Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[sa.lam] | سلام

Definisi : 1. sejahtera (dlm kata majmuk), damai; 2. (pemberian) hormat, (penyataan) hormat: baginda duduk di atas kuda, melambai-lambai membalas ~ rakyat baginda; ~ takzim salam dan hormat; berjabat ~ ber-jabat tangan; memberi ~ mengucapkan kata hormat (spt assalamualaikum dsb); bersalam berjabat tangan: ia telah dikerumuni oleh orang-orang yg ingin ~ dengannya; bersalaman, bersalam-salaman saling ber-tukar salam (berjabat tangan): kami ~ sambil bertukar senyum; menyalami bersalam dgn: dia ~ lelaki tua itu; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[sa.lam] | سلام

Definisi : sj tumbuhan (pokok), jiwat, Eugenia cumini. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[sa.lam] | سلام

Definisi : Id salmon. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[sa.lam] | سلام

Definisi : 1 aman damai; sejahtera (biasanya digunakan dlm kata majmuk saja): darussalam negeri yg aman damai. 2 tanda menghormati seseorang ketika bertemu, sama ada dgn perkataan atau dgn perbuatan: Dia membalas ~ sahabat-sahabatnya. memberi ~ memberi hormat dgn mengucapkan assalamualaikum dll. bersalam berjabat tangan (tanda memberi hormat): Sebelum berangkat, baginda telah ~ dgn penduduk-penduduk kampung itu. bersalam-salaman saling berjabat tangan; saling memberi salam: Kami ~ dahulu sebelum mengadakan mesyuarat. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
salam
1. Bersinonim dengan kata hormat
( ucap selamat, tabik, )
(kata nama:)
Berantonim dengan makian

2. Bersinonim dengan sejahtera
( damai, sakinat, aman, tenang, harmoni, sentosa, sejahtera, tenteram, rukun, selamat, )
(adjektif:)
Berantonim dengan huru-hara

Kata Terbitan : bersalam, bersalaman, bersalam-salaman,

Puisi
 

Assalamualaikum salam,
     Kayu birah dimakan api;
Siapa lalu semalam,
     Baju merah gelang di kaki.


Lihat selanjutnya...(13)

Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Salam dan salam sejahtera..boleh saya tahu ada tak buku kisah2 nabi yg dari terbitan DBP utk bacaan kanak2 prasekolah?boleh bg contoh gmbr dan tajuk..terima kasihUntuk makluman saudara, tiada buku kisah-kisah nabi yang diterbitkan khas untuk bacaan kanak-kanak prasekolah oleh DBP. Walau bagaimanapun, saudara boleh mendapatkan Buku Kumpulan Cerita Sahabat Nabi Pemegang Pedang Rasulullah melalui portal dbpniaga.my, Saudara juga boleh mendapatkan maklumat penerbitan DBP yang lain melalui portal tersebut.Lain-lain15.06.2023
Selamat sejahtera, kenapa bahasa Melayu hari ini dilihat banyak menyempitkan makna perkataan? Contohnya dlm perkataan "salam". Dpt diperhatikan, kata "salam" hanyalah digunakan dlm golongan kata iaitu kata sifat dan kata nama semata-mata, padahal perkataan itu juga boleh diperluaskan dan digunakan dlm bentuk kata seru, tak salah sekiranya dipadankan dgn kata seru "helo", "hai" dan "selamat tinggal" memandangkan hal itu dpt dibuktikan dgn penggunaannya sehari-hari khususnya dlm masyarakat Nusantara ini sendiri yg byk menggunakannya sbg kata seruan. Contohnya ialah, "Salam, saya dari Johor!". Sekian.

Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020:1936) kata salam diberikan takrifan seperti yang berikut:
salam1
سلام

kata nama
1
ungkapan tertentu spt “assalamualaikum”, “selamat pagi” dan “salam sejahtera” yg diucapkan sbg tanda hormat kpd sso ketika bertemu, sebelum memulakan ucapan dsb:
Dia langsung tidak menjawab salam yg kuberikan.◊Aku mengucapkan salam saat bertemu dengannya.
2
tangan yg dihulurkan utk berjabat dgn sso sbg tanda hormat ketika mula bertemu atau hendak berpisah:
Dia tidak akan menghulurkan salam kpd perempuan yg bukan mahramnya.
3
ungkapan “assalamulaikum” yg disebut apb memalingkan muka ke kanan dan ke kiri sebelum mengakhiri solat;
4
digunakan dlm ucapan, surat dsb, utk menyatakan sst perasaan, meraikan sso atau sst peristiwa dll:
Salam Aidilfitri buat ayahanda dan bonda di kampung.◊Terimalah salam sayang drp kami di perantauan.

kata adjektif

5
aman damai atau sejahtera:
suasana yg salam;

salam kaut, salam keruk
bahasa basahan
perbuatan bersalaman sambil menghulurkan wang oleh tetamu kpd tuan rumah, terutamanya ketika kenduri kahwin:
Salam kaut ini seolah-olah sudah menjadi budaya setiap kali menghadiri majlis perkahwinan.

salam takzim
ucapan salam sbg tanda hormat kpd sso atau sst pihak:
Saya mengambil kesempatan ini utk menyampaikan salam takzim Yang Berhormat, yg tidak dapat hadir pd pagi ini.

2. Oleh sebab itu, salam dalam ayat "Salam, saya dari Johor!" masih berkelas kata nama, dan maknanya terkandung dalam pecahan makna keempat iaitu ungkapan yang digunakan dalam ucapan, surat dan sebagainya, untuk menyatakan sesuatu perasaan, meraikan seseorang atau sesuatu peristiwa dan lain-lain.

3. Dalam Tatabahasa Dewan (DBP, 2008: 255) menyatakan kata seru ialah bentuk kata yang berfungsi melahirkan berbagai-bagai perasaan dan digunakan dalam ayat seruan. Contoh kata seru ialah: aduh, amboi, cis, oh, celaka, eh, wah, syabas, aduhai, wahai, dan sebagainya.

Penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut:
44. Aduh, sakitnya kakiku!
45. Cis, terimalah tikamanku!
46. Celaka, habis tanamanku dimusnahkannya!

4. Dalam mana-mana bahasa, makna unit leksikal dalam lingkungan domain tunggal dapat dihubungkan dengan satu sama lain mengikut empat cara yang asas iaitu: perhubungan itu mungkin (1) menular, (2) bertindihan, (3) terkandung, dan (4) saling melengkapi. Kata ‘salam’ dikatakan berbeza daripada kata ‘hai’, ‘hello’ dan ‘selamat tinggal’ kerana fitur dalam domain tunggalnya tidak berhubung dengan kata-kata tersebut. Secara mudahnya, makna unit leksikal kata ‘salam’ tidak sepadan dengan makna kata ‘hai’, ‘helo’ dan ‘selamat tinggal’. Oleh hal demikian, kata ‘salam’ tidak dapat dikelaskan dalam golongan kata seru.

5. Dalam proses peminjaman kata, penyempitan makna atau peluasan makna berlaku dalam bahasa sasaran. Bahasa Melayu juga tidak terkecuali dalam proses pemberian makna sesuatu kata, khususnya dalam penganalisisan makna setiap kata yang dipinjam atau diserap. Contoh kata pinjaman yang mengalami perbezaan makna daripada bahasa asalnya ialah aljabar, amaun, beta, gahara dan grenad. Sila rujuk maklumat etimologi dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020).

Makna02.08.2022
Salam sejahtera. Adakah ayat-ayat ini betul? 1. Kami pulang ke rumah dengan girang hati. 2. Saya berasa girang hati kerana dapat menyertai aktiviti perkhemahan ini. Terima kasih.Jawapan yang betul bagi ayat tersebut  ialah “kami pulang ke rumah dengan girang hati.”Tatabahasa11.03.2026
Salam sejahtera, Saya ingin mendapatkan pandangan mengenai terjemahan yang sesuai bagi istilah "enable" dan "disable" dalam konteks antara muka pengguna (UI) aplikasi digital. Contoh ayat dalam UI: "Enable notifications" "Disable location services" "Key material disabled" "Notifications are disabled" Mohon juga pengesahan sama ada istilah "dayakan" dan "nyahdayakan" diiktiraf serta sesuai dalam penggunaan Bahasa Melayu rasmi dan konteks teknologi aplikasi digital. Terima kasih atas bantuan dan penjelasan pihak DBP.Berdasarkan penelitian dalam Kamus Dewan Perdana DBP, pihak kami tidak menemukan entri tentang nyahdayakan. Hanya entri dayakan ditemukan dalam kamus tersebut iaitu menjadikan (seseorang atau sesuatu) mempunyai tenaga atau kekuatan untuk bergerak atau melakukan kerja. 


Untuk makluman tuan/puan, DBP tidak menyediakan khidmat penterjemahan. Bagi mendapatkan khidmat penterjemahan, tuan/puan boleh menghubungi Persatuan Penterjemah Malaysia melalui talian 03-92262506 atau e-mel: terjemah1@gmail.com dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia melalui talian 03-41451942 atau e-mel: info@itbm.com.my.
Penyemakan dan penterjemahan01.03.2026
Salam sejahtera. Bagaimana ingin membezakan penggunaan "di dalam" dan "dalam"? Adakah "di dalam" digunakan untuk ruang yang boleh dilihat? Dalam dunia hari ini atau Di dalam dunia hari ini? Terima kasih.

1. Perbezaan penggunaan "dalam" dan "di dalam" adalah seperti yang berikut:

a. Kata Sendi Nama "dalam"

Digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. 

Contoh: Dalam hal ini, kita bersetuju.

b. Frasa Sendi Nama "di dalam"

Digunakan untuk menunjukkan kedudukan sesuatu di dalam ruang atau kawasan yang mempunyai jarak, luas, atau sempadan. 

Contoh: Duit belanja sekolah itu disimpan di dalam beg.

 

2. Penggunaan yang betul ialah Dalam dunia hari ini.

Tatabahasa27.02.2026
Salam sejahtera, "Bersempena" merupakan kata kerja aktif transitif? Bersempena dengan Hari Kebangsaan, hari Isnin cuti?

"Bersempena" merupakan kata kerja tak transitif, bukan kata kerja aktif transitif. Bersempena bermaksud mengambil sempena sesuatu peristiwa.

Contohnya: "Hari Isnin cuti bersempena Hari Kebangsaan".

Untuk makluman lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana, (DBP, 2021), halaman 2032.

Tatabahasa26.02.2026
Salam sejahtera, 1.Perkataan "berada" merupakan kata kerja aktif transitif ? 2. Dia berada di Kuala Lumpur.(di Kuala Lumpur merupakan objrk? Terima kasih.

Kata Kerja Aktif Transitif ialah kata kerja yang memerlukan objek (penyambut) selepasnya untuk melengkapkan maksud ayat. Ciri utamanya ialah ayat yang menggunakannya boleh disongsangkan menjadi ayat pasif.
Contoh: Adik membaca buku.

membaca = kata kerja aktif transitif
buku = objek
Ayat pasif: Buku dibaca oleh adik.

Manakala perkataan "Berada" tergolong dalam golongan Kata Kerja Tak Transitif. Kata Kerja Tak Transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan objek. Maknanya sudah sempurna dengan sendirinya atau boleh diikuti oleh keterangan (seperti tempat, masa, cara), bukan objek.

Berdasarkan ayat yang diberikan:

"Dia berada di Kuala Lumpur."

Dalam ayat di atas, frasa "di Kuala Lumpur" berfungsi sebagai keterangan tempat, bukan objek (benda atau orang yang kena tindakan).

 

Tatabahasa26.02.2026
Salam sejahtera. Perubahan iklim memberi pelbagai kesan kepada persekitaran atau memberikan pelbagai kesan kepada persekitaran? Objek yang bernyawa juga termasuk dalam kategori persekitaran. Jadi adakah padanan "memberi" sesuai mengikut rumus tatabahasa? Seterusnya, penggunaan kata sendi nama "kepada" lebih sesuai berbanding dengan "pada" berdasarkan ayat yg diberi? Mohon pencerahannya. Terima kasih.

Ayat yang tepat ialah Perubahan iklim memberikan pelbagai kesan terhadap persekitaran.”

Tatabahasa22.02.2026
Salam sejahtera, Penjodoh bilangan bagi tongkat ialah”batang”.Selain “batang”,adakah “kaki”boleh digunakan sebagai penjodoh bilangan bagi tongkat? Penjodoh Bilangan “Naskhah” (buku,surat khabar dan majalah) betul? Sekian,terima kasih.Perkataan kaki tidak boleh digunakan sebagai penjodoh bilangan untuk tongkat. Manakala, naskhah boleh digunakan sebagai penjodoh bilangan bagi merujuk buku, surat khabar dan majalah. Tatabahasa09.02.2026
Salam sejahtera tuan. Bolehkah tuan memberikan penjelasan kepada saya tentang tatabahasa dalam beberapa soalan di bawah: 1. Para doktor tetap meneruskan tugas menyelamatkan mangsa serangan askar Israel walaupun mereka ____ letih. amat atau agak yang mana satu adalah sesuai untuk digunakan sebagai jawaban dalam soalan tersebut? 2. Apapun / Apatah rancangan kamu, mereka tetap tidak menerimanya. Penggunaan kata penegas pun atau tah mana satu adalah betul? 3. Siapalah / Siapa jua / Siapakah / Siapa juga yang ingin bersenam pagi-pagi ini. Penggunaan kata penegas mana satu adalah betul? 4. Pola Ayat bagi "Lelaki itu bernama Ali." Adakah ayat ini ialah FN+FK atau FN+FN? Soalan-soalan tersebut bolehkah tuan memberikan penjelasan yang teliti kepada saya. Terima kasih atas bantuan tuan.
1. Para doktor tetap meneruskan tugas menyelamatkan mangsa serangan askar Israel, walaupun mereka amat letih.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 20 dan 74.

2. Pola ayat bagi frasa "Lelaki itu bernama Ali." ialah FN+FN.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2015), halaman 359.

Untuk soalan yang seterusnya, tuan/puan digalakkan merujuk buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2015), halaman 431 hingga 581 yang berkaitan dengan ayat dan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021).


Tatabahasa04.02.2026
12345678910...

Kembali ke atas