Contoh ayat : Atlet Malaysia yang merangkul pingat emas dalam Sukan Olimpik itu meraih wang tunai berjumlah satu juta Ringgit Malaysia. Soalan : Bagaimanakah cara penulisan untuk 'satu juta Ringgit Malaysia'? a. 1 juta ringgit b. 1 Juta Ringgit c. satu juta ringgit d. Satu Juta ringgit c. Ringgit Malaysia satu juta d. Ringgit Malaysia Satu Juta e. RM 1 Juta f. RM 1 juta g. RM 1000,000 mengapa? | Untuk makluman, tidak ada format yang ditetapkan berkenaan cara penulisan angka. Walau bagaimanapun, kami di Dewan Bahasa dan Pustaka menjadikan buku Gaya Dewan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai panduan. Buku berkenaan menjelaskan sekiranya hendak menyatakan jumlah ringgit yang besar, eja unit bagi jumlah yang lebih daripada RM1 juta, atau turunkan semula nombor dengan menjarakkan setiap kelompok tiga digit terakhir. Namun demikian, jumlah tersebut boleh dieja sepenuhnya mengikut kesesuaian. Contoh: 1. RM1 juta 2. RM1 000 000.00 | Ejaan | 11.03.2020 |
Pembaca berita RTM menyebut RM20.00 begini: Ringgit Malaysia dua puluh ringgit. Bukankah sebutan yang tepat ialah dua puluh ringgit (tanpa Ringgit Malaysia)? Hal ini sama seperti kita menyebut dua puluh bath, dua puluh rupiah dan dua puluh rial. Mohon penjelasan. | Dalam penulisan, yang betul ialah ( Ringgit Malaysia : Dua Puluh Ringgit Sahaja) tetapi dalam pertuturan, lazimnya disebut dua puluh ringgit. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Bank Negara Malaysia atau Kementerian Kewangan. | Lain-lain | 19.09.2009 |
Salam, saya mahu bertanya sama ada untuk perbandingan melibatkan angka atau jumlah, adakah kita harus gunakan 'dari' atau 'daripada'? 1. Harga minyak akan dinaikkan dari 10 ringgit kepada 12 ringgit. 2. Harga minyak akan dinaikkan daripada 10 ringgit kepada 12 ringgit. | Jawapan yang betul ialah Harga minyak akan dinaikkan daripada 10 ringgit kepada 12 ringgit. | Tatabahasa | 28.01.2019 |
Salam tuan, Jika kilometer dibaca satu setengah kilometer atau sebagainya. Bagaimana pula dengan ringgit? Adakah dibaca dengan satu setengah ringgit @ satu ringgit setengah? Harap tuan dapat rungkaikan kemusykilan saya. | Yang betul ialah satu ringgit setengah. | Lain-lain | 03.08.2010 |
Semasa mengacara majlis ..perlu tidak kita menyebut RM. /ringgit Malaysia 500..atau lebih tepat lima ratus ringgit.yg mana perlu saya gunakan? | Dalam penulisan, yang betul ialah ( Ringgit Malaysia : Lima Ratus Ringgit Sahaja) tetapi dalam pertuturan dan pengacaraan lazimnya disebut Lima ratus ringgit atau boleh juga disebut Ringgit Malaysia Lima ratus. | Lain-lain | 27.04.2018 |
Apakah perbezaan sebutan dan tulisan nilai mata wang ringgit? | Selamat pagi. Contoh dalam penulisan nilai mata wang ringgit ialah (Ringgit Malaysia : Dua Puluh Ringgit Sahaja) tetapi dalam pertuturan, lazimnya disebut dua puluh ringgit. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 31.05.2016 |
Saya mahukan kepastian berkaitan sebutan dan penulisan nilai mata wang Ringgit Malaysia. Adakah RM150.20 di sebut Seratus lima puluh ringgit dan dua puluh sen? Manakala apabila ditulis Ringgit Malaysia: Seratus lima puluh dan dua puluh sen? Bagaimana dengan RM10.20? | Untuk RM10.20 cara penulisannya ialah "Sepuluh ringgit dan dua puluh sen" atau "Ringgit Malaysia Sepuluh dan dua puluh sen" | Lain-lain | 27.05.2016 |
Mohon perhatian, mana yang betul (penulisan): Harga buku itu dua setengah ringgit. Harga buku itu dua ringgit setengah. Harga buku itu dua ringgit lima puluh sen. | Yang paling tepat ialah - Harga buku itu dua ringgit lima puluh sen. | Lain-lain | 23.04.2010 |
Saya mohon pengesahan DBP samada huruf pertama bagi perkataan berikut dibesarkan atau tidak: i) Kerajaan Negeri atau kerajaan negeri ii) Kerajaan Negeri Kedah atau Kerajaan negeri Kedah iii) Ringgit atau ringgit Satu perkara lagi, bagi sesuatu tajuk bolehkah terus diletakkan singkatan. Sekiranya boleh bagaimana cara yang sepatutnya.Contoh, Kadar Pertukaran Mata Wang Asing Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) Nota: JANM hanyalah singkatan bagi Jabatan Akauntan Negara Malaysia bagi tajuk di atas. Sekian, terima kasih. | i. Kerajaan Negeri jika merujuk pada nama khas, kerajaan negeri jika umum. ii. Kerajaan Negeri Kedah sebab ia nama khas. iii. Ringgit jika diawal ayat (huruf awal huruf besar). Tajuk hendaklah ditulis penuh dan singkatannya boleh ditulis selepas itu dalam kurungan. | Tatabahasa | 21.08.2007 |
1. dari 1000 atau daripada 1000 2. pada 1000 atau kepada 1000 3. dua ratus lima ringgit sahaja atau ringgit dua ratus lima sahaja 4. empat puluh sen sahaja atau sen empat puluh lima sahaja | Penggunaan yang betul ialah: 1. daripada 1000 2. pada 1000 3. dua ratus lima ringgit sahaja 4. empat puluh sen sahaja | Tatabahasa | 04.05.2011 |