Mana yang tepat ayat berikut: 1. Saya bekerja / berkerja sebagai anggota polis. 2. Lawatan ke Air Terjun Madai / Air terjun madai 3. Kemaskini / kemas kini 4. Justeru itu saya mengucapkan ribuan terima kasih atau justeru, saya mengucapkan ribuan terima kasih. | Jawapan yang paling tepat seperti berikut: 1. Saya bekerja sebagai anggota polis 2. Lawatan ke Air Terjun Madai (nama tempat ialah kata nama khas) 3. Ejaan yang betul ialah kemas kini 4. Perkataan yang betul ialah justeru, bukan justeru itu | Tatabahasa | 04.08.2017 |
selamat sejahtera soalan-soalan : 1. Wanita yang {duduk,bersimpuh}di barisan hadapan itu ialah ibu saya. 2. Rumah Pak Hamid telah { terbakar,dibakar}pada malam tadi. ribuan terima kasih . | 1. Wanita yang duduk di barisan hadapan itu ialah ibu saya. 2. Rumah Pak Hamid telah terbakar pada malam tadi. | Tatabahasa | 12.11.2012 |
Salam sejahtera Tuan/Puan. Saya ingin mendapatkan istilah terjemahan yang sesuai bagi yang berikut: 1. Shrink wrap 2. Stretch wrap 3. Bundling machine Sekian, didahului dengan ribuan terima kasih. | 1. Shrink wrap - lelilit kecut (cadangan) 2. Stretch wrap - lelilit regang (cadangan) 3. Bundling machine - Bundling machine Terjemahan yang kami cadangkan boleh digunakan, jika bersesuaian dengan konsep penggunaannya. | Penyemakan dan penterjemahan | 04.12.2015 |
1. Baginda ialah seorang raja. 2. Beliau ialah seorang raja. Ayat yang manakah betul? Minta jelaskan. Ribuan terima kasih | Beliau ialah kata ganti nama diri ketiga untuk orang yang lebih tua atau yang dihormati, manakala baginda merupakan kata ganti nama ketiga yang digunakan untuk raja, sultan atau kerabat diraja. Penggunaan yang betul ialah Baginda ialah seorang raja. | Tatabahasa | 25.09.2017 |
Ribuan terima kasih atas penerangan yang diberi mengenai makna "patik" dan "hamba". Tetapi saya ada sedikit kekeliruan. (1) Bila seorang rakyat biasa yang bercakap dengan raja/sultan, perkataan 'patik' digunakan. Bila pembesar/ temenggung/ bendahara yang bercakap dengan raja/sultan, apakah perkataan digunakan untuk menggelar dirinya sendiri ? (2) Kalau Hang Tuah bercakap dengan Hang Jebat, perkataan "hamba" digunakan untuk menggelar dirinya sendiri, betulkah ? | Kata ganti nama "patik" digunakan apabila rakyat berbicara dengan raja. Dalam hal ini, golongan yang berjawatan dalam pentadbiran istana tetap rakyat biasa, bukan berketurunan raja maka tetap menggunakan kata ganti diri “patik” apabila bercakap dengan raja. Kata ganti nama diri pertama "hamba” pula sering digunakan oleh masyarakat atau rakyat biasa pada zaman dahulu yang bermaksud “saya”. Maka, Hang Tuah dengan Hang Hang Jebat menggunakan kata ganti diri “hamba” apabila bercakap sesama mereka. | Tatabahasa | 14.07.2014 |
Tuan : 1. Apakah perbezaan antara perkataan 'terikut-ikut' dan 'mengikut-ikut' ? 2. Bolehkah perkataan 'pertama-tama' digunakan dalam penulisan karangan dengan membawa maksud terdahulu sekali ? Ribuan terima kasih atas penjelasan dan maklum balas tuan. | 1. Menurut Kamus Dewan, terikut-ikut ialah mengikut (sesuatu) dengan tidak begitu disedari (kerana terlalu terpengaruh olehnya dll): terdapat juga penutur-penutur bahasa Melayu yang ~ dengan struktur tatabahasa lain. Manakala mengikut-ikut ialah meniru-niru: negara-negara ini mengejar kepentingan kebangsaan masing-masing yang ~ kepentingan orang lain; 2.Kamus Dewan mentakrifkan pertama-tama sebagai yang pertama sekali, yang mula-mula (terdahulu) sekali: candu itu ~ haram menurut agama Islam dan kedua membinasakan badan; | Tatabahasa | 19.07.2013 |
saya hendak bertanya definisi yang betul dan tepat tentang 1. warga tua 2. penjagaan sosial 3. hubungan sosial 4. pengurusan kebajikan ribuan terima kasih atas bantuan yang telah diberikan. sekian. | 1. warga tua : Definisi warga tua di Malaysia ialah apabila seseorang mencecah usia persaraan iaitu pada 55 atau pilihan persaraan pada 56 tahun. 2. penjagaan sosial : menjaga pergaulan 3. hubungan sosial : hubungan kemasyarakatan 4. pengurusan kebajikan : perihal mengurus sesuatu yg membawa kebaikan | Lain-lain | 05.01.2009 |
Mohon pandangan tuan/puan, yang mana satu antara berikut adalah betul penggunaannya: 1. Kerjasama dan perhatian dari pihak tuan di atas perkara ini didahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih 2. Kerjasama dan perhatian dari pihak tuan dalam perkara ini didahului dengan ucapan terima kasih. | Ayat yang betul ialah "Kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan dalam perkara ini didahului dengan ucapan terima kasih." | Tatabahasa | 22.07.2013 |
Saya memerlukan bantuan terjemahan istilah-istilah Inggeris di bawah ini:- 1. Road access (Laluan Jalan?) 2. River access (Laluan sungai?) 3. On foot (Laluan kaki?) Saya mendahului dengan ribuan terima kasih atas bantuan saudara/saudari. | DBP bersetuju dengan cadangan terjemahan bagi istilah 'road access' sebagai 'laluan jalan' manakala istilah 'river access' sebagai 'laluan sungai' tetapi istilah 'on foot' lebih tepat diterjemahkan sebagai 'laluan pejalan kaki'. | Penyemakan dan penterjemahan | 27.12.2006 |
Salam, Komersialisasi dan Pengkomersialan 1. Adakah kedua-dua perkataan di atas diterima pakai buat masa ini? 2. Harap jelas penggolongan kata bagi perkataan-perkataan di atas. 3. Harap beri contoh frasa-frasa pendek bagi membezakan pembinaan ayat untuk perkataan-perkataan tersebut. Ribuan TK. | Perkataan komersialisasi dan pengkomersialan ialah padanan commercialization dalam bahasa Melayu. Dalam penggunaannya dalam bahasa Melayu komersialisasi bermaksud proses atau perbuatan menjadikan sesuatu mempunyai sifat perdagangan, manakala pengkomersialan ialah perihal mengkomersialkan, iaitu menjadikan sesuatu sebagai barang dagangan. Contoh ayat: Perubahan struktural ini nantinya akan selari dengan proses komersialisasi sektor pertanian dan Pengkomersialan filem Hang Tuah telah mencetuskan kritikan. | Tatabahasa | 21.10.2011 |