| Tepatkah istilah "Liquidated and Ascertained Damages" diterjemahkan sebagai "Ganti Rugi Jumlah Tertentu" atau "Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan". Jawapan daripada pihak tuan/puan amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih. | Istilah Liquidated and Ascertained Damages masih belum ada dalam rekod kami. Walaubagaimanpun maksud liquidated damage dari bidang Undang-undang, kejuruteraan dan ekonomi ialah ganti rugi jumlah tertentu manakala ascertained bermaksud telah dipastikan atau kenyataan yang telah dipastikan | Makna | 17.03.2018 |
| Terjemahan istilah Perakaunan Penyata untung rugi | Untuk makluman puan, istilah yang ada dalam pengkalan data kami ialah profit and loss statment, terjemahannya penyata untung rugi. Pada pandangan kami, jika konsep statement of profit or loss sama seperti profit and loss statment (hanya pembentukan kata yang berbeza), maka padanan penyata untuk rugi boleh digunakan | Istilah | 25.02.2014 |
| ejaan betul perkataan "gantirugi" atau "ganti rugi" | Ejaan yang betul ialah ganti rugi. | Ejaan | 09.09.2014 |
| berikan definisi lengkap insurans | Kamus Dewan mendefinisikan Insurans ialah perjanjian tanggungan yg dibuat oleh sesebuah syarikat utk mengganti kerugian dan bayaran premium tertentu; spt insurans kebakaran insurans yg menjamin ganti rugi sekiranya berlaku kebakaran (pd rumah dll); insurans nyawa insurans yg menjamin ganti rugi sekiranya orang yg berkenaan meninggal dunia; nyawa nyawa bekal umur insurans yg menjamin bayaran sekiranya orang yg berkenaan mencapai umur yg tertentu atau meninggal dunia | Makna | 24.08.2007 |
| Assalamualaikum, saya ingin bertanya sama ada penggunaan kata hubung ‘justeru’ dalam ayat berikut adalah tepat: ‘Jumlah ganti rugi yang diberikan tidak terlalu tinggi atau rendah… justeru, tiada kekhilafan berlaku yang membolehkan mahkamah ini campur tangan.’ Adakah penggunaan ‘justeru’ sesuai dalam konteks ini, atau terdapat kata hubung lain yang lebih tepat? | Kata “justeru” boleh berfungsi sebagai kata hubung dan boleh hadir pada pertengahan ayat. Berdasarkan contoh ayat yang diberikan, “justeru” dalam konteks tersebut berfungsi sebagai penanda wacana. Ayat yang betul ialah “Jumlah ganti rugi yang diberikan tidak terlalu tinggi atau rendah. Oleh itu, tiada kekhilafan berlaku yang membolehkan mahkamah ini campur tangan.”. | Tatabahasa | 21.04.2026 |
| maksud peribahasa cina, menyimpang seinci, rugi seribu batu dan contoh | Peribahasa Cina tidak ada dalam pangkalan data kami, dan kami tidak dapat memberikan maklumat tentang ungkapan yang tersebut. | Lain-lain | 01.05.2014 |
| kata berlawan 1.faedah 2.mahu 3.membantu | Kata lawan yang lazim digunakan bagi perkataan yang berikut ialah: 1. faedah - rugi, 2. mahu - enggan, 3. membantu - menolak (lepas tangan). | Lain-lain | 24.10.2009 |
| kata ganti nama diri "ia" boleh atau tidak digunakan untuk benda atau sesuatu perkara? | Selain daripada kata ganti diri ketiga, ia juga kata ganti benda yang dibicarakan seperti ayat: Inilah ganti rugi saman malu yang paling besar dalam sejarah negara kita walaupun ia hanya separuh daripada yang dituntut. | Tatabahasa | 09.01.2012 |
| saya tidak pasti penggunaan ialahvs adalah; dalam vs di dalam;dari vs daripada, atas vs di atas: bawah vs di bawah: sebutharga: berkuatkuasa dll seperti yang bertanda merah pada dokumen yang disertakan. Oleh kerana pekeliling begini sering diulang-ulang, saya berharap segala kesilapan dapat diperbetulkan dan kesilapan tidak diulang-ulang juga. Terima kasih. | Ialah dan adalah tergolong dalam kata pemeri. Ialah digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, manakala adalah digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi. Di dalam digunakan untuk menunjukkan tempat yang boleh dilihat secara fizikal ruang dalamnya, seperti di dalam kereta, di dalam rumah dan di dalam dewan. Dalam pula menunjukkan kedudukan sesuatu yang abstrak sifatnya, seperti dalam fikiran, dalam bidang sains dan dalam kehidupan. Dari dan daripada ialah kata sendi nama yang letaknya di hadapan frasa nama. Kata sendi nama 'dari' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu atau masa. Sementara kata sendi nama 'daripada' hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan atau benda, asal kejadian dan sumber atau unsur perbandingan atau perbezaan. Kata arah "atas" hadir sebelum frasa nama untuk menunjukkan hala atau jurusan. Untuk maklumat lebih lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Ejaan yang betul ialah sebut harga, berkuat kuasa, alat tulis, mengenal pasti, mengambil kira, walau bagaimanapun, tanggung rugi, ganti rugi, dan walaupun. Puan boleh juga merujuk ejaan perkataan melalui laman web www.prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 24.09.2012 |
| Ingin tahu maksud peribahasa ini.. 1. Kalah jadi abumenang jadi arang. 2Biar putih tulang jangan putih mata. 3. Berakit - rakit ke hulu beranan renang tepian | Menurut Kamus Dewan, maksud peribahasa yang dikemukakan adalah seperti yang berikut: 1. Kalah jadi abu menang jadi arang - kalah menang sama sahaja bagi kedua-dua pihak yg berkelahi (iaitu sama-sama rugi) 2. Biar putih tulang jangan putih mata - lebih baik mati daripada menanggung malu 3. Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian - bersusah payah dahulu kemudian baru bersenang-senang | Makna | 15.05.2011 |