| Salam, manakah rujukan yang paling tepat /rujukan utama antara www. ejawi. net dan prpm.dbp. gov.my ?sebab ada percanggahan ejaan antara dua laman web ini. Terima kasih. :) | Kedua-dua perisian ini amat berguna sebagai wahana rujukan tulisan Jawi. Rujukan PRPM lebih berwibawa kerana mengikut Ejaan Jawi yang Disempurnakan dan diterbitkan oleh DBP. Walau bagaimanapun berlaku sedikit kesilapan teknikal yang melibatkan ejaan, contohnya perkataan "BERHAD". Tuan/puan boleh juga merujuk DAFTAR KATA BAHASA MELAYU RUMI-SEBUTAN-JAWI EDISI KEDUA. | Lain-lain | 18.12.2017 |
| Rujukan saya: SK3/22/5/2018 1. Perkataan nyah. Boleh tak perkataan nyah ditambah imbuhan selain daripada yang diketahui dan perkataan yang digunakan secara meluas. Cth. Dinyahsahkan. Penyahgunaan. 2. Ada tak istilah khas untuk "usul yang dah diluluskan". Satu atau 2 perkataan pendek. 3. perbahasan tentang usul-usul lulus pada mesyuarat lepas << adakah betul ayat ni? “usul lulus” boleh tak pakai? 4.Adakah semua perkataan boleh ditambah imbuhan? Semua jenis imbuhan maksud saya. Spt pendelegasian. Mendelegasikan. Di dalam buku apakah boleh saya menemukan formula/kaedah dalam menentukan boleh atau tidak imbuhan ditambah dalam mana-mana perkataan. | 1. Secara umumnya, setiap perkataan baharu boleh diwujudkan dengan syarat betul dari segi morfologi. Sekiranya pihak tuan ada perkataan baharu boleh dicadangkan kepada DBP dan pihak DBP akan mengesahkan penggunaan perkataan tersebut secara rasmi. 2. Usul diluluskan. 3. Perbahasan tentang usul yang diluluskan. 4. Boleh. Perkataan "Pendelegasian" digunakan oleh pihak Indonesia, Malaysia mencadangkan "perwakilan". Tuan boleh rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk mempelajari pembetukan kata terbitan.
| Lain-lain | 22.05.2018 |
| Apa beza maksud "panduan" dan "rujukan". contoh ayat : "Strategi ini menjadi panduan kepada penulis." dgn "Strategi ini menjadi rujukan kepada penulis". | Merujuk Kamus Dewan Perdana, perkataan “panduan” bermaksud pedoman, petunjuk, pimpinan; atau sesuatu yang dipakai untuk rujukan (untuk mengetahui nama, alamat, butir-butir dan lain-lain), manakala “rujukan” pula bermaksud keterangan lanjutan mengenai sesuatu perkara (buku dan lain-lain), sumber untuk dirujuk. Berdasarkan makna yang tersebut, panduan juga boleh membawa maksud rujukan bergantung pada konteks penggunaannya. Oleh itu, ayat yang betul ialah "Strategi ini menjadi panduan kepada penulis". | Makna | 13.05.2026 |
| Bagaimana format 'citation ' jika prpm merupakan salah satu rujukan? | PRPM merupakan rujukan melalui laman sesawang. Format petikan PRPM bergantung kepada gaya petikan yang digunakan sama ada APA, MLA, Chicago atau lain-lain yang berkaitan. | Lain-lain | 02.10.2020 |
| Selamat pagi. Kamu hendak meminjam buku cerita? Kamu hendak meminjam buku rujukan? (atau) 1. Kamu hendak meminjam buku cerita atau buku rujukan? 2. Kamu hendak meminjam buku cerita atau rujukan? Mana satu ayat majmuk yang betul? Terima kasih. | Ayat yang betul ialah Kamu hendak meminjam buku cerita atau buku rujukan? Tuan bolehlah merujuk halaman 542 -560 , buku tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk lebih lanjut. | Tatabahasa | 11.10.2016 |
| Dalam penulisan surat rasmi, lazimnya rujukan kehormat dan kata ganti nama diri digunakan dalam kandungan surat seperti contoh di bawah: "YBhg. Datuk/Tuan/Puan, Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk. Sebagaimana pihak YBhg. Datuk/Tuan/Puan sedia maklum, pihak kami..." Mohon pencerahan dan pengesahan mengenai status penggunaan huruf besar bagi perkataan "Tuan/Puan" dalam perenggan kedua tersebut, sama ada perkataan "Tuan/Puan" dalam konteks ini perlu dianggap sebagai kata nama khas dan ditulis dengan huruf besar atau ia perlu dianggap sebagai kata nama umum yang ditulis dengan huruf kecil (tuan/puan) bagi rujukan-rujukan seterusnya dalam kandungan surat tersebut, walaupun digabungkan dengan rujukan kehormat "YBhg. Datuk"? | Berdasarkan contoh yang diberikan, perkataan “tuan/puan” hendaklah ditulis dalam huruf kecil kerana perkataan tersebut merupakan kata nama am. Hal ini, berbeza pula dengan “Datuk” yang merupakan kata nama khas, iaitu gelaran kehormatan di Malaysia kepada orang yang telah dianugerahi pingat tertentu oleh Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Ketua Menteri Melaka. Oleh itu, “YBhg. Datuk” hendaklah ditulis berpangkalkan huruf besar. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2015), halaman 83-86 dan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 487, 1759 dan 2409. | Tatabahasa | 15.05.2026 |
| Apakah terjemahan yang sesuai untuk frasa 'please advise'. Konteks: Untuk meminta nombor rujukan surat rasmi. Rujukan tuan: (please advise) | Soalan tidak difahami. Sila berikan soalan dalam konteks yang lebih jelas untuk memudahkan pihak kami memberikan jawapan. | Penyemakan dan penterjemahan | 21.07.2021 |
| Dalam penterjemahan, bagi sesebuah istilah, rujukan apakah yang lebih mutakhir untuk digunakan? Kamus Dewan Edisi Keempat, Kamus Pelajar, Kamus Inggeris-Melayu, Istilah MABBIM, atau Istilah Malaysia? | Setiap rujukan digunakan mengikut bidang tertentu. Dalam hal penggunaan kata, rujukan terbaik ialah Kamus Pelajar kerana Kamus Pelajar disasarkan untuk kegunaan pelajar dalam pembelajaran mereka. Berbeza dengan Kamus Dewan yang merakamkan pelbagai bentuk kata yang ada dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, jika merujuk Kamus Dewan, harus melihat label yang digunakan dan perkataan yang mempunyai label bp (bahasa Percakapan) tidak digunakan dalam konteks rasmi. Walau bagaimanapun jika hendak melihat makna kata, tuan boleh merujuk Kamus Dewan kerana kamus ini mempunyai entri yang lebih banyak daripada Kamus Pelajar. Dalam hal peristilahan pula, rujukan Istilah Malaysia lebih utama kerana disesuaikan konteks penggunaan tempatan. | Lain-lain | 01.10.2015 |
| 'Kumpulan rujukan' adalah kumpulan yang mempunyai pengaruh secara langsung atau tidak langsung terhadap gelagat atau sikap pengguna seperti rakan,jiran,kumpulan professional.Apakah maksud "kumpulan rujukan" dalam ayat ini? | Mohon berikan maklumat tambahan mengenai konsep dan konteks berkaitan dengan “kumpulan rujukan” yang dimaksudkan kerana frasa ini mempunyai makna yang luas | Makna | 15.12.2021 |
| Untuk rujukan pihak MPSJ. | Untuk pengesahan iklan, kemukakan permohonan tuan melalui portal “Khidmat Pengesahan Bahasa DBP”, (bukannya Khidmat Nasihat Bahasa). | Lain-lain | 17.01.2017 |