Yang mana ejaan yang betul:REMPAH RATUS atau REMPAH -RATUS? Kedua-dua bentuk ejaan ini terdapat dalam PRPM. Contoh dalam PRPM: Soalan dalam Khidmat Nasihat bertarikh 25.4 2011 (ada sempang) Pengesahan Bahasa bertarikh 29.8.2013 (tiada sempang) | Ejaan yang betul ialah rempah-ratus. Tuan boleh merujuk Kamus Dewan Edisi Empat untuk carian ejaan yang betul. | Ejaan | 18.09.2013 |
1)Apakah perbezaan perkataan dengan imbuhan mem...kan dan imbuhan mem sahaja? Contohnya, memberi dan memberikan. 2)bagaimanakah kita hendak membezakan sama ada perkataan itu dieja dengan '-' atau tidak. Contohnya sampah sarap @ sampah-sarap, rempah ratus @ rempah-ratus 3)yang mana satu betul ? Menghentikan @ memberhentikan? Jikalau kedua-duanya betul, apakah perbezaannya? | Awalan mem- ialah salah satu daripada alomorf meN-, iaitu kata kerja yang mendukung maksud melakukan sesuatu. Penggunaan kata kerja dengan awalan meN- boleh menerbitkan dua makna, iaitu sama ada melakukan perbuatan seperti mengarang dan mengaum; serta menyatakan keadaan seperti seperti membujang dan memanjang. Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 151 - 161. Manakala kata kerja yang terbentuk dengan apitan meN-...-kan menghasilkan kata kerja transitif dengan maksud membuat sesuatu yang terkandung dalam kata kerja dasar seperti ... merundingkan Projek Ikhtiar; maksud kausatif atau menyebabkan seperti ... membesarkan rumah; dan maksud benefaktif atau manfaat seperti ... membelikan adik buku. Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 191 - 197. | Tatabahasa | 28.10.2014 |
Rempah-ratus yang sesuai diperlukan bagi menhasilkan ramuan yang baik untuk resipi ayam rendang.(Adakah ayat ini betul?) | Rempah-ratus yang sesuai diperlukan bagi menghasilkan ramuan yang baik untuk resipi rendang ayam. | Tatabahasa | 04.10.2013 |
Bilakah penggunaan tanda sempang? Kata ganda 'rempah ratus' perlu diberikan tanda sempang? | Ejaan yang betul ialah rempah-ratus. | Tatabahasa | 05.10.2013 |
Boleh tak beri penjelasan mengapa semak samun tidak perlu letak tanda "-" tetapi rempah-ratus perlu tanda sempang sedangkan rempah dan ratus juga mempunyai maksudnya sendiri | Perkataan “semak samun” tidak menggunakan tanda sempang kerana merupakan kata majmuk, manakala “rempah-ratus” merupakan kata ganda berentak dan perlu diletakkan tanda sempang. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan (DBP, 2015), halaman 135 dan 138. | Tatabahasa | 12.12.2023 |
Boleh tak beri penjelasan mengapa semak samun tidak perlu letak tanda "-" tetapi rempah-ratus perlu tanda sempang sedangkan rempah dan ratus juga mempunyai maksudnya sendiri Soalan ini masih tidak mendapat jawapan daripada pihak tuan sejak 12/12/2023. | Perkataan “semak samun” tidak menggunakan tanda sempang kerana merupakan kata majmuk, manakala “rempah-ratus” merupakan kata ganda berentak dan perlu diletakkan tanda sempang. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan (DBP, 2015), halaman 135 dan 138. | Tatabahasa | 31.12.2023 |
Sila gantikan perkataan yang berada dalam kurungan dengan perkataan yang betul dan tepat. (a) Emak (mengalas) kari itu dengan rempah-ratus. (b) Orang buta itu menggunakan tongkat supaya (laku) berjalan. (c) Daging lembu itu menjadi (larut) setelah dimasak. (d) Durian itu (diputuskan) untuk mendapatkan isinya. | Untuk makluman tuan, kami menyediakan perkhidmatan bagi membantu pelanggan menangani permasalahan bahasa seperti ejaan, istilah dan tatabahasa. Contohnya, kekeliruan tentang ejaan yang betul, penggunaan istilah yang tepat bagi sesuatu terminologi dan permasalahan tentang tatabahasa. Kami dapati pertanyaan tuan bukanlah berkisar tentang permasalahan yang tersebut, tetapi lebih kepada memberikan jawapan kepada soalan yang dibekalkan seperti lazimnya soalan peperiksaan dan buku rujukan. Kami tidak menyediakan perkhidmatan memberikan jawapan kepada soalan yang dibina; sebaliknya pihak tuan perlulah merujuk kamus dan buku tatabahasa, atau berbincang dengan panel penggubal soalan yang lain. Jika ada pertikaian tentang sesuatu isu tatabahasa yang menjadi jawapan kepada soalan tersebut, seperti "menemukan mayat atau menemui mayat", tuan boleh menghubungi pihak kami semula. | Lain-lain | 08.12.2015 |
Mohon semakan tuan/ puan sama ada benar atau tidak. Perkataan "mengenakkan" daripada kata dasar "enak". Contoh ayat: Untuk mengenakkan masakannya, tukang masak itu menggunakan rempah-ratus yang dibawa khas dari India. | Perkataan mengenakkan ialah daripada kata enak. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, definisi mengenakkan ialan menjadikan enak iaitu sedap dan senang. Contoh ayat lain ialah Masukkan sedikit pati rasa untuk mengenakkan lagi masakan itu. | Tatabahasa | 22.03.2021 |
pelbagai jenis sayur-mayur/pelbagai jenis sayur | Satu daripada aspek makna penggandaan kata nama ialah penanda kepelbagaian jenis. Contohnya: sayur-mayur, kuih-muih, rempah-ratus. Kata pelbagai bermaksud berbagai-bagai macam atau jenis. Ayat yang betul ialah: pelbagai jenis sayur. | Tatabahasa | 25.04.2011 |
Selamat sejahtera, saya ingin membuat pengesahan bagi lampiran terjemahan dari bahasa inggeris ke bahasa malaysia. Sekiranya terdapat kesalahan dari aspek tatabahasa dan pengolahan ayat mohon perbetulkan. Terima kasih. | Kami mencadangkan terjemahan yang sesuai bagi teks yang dilampirkan ialah “Gunakan Sos Life Perisa Tiram sebagai bahan tumisan sayur-sayuran atau nasi goreng, untuk memerap daging sebelum direbus atau digoreng bersama-sama dengan rempah-ratus lain, untuk menambah perisa sebelum mengukus atau memanggang; untuk dicairkan sebagai stok masakan mi.” | Penyemakan dan penterjemahan | 09.04.2024 |