Assalamualaikum / Salam Sejahtera, Berkenaan dengan penggunaan perkataan "dalam/dalaman" untuk audit. Yang manakah yang lebih tepat dan betul? Audit dalam atau audit dalaman? | Assalamualaikum Encik Hanafi, Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, audit dalam bermaksud pemeriksaan rekod kewangan dan bukan kewangan sesebuah organisasi oleh organisasi itu sendiri untuk memastikan bahawa organisasi dikendalikan dengan betul. Menurut istilah bahasa Melayu pula, audit dalaman pula digunakan dalam bidang pentadbiran dan istilah sumbernya ialah "internal audit'. Audit dalaman membawa maksud pemeriksaan terhadap keperluan dan kesahihan segala perbelanjaan yang dilakukan dalam sesuatu organisasi bertujuan untuk menilai kecekapan dan kebolehpercayaan bahagian perakaunan organisasi tersebut. Bahagian yang sering menerima audit dalaman ialah bahagian pentadbiran yang melibatkan penyemakan segala perbelanjaan dan penggunaan barangan pejabat. Dalam pengauditan dalaman, semua baucer, invois dan dokumen lain diperiksa ketepatan dan kesahihannya sebelum dibayar atau direkod secara rasmi. Kesimpulannya, kedua-dua perkataan diterima namun pemilihan kata yang sesuai mestilah berdasarkan konteks ayat. Sekian. Terima kasih. | Istilah | 30.01.2018 |