Terdapat buku cerita kanak-kanak dipasaran yang bersuku kata berlainan suku katanya. Contohnya perkataan :- "Perempuan" Sukukata yang mana satu betul? adakah "Pe-rem-pu-an" atau "Pe-rem-puan". | Suku kata yang betul ialah pe-rem-puan. Untuk keterangan lanjut berkenaan suku kata, sila rujuk buku Daftar Kata Bahasa Melayu Edisi Kedua (DBP, 2008). | Tatabahasa | 08.04.2010 |
Apakah penceraian suku kata untuk perkataan "perempuan"? 1. pe-rem-pu-an (atau) 2. pe-rem-puan ? | Pemenggalan suku kata bagi kata perempuan ialah pe-rem-puan kerana pemenggalan dibuat mengikut bunyi dan puan dibunyikan sedemikian (puan) tidak dibunyikan sebagai pu-an. | Tatabahasa | 28.09.2017 |
Assalamualaikum dan selamat tengah hari, Mohon pencerahan pihak tuan/puan tentang pencerakinan suku kata. Contoh perkataan seperti berikut: 1) beliau > be/li/au atau be/liau 2) berdoa > ber/do/a atau ber/doa 3) menganugerahkan > meng/a/nu/ge/rah/kan atau me/nga/nu/ge/rah/kan 4) kaum > ka/um atau kaum 5) perempuan > pe/rem/puan atau pe/rem/pu/an 6) Bolehkan diterangkan secara terperinci pencerakinan suku kata jika terdapat huruf diftong. Contoh perkataan "haiwan" dan "tauladan" Terima kasih. | 1) beliau > be/li/au 2) berdoa > ber/do/a 3) menganugerahkan > meng/a/nu/ge/rah/kan 4) kaum > ka/um 5) perempuan > pe/rem/puan 6) Diftong ialah gabungan dua bunyi vokal yang disebut dalam satu suku kata akibat perubahan kedudukan lidah seperti ai,au dan oi dalam perkataan pandai, pulau dan amboi. Satu lagi bentuk yang hampir sama ialah vokal berganding, tetapi vokal berganding berbeza daripada diftong yang dilafazkan sebagai satu bunyi contohnya kuih, buih, air dan laut. haiwan > h/ai/wan tauladan > t/au/la/dan | Tatabahasa | 22.10.2019 |
minta tanya suku kata yang betul untuk perkataan di bawah. 1. main 2. perempuan 3. keluarga 4. ceria 5. kuih Sebelum saya pernah minta tanya, dimanakah saya dapat buku rujukan suku kata. Saya diberitahu dewan tatabahasa edisi ketiga. Boleh pihak tuan beritahu di manakah saya dapat beli atau emel muka depan supaya saya dapat cari di kedai buku. Terima kasih. | Pemenggalan suka kata bagi perkataan tersebut: Main – ma.in Perempuan – pe.rem.pu.an Keluarga – ke.lu.ar.ga Ceria – ce.ri.a Kuih - ku.ih Selain daripada buku Tatabahasa Dewan, tuan juga boleh merujuk buku Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu dan buku Pedoman Ejaan dan Sebutan Bahasa Melayu. Ketiga-tiga buku tersebut merupakan terbitan DBP. Untuk melihat kulit buku, tuan boleh membuat carian melalui Internet. Sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pembelian buku, tuan boleh menghubungi talian berikut: Anjung DBP: 03-2147 9597/03-2147 9598 Kompleks DBP Hulu Kelang: 03-41010028/019-2141956 (WhatsApp) Layari laman web ini https://dbpniaga.my | Tatabahasa | 17.06.2021 |