Bolehkah saya guna perkataan Gempak Rider utk tajuk sesuatu acara? Ia adalah acara konvoi bermotosikal Cth: Jangan ketinggalan untuk menyertai acara 'Gempak Rider' pada ahad 21 Oktober 2012 ini | Untuk makluman puan, frasa "Gempak Rider" tidak boleh digunakan kerana perkataan "Gempak" ialah bahasa percakapan dan tidak diterima sebagai perkataan yang rasmi. Perkataan "Rider" pula ialah perkataan bahasa Inggeris dan perlu diterjemahkan kepada bahasa Melayu. Penggunaan perkataan bahasa Melayu bersama-sama bahasa Inggeris dalam satu frasa (bahasa rojak) juga tidak dibenarkan. Oleh itu, kami mencadangkan puan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya untuk tajuk acara tersebut, contohnya "Penunggang Hebat". | Istilah | 05.09.2012 |
Untuk pekerjaan yang muncul selepas PKP iaitu "rider" untuk makanan dan dokumen. Apakah istilah yang sesuai dalam Bahasa Melayu apabila saya mahu mengajar anak murid tentang profesion baru ini. | Cadangan padanan istilah yang sesuai untuk "rider" ialah "penghantar". Contohnya "Penghantar Makanan,/Penghantar Dokumen". | Makna | 03.07.2022 |
Salam Sejahtera, Boleh saya dapatkan terjemahan yang sesuai untuk permainan kanak-kanak yang dikenali sebagai "pony spring rider". Sesuaikah jika saya gunakan "kuda ayun" atau "Kuda berayun". Terima Kasih. | Kami mencadangkan "pony spring rider" diterjemahkan sebagai "kuda kayu berayun". Padanan ini bergantung pada kesesuaian serta konsep dan konteks penggunaannya dalam sesuatu bidang atau laras bahasa. | Istilah | 06.08.2021 |
Assalamualaikum. Nama Saya Puan Noraini dari Sri KDU International School (Primary). Saya mahu bertanya tentang kosa kata untuk peralatan di taman permainan. Adakah maksud yang saya berikan ini adalah betul? Saya perlu memberi kosa kata yang betul kepada pelajar-pelajar saya. Monkey bar – palang besi / besi penggayut Spring Rider – penunggang spring Climbing frame – pemanjat Adakah maksud perkataan untuk permainan - merry go round' dalam BM? Terima Kasih. | Kami mencadangkan alat permainan "monkey bar" diterjemahkan sebagai bar gayut atau palang gayut, "spring rider" diterjemahkan sebagai penunggang pegas, manakala "climb frame" diterjemahkan sebagai kerangka panjat atau bingkai panjat. Alat permainan "merry-go-round" sesuai untuk diterjemahkan sebagai kuda pusing. | Istilah | 26.10.2020 |
Salam. Bolehkah saya tahu istilah terjemahan yang sesuai bagi perkataan snowboarding, snowboard, dan snowboarder. Juga istilah riders dalam konteks sukan snowboarding. Terima kasih. | Untuk makluman, belum ada istilah bahasa Melayu yang khusus untuk snowboarding, snowboard dan snowboarder. Walau bagaimanapun, istilah bahasa Melayu yang dicadangkan ialah luncur papan salji, papan luncur salji dan peluncur papan salji. Istilah bahasa Melayu untuk rider ialah penunggang. | Istilah | 15.10.2012 |