, ruang lingkup. Spesifikasi bererti butiran terperinci yg ditentukan (dinyatakan) untuk sesuatu, perincian (tentang sesuatu). Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat.3. Kata majmuk ialah kata yang terhasil daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit. Ada beberapa kata majmuk yang telah mantap dieja bercantum. Contohnya:tandatangan, tanggungjawab. Apabila kata majmuk ini menerima awalan, kata dasarnya dieja terpisah, tetapi apabila menerima apitan, kata dasarnya dieja bercantum. Contohnya: Kuat kuasa, berkuat kuasa, dikuatkuasakan. | Tatabahasa | 01.06.2011 |
apakah maksud geliung ? dan maksud rasional ? | 1. Geliung bermaksud sejenis kapal layar yang besar di Eropah yang digunakan sebagai kapal perang atau kapal dagang dari kurun ke-15 hingga ke-18 2. Rasional bermaksud i. alasan munasabah yang mendasari sesuatu tindakan, perbuatan atau pegangan ii. berdasarkan taakulan, menurut pertimbangan atau fikiran yang wajar, waras | Makna | 11.11.2011 |
(1) Mohon penjelasan rasional mengapa perkataan "diperoleh" tanpa "i" sedangkan perkatan "dimilki", "didapati" dibolehkan penggunaannya. (2) Lagi satu perkataan "indicator" dalam bahasa inggeris akan diterjemahkan sebagai "penunjuk" atau "petunjuk". Saya telah merujuk kepada Kamus DBP Ed.4 tetapi masih mengelirukan. Adakah wajar untuk saya menggunakan perkataan "indikator"... (3) Adakah boleh singkatan perkataan "julai" dibuat sebagai "Jul"...adakah dibenarkan penggunaanya... Terima kasih atas penjelasan. K/sama tuan amat dihargai demi menambah pengetahun di samping memartabatkan bahasa..TK | 1. Kata dasar oleh menghasilkan kata terbitan lain seperti diperoleh dan memperoleh, manakala kata terbitan dimiliki dan didapati seperti contoh yang diberi ialah bentuk transitif bagi kata milik dan dapat. 2. Padanan/istilah indicator dalam bahasa Melayu ialah penunjuk (petunjuk dan indikator ialah istilah lama). 3. Untuk singkatan kata Julai saudara perlu menulis seperti Jul. (dengan noktah). Untuk menulis sesuatu singkatan apa yang penting kata tersebut boleh difahami oleh pembaca. | Tatabahasa | 07.07.2009 |
1.apakah cabaran bahasa malayu dalam era globalisasi ? . 2.wajarkah bahasa melatu di politikkan ? 3. apakah tindakan dbp dalam menjadi jabatan yang telus dari unsur yang mengganggu gugat status yang bebas (badan berkecuali). 4.kenapa bahasa melayu sukar untuk bersaing di peringkat global? | 1. Cabaran BM dalam era globalisasi antaranya penggunaan BI yg berleluasa, pengaruh media asing termasuk cetak dan elektronik, budaya luar yg sedikit sebanyak menggugat budaya tempatan dsbnya. 2. Soalan sdr agak sinikal, tetapi politik yg bagaimana sdr maksudkan?3. Soalan sdr agak kabur, tetapi dalam banyak hal DBP bertindak rasional dan terarah. 4. Dlm keadaan sekarang bahasa Inggeris lebih diutamakan sebagai bahasa ekonomi global. Untuk bersaing agak sukar, tetapi dalam waktu yg sama kita berusaha utk menjadikan BM sebagai bahasa di peringkat dunia. T kasih. | Lain-lain | 15.09.2008 |
Tuan, Apa terjemahan yang tepat untuk perkataan berikut: 1. Social Exchange Theory; 2. Rational Action Theory ; 3. Knowledge-Based Theory of the Firm; 4. Social Cognitive Theory; 5. Social Capital Theory; dan 6. Resource Based View of the Firm Terima kaih. | Terjemahan yang dicadangkan adalah seperti yang berikut: 1. Social Exchange Theory - Teori Pertukaran Sosial 2. Rational Action Theory - Teori Tindakan Rasional 3. Knowledge-Based Theory of the Firm - Teori Berasaskan Pengetahuan Firma tersebut 4. Social Cognitive Theory - Teori Kognitif Sosial 5. Social Capital Theory - Teori Modal Sosial 6. Resource Based View of the Firm - Pandangan Berasaskan Sumber Firma tersebut | Istilah | 30.09.2013 |
Salam Sejahtera, Soalan 1 : Saya ingin mendapat penjelasan tentang penggunaan 'ialah' dan 'adalah' yang betul yang mudah difahami serta teknik mudah untuk diajar kepada pelajar-pelajar? Soalan 2 : Penggunaan kata 'ia' sesuai untuk manusia? Soalan 3 : Fungsi dan penggunaan imbuhan 'memper...' dan 'memper...kan' yang tepat. soalan 4 : Yang manakah betul penggunaannya? a)ibu bapa, b)ibu-bapa a)suami isteri, b)suami-isteri a)sanak saudara,b) sanak-saudara a)ipar duai, b)ipar-duai Berdasarkan, kata-kata yang disenaraikan, apakah relevan dan rasional penggunaan tanda sempang bagi perkataan-perkataan tertentu dalam bahasa Melayu? | 1. Ialah dan adalah tergolong dalam kata pemeri. Ialah digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, manakala adalah digunakan untuk kata sendi nama seperti untuk, pada, dalam, dengan dan sebagainya. 2. Ia kata ganti nama diri ketiga (untuk manusia) dan boleh juga digunakan bagi merujuk benda yang dibicarakan. 3. Awalan memper-... digunakan dengan kata adjektif, manakala apitan memper...kan digunakan juga dengan kata kerja dan kata nama. Apitan memper...kan dengan kata kerja membawa maksud menyebabkan orang lain melakukan perbuatan yang terkandung dalam maksud kata kerja. Apitan memper...kan dengan kata nama membawa maksud kuasatif. Untuk maklumat lanjut sila rujuk Tatabahasa Dewan, halaman 177. 4. Ejaan yang betul ialah ibu bapa, suami isteri, sanak saudara dan ipar-duai. Tanda sempang digunakan bagi perkataan berganda yang menunjukkan banyak/ramai. | Tatabahasa | 04.12.2009 |