Apakah penggunaan 'capai' dalam "Capai Raya Meriah" sesuai? ia bermaksud kita hendak mencapai raya yang meriah. Jika tidak sesuai, apakah sebabnya dan apakah kata ganti yang sesuai yang selari dengan 'capai raya meriah' | Menurut kamu s Pelajar Edisi Kedua, maksud capai ialah: 1. (hendak) memegang atau mengambil sesuatu dengan menghulurkan tangan: Ali mencuba ~ buah yg di hujung dahan itu. 2 Sampai (ke): Umurnya sudah hampir ~ 100 tahun. 3 Mendapat (sesuatu maksud dan lain-lain); menyampaikan atau menjayakan (maksud dan lain-lain): Dia bekerja sungguh-sungguh utk ~ cita-citanya. 4 Mendapat sesuatu dgn usaha: Utk ~ tujuan itu, kita mesti bekerja dgn lebih tekun lagi. Manakala maksud raya pula ialah besar Maka cadangan penggunaan ayat yang betul dan baik ialah "Mencapai Hari Raya yang Meriah" | Tatabahasa | 18.03.2021 |
Sapaan @ Solutasi di pertengahan dan akhir ayat menggunakan huruf kecil kan? contoh tuan dan puan tetapi kenapa sapaan dalam perundangan ditulis dengan huruf besar walaupun dipertengahan dan akhir ayat seperti Tuan, Puan, Defendan,Plaintif, Pendakwa raya, Peguam bela, Mahkamah ini dsb. Adakah ini gaya penulisan dalam penulisan penghakiman? adakah ia salah dari segi tatabahasa? atau sebenarnya memang ada salutasi@sapaan umum yang boleh digunakan huruf besar di pertengahan dan akhir ayat? atau ada apa-apa hukum tatabahasa yang saya tertinggal? mohon pencerahan. Terima Kasih. | Penggunaan huruf besar dan huruf kecil dan penggunaan perkataan sebagai nama khas atau nama am bergantung pada makna dan konteks penggunaan dalam sesuatu wacana. Dalam hal penggunaan perkataan yang dibesarkan hurufnya boleh dikatakan nama khas sekiranya rangkai kata ini dilihat sebagai sesuatu nama khas yang telah dinyatakan dalam wacana sebelumnya atau yang biasanya terdapat dalam laras undang-undang yang memberikan maksud penggunaan dalam wacana seterusnya. | Tatabahasa | 28.12.2020 |
boleh saya dapat kan buku daftar kata terkini? | Puan Sarimah, Buku daftar kata yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ialah Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi. Daftar kata ini boleh dibeli di Kedai Buku Koperasi DBP, tingkat bawah, Menara DBP, KL atau di kedai buku yang terdapat di bandar raya Kuala Lumpur. | Lain-lain | 28.12.2009 |
Kerajaan telah memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk memperbaiki sistem jalan raya di negara kita. Adakah penggunaan kata kerja transitif memperbaiki dalam ayat di atas betul? Kalau tidak, tolong berikan jawapan yang betul dan jelaskan sebabnya. Adakah imbuhan memper....i tidak boleh dibubuhkan pada kata adjektif lagi? Terima kasih. | Bagi kata memperbaiki adalah lewah kerana perkataan tersebut seharusnya menerima awalan meN- atau memper-, apitan men-i atau apitan memper-...-kan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 211 untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 12.08.2010 |
Mohon penjelasan tentang kata penguat Yang manakah jawapan yang tepat dan alasannya 1. Puan Rosmaizan __________ semasa menerima hadiah daripada anak-anaknya bersempena dengan Hari Ibu semalam. A. gembira nian B. gembira benar C. amat gembira sangat D. paling gembira sekali 2. Puan Sarimah _________ anaknya yang menuntut di sebuah universiti di Jordan sekotak biskut sempena sambutan Hari Raya Puasa. A. mengirimi B. mengirimkan 3. Bagaimanakah kaedah terbaik untuk menerangkan kepada murid sekolah rendah tentang penggunaan me...i dan men...kan. 4. Bagaimanakah pula cara menerangkan cara mudah penggunaan kata penguat dalam sesuatu ayat iaitu kesalahan dalam menggunakan kata penguat dalam ayat | 1. Puan Rosmaizan gembira nian semasa menerima hadiah daripada anak-anaknya bersempena dengan Hari Ibu semalam. 2. Puan Sarimah mengirimi anaknya yang menuntut di sebuah universiti di Jordan sekotak biskut sempena sambutan Hari Raya Puasa. 3. Perbezaan penggunaan meN-... -kan dan meN-...-i adalah dari segi jenis objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek yang tidak bernyawa, seperti Ayah menghadiahkan sebuah basikal kepada adik; dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa., seperti Ayah menghadiahi adik sebuah basikal 4. Kata penguat ialah perkataan yang mendahului atau mengikuti frasa atau kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam frasa atau frasa adjektif. Terdapat tiga jenis kata penguat, iaitu i. kata penguat hadapan ii. kata penguat belakang iii. kata penguat bebas. Oleh itu, penggunaan yang betul ialah sungguh cantik, cantik sungguh, cantik amat, amat cantik. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 21.04.2015 |
1. Sila jelaskan perbezaan untuk kosa kata di bawah ini kerana sukar mendapatkan satu kepastian~'kewajiban' dengan 'kewajipan' DAN 'perburu' dengan 'pemburu'. 2. Yang manakah betul~ a. Dengan ini, adalah dimaklumkan bahawa b. Dengan ini dimaklumkan c. Adalah dimaklumkan dengan ini d. Dengan ini dimaklum bahawa | Penggunaan yang betul: 1. Kewajipan dan kewajiban membawa maksud yang sama iaitu: a) Sesuatu yg diwajibkan, kemestian, keharusan. b) Tugas (tanggungjawab) yang harus dilakukan atas perintah. 2. Perburu ialah orang yang berburu, manakala pemburu ialah orang yang memburu. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi ketiga, halaman 115 untuk mendapatkan keterangan lanjut. 3. Ayat yang betul ialah Dengan ini dimaklumkan bahawa… Adalah ialah kata pemeri. Kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan kata kerja atau frasa kerja. Adalah dimaklumkan (salah). Bahawa ialah kata hubung pancangan komplemen, berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi komplemen atau pelengkap pada klausa utama. Contohnya: Dengan ini dimaklumkan (sesuatu). Esok Hari Raya Aidiladha. => Dengan ini dimaklumkan bahawa esok Hari Raya Aidiladha. | Tatabahasa | 28.09.2015 |
Salam Saya hendak bertanya, dalam bahasa Melayu adakah perkataan adangan dan teradang? Kata dasar perkataan ini ialah adang? Apakah maksud kata adangan dan teradang? terima kasih | Mengikut Kamus Dewan, perkataan “Adang” itu sendiri mempunyai beberapa maksud iaitu adang-adang penyekat (yg memisahkan, mengasingkan, dsb): tiap-tiap meja disekat dgn satu ~; ~ pintu penyekat di muka pintu; mengadang 1. = mengadangi menahan (seseorang) drpd dapat lalu atau masuk ke sesuatu tempat (dgn mendepangkan tangan, merintangkan sesuatu, dsb), menghalang(i), menyekat: Hamid ~nya di pintu, tidak mahu memberinya masuk; 2. menyekat laluan (di jalan raya): mereka ~ jalan dgn meletakkan tong-tong kosong; sebatang pokok yg tumbang ~ jalan dan menyebabkan banyak kenderaan terkandas; 3. menunggu dgn tujuan hendak menyergap (menyerang hendap): merancang utk ~ musuh; 4. menuju, memaksudkan, menghadapi; 5. menempuh (bahaya, kesukaran, dsb); musuh jangan diadang, selisih jangan dicari prb pertelingkahan atau perselisihan janganlah dicari-cari; sungguhpun kawat yg dibentuk, ikan di laut yg diadang prb sungguhpun nampaknya tidak ada sesuatu maksud tetapi ada juga benda yg dituju; mengadangkan menggunakan sbg adang, merentangkan (sesuatu), mendepangkan (tangan): diadangkannya lengannya; pengadangan 1. tempat utk mengadang; 2. perbuatan mengadang; pengadang 1. penghalang, perintang (di jalan dll), sekatan; 2. orang yg mengadang (menghalang atau menyekat orang lain); 3. penyamun dsb yg mengadang (menunggu dan menyerang hendap). (Kamus Dewan Edisi Keempat). Saudara yang budiman, Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang perkataan andang, sdr. boleh menggunakan enjin carian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). PRPM merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sila layari dan memasukkan maklumat yang ingin dicari dalam ruang yang disediakan dan klik "cari" atau sila rujuk Kamus Dewan edisi Keempat. | Tatabahasa | 23.10.2018 |
Apakah ada perbezaan di antara MERENTAS dan MERENTASI? | Kata dasar untuk perkataan tersebut ialah RENTAS yang membawa maksud lintang; garis(an) ~ garis(an) yg melintang; keratan ~ keratan yg melintang; merentas 1. meretas, membuka, memutuskan: kena balung ayam kenantan habis direntas taji ayam orang sebelah; 2. melalui atau menempuh (sesuatu kawasan), memintas, melintasi, menjalani: jalan raya yg ~ negeri itu sangat banyak; kita ~ padang yg penuh dgn lalang; berlari ~ desa; 3. merintis; ~ jalan a) merintis (membuka) jalan; b) memintas jalan; 4. ki mencakup atau merangkumi: bahasa Melayu kini mampu ~ semua bidang ilmu; rentasan garisan dll yg merentas: nilaian n dapat diperoleh dr ~ graf pd paksi melintang dan ~ graf pd paksi tegak; salah satu cara yg mudah sekali utk menggambarkan kontur ialah dgn melukis ~; perentas (Mat) garisan lurus yg memotong dua atau lebih garisan lurus; ® retas. (Kamus Dewan Edisi Keempat). Pengimbuhan ialah proses yang menggandingkan imbuhan dengan kata dasar. Proses ini menghasilkan perkataan yang disebut kata terbitan. Imbuhan dibahagikan kepada empat jenis berdasarkan kedudukan imbuhan itu dalam perkataan. Empat jenis imbuhan ialah awalan, akhiran, apitan dan sisipan. Perkataan MERENTAS dan MERENTASI ialah kata kerja terbitan yang mengalami proses pengimbuhan awalan dan apitan. Contoh: - Awalan kata kerja me- (me+rentas)
- Apitan kata kerja me-...-i (me+rentas+i)
Perkataan merentas dan merentasi membawa maksud yang sama, contoh penggunaannya: - Jejambat yang merentas/merentasi jalan kereta api itu penuh sesak.
- Dia merentas/merentasi padang yang penuh dengan lalang.
| Tatabahasa | 07.02.2019 |