Rasanya sudah lama saya tidak mengunjungi laman ini. Salam Ramadan tuan. Pertanyaan saya - jika pusat beli-belah (bukan pusat membeli-belah), bagaimana pula dengan 'aktiviti merentas desa', 'gas memasak', 'aktiviti berlari setempat', aktiviti 'menulis karangan', (sekadar beberapa contoh). Tidakkah apa yang saya catatkan itu membawa maksud sama dengan 'pusat membeli-belah'? Mohon penjelasan tuan. Sekian, terima kasih. | Lazimnya dalam penamaan kita menggunakan bentuk kata nama seperti Pusat Beli-belah. Berdasarkan contoh yang tuan berikan frasa yang betul ialah aktiviti rentas desa dan aktiviti lari setempat. Walau bagaimanapun terdapat beberapa frasa penamaan yang tidak mengikut rumus tersebut kerana telah mantap penggunaannya dalam masyarakat seperti termasuklah pertandingan melukis dan pertandingan mengarang esei. Hal ini dianggap sebagai kekecualian dalam bahasa Melayu. | Tatabahasa | 03.08.2012 |
Apakah ada perbezaan di antara MERENTAS dan MERENTASI? | Kata dasar untuk perkataan tersebut ialah RENTAS yang membawa maksud lintang; garis(an) ~ garis(an) yg melintang; keratan ~ keratan yg melintang; merentas 1. meretas, membuka, memutuskan: kena balung ayam kenantan habis direntas taji ayam orang sebelah; 2. melalui atau menempuh (sesuatu kawasan), memintas, melintasi, menjalani: jalan raya yg ~ negeri itu sangat banyak; kita ~ padang yg penuh dgn lalang; berlari ~ desa; 3. merintis; ~ jalan a) merintis (membuka) jalan; b) memintas jalan; 4. ki mencakup atau merangkumi: bahasa Melayu kini mampu ~ semua bidang ilmu; rentasan garisan dll yg merentas: nilaian n dapat diperoleh dr ~ graf pd paksi melintang dan ~ graf pd paksi tegak; salah satu cara yg mudah sekali utk menggambarkan kontur ialah dgn melukis ~; perentas (Mat) garisan lurus yg memotong dua atau lebih garisan lurus; ® retas. (Kamus Dewan Edisi Keempat). Pengimbuhan ialah proses yang menggandingkan imbuhan dengan kata dasar. Proses ini menghasilkan perkataan yang disebut kata terbitan. Imbuhan dibahagikan kepada empat jenis berdasarkan kedudukan imbuhan itu dalam perkataan. Empat jenis imbuhan ialah awalan, akhiran, apitan dan sisipan. Perkataan MERENTAS dan MERENTASI ialah kata kerja terbitan yang mengalami proses pengimbuhan awalan dan apitan. Contoh: - Awalan kata kerja me- (me+rentas)
- Apitan kata kerja me-...-i (me+rentas+i)
Perkataan merentas dan merentasi membawa maksud yang sama, contoh penggunaannya: - Jejambat yang merentas/merentasi jalan kereta api itu penuh sesak.
- Dia merentas/merentasi padang yang penuh dengan lalang.
| Tatabahasa | 07.02.2019 |