Salam Tuan/Puan, Mana satukah yang betul tatabahasanya untuk menterjemah ayat "Connect to Internet?" 1) Sambung kepada Internet. 2) Sambung melalui Internet. 3) Sambung dengan Internet. 4) Sambung ke Internet. Harap Tuan/Puan dapat beri sedikit pencerahan tentang penggunaan kata sendi yang paling sesuai digunakan. Terima kasih. | Wkslm ... Terjemahan yang sesuai bagi 'Connect to Internet' ialah Sambung melalui internet. Melalui dalam konteks ayat tersebut berfungsi sebagai "dengan perantaraan" atau "menerusi". | Makna | 25.07.2020 |
Saya ingin memohon pencerahan mengenai arahan di bawah. Arahan yang manakah lebih tepat: 1. Sambung garisan putus-putus. 2. Sambung garis putus-putus. Atau ada cadangan yang lebih baik daripada pihak tuan. | Dalam Kamus Dewan, perkatan garis dan garisan ditakrifkan sebagai tanda panjang halus yang dibuat pada sesuatu permukaan. Contoh penggunaan garis dan garisan: garis panduan, garis kasar (rangka),garis-garis di tapak tangan, garisan Khatulistiwa, garisan kontur,garisan penamat. Dalam contoh yang diberikan penggunaan kedua-duanya boleh digunakan. | Tatabahasa | 11.08.2016 |
Apakah kata dasar bagi "Kesinambungan"? Bagaimana hendak menggunakan imbuhan "me..." bagi kata dasar berkenaan? "Menyinambungkan"? | Kata akarnya ialah sambung yang disisipkan -in- menjadi sinambung. Perkataan sinambung tidak menerima imbuhan me- tetapi kata akar, sambung boleh menerima awalan meN- iaitu menyambung. | Tatabahasa | 12.08.2013 |
saya tidak tahu bagaimana hendak menghasilkan satu "resume" untuk saya sambung belajar ke IPTA dan mendapatkan tajaan biasiswa dari syarikat korporat sebagai contoh petronas dan MISC. saya juga memerlukan contoh "resume" seperti ini.... segera..... tolong. | Format menyediakan resume ada berbagai-bagai dan formatnya bergantung kepada tujuan dan siapakah penerimanya. Pada umumnya, format resume adalah seperti berikut : i. Nama ii. Pengalaman : persatuan, kerjaya, karya, luar negara iii. Pendidikan iv. Bahasa v. Kegiatan vi. Alamat vii. Profil : anugerah, sumbangan. | Lain-lain | 17.03.2008 |
Apakah maksud a terpesot b terngilai-ngilai c berlatarbelakangkan ( perkataan ini adalah sambung bersama?) d tersenguk-senguk terima kasih. | a. perkataan terpesot tiada dalam rujukan kami. Sila pastikan ejaan sebenar. b. terngilai-ngilai ialah ketawa dengan kuat dan nyaring bunyinya c. berlatarbelakangkan ditulis sebagai satu perkataan apabila diimbuhkan dengan awalan ber...kan, jika latar belakang ditulis terpisah. d. tersengguk-sengguk ialah kepala bergerak ke depan atau ke belakang, seperti keadaan orang mengantuk dan sebagainya. | Tatabahasa | 21.06.2010 |
Salam sejahtera, adakah kata "benang" dari segi kiasan membawa maksud tidak terputus-putus & bersambung-sambung? Sekian, terima kasih. | Benang ialah objek yang lembut dan dikendalikan dengan tenang, tekun dan sabar dek kehalusan dan kelembutan fitrahnya. Disebabkan itulah, benang terjelma dalam kiasan seperti Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain atau contoh lain Jangan menegakkan benang basah dan banyak lagi. Benang sukar diputuskan melainkan sengaja dipotong. Benang perlu dimasukkan ke lubang jarum untuk digunakan ketika menjahit. Fitrah benang yang lembut dan sukar putus itulah yang menyebabkan penggunaan dalam peribahasa mencapai maksud. | Makna | 14.05.2020 |
1. Adakah selepas penggunaan tanda garis miring (/), perlu diselang atau disambung dengan ayat. Cth: a. buku/baju -sambung terus b. buku/ baju-ada jarak selepas tanda Mohon pengesahan penggunaan a atau b yang betul. 2. Bagaimanakah penggunaan perkataan pengelasan atau pengkelasan yang betul. | 1. Tanda garis miring (/) dibubuh di antara dua kata atau frasa tanpa jarak di kiri dan kanannya, sama dengan kedudukan tanda baca sisipan lain, iaitu tanda sempang dan tandang pisah. Cara penulisan garis miring yang betul pada contoh a. buku/baju. 2. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pengelasan ialah perihal atau perbuatan mengelaskan, pembahagian (pengasingan) kepada kumpulan-kumpulan (golongan-golongan dan lain-lain). Tidak ada bentuk perkataan pengkelasan kerana kata dasar kelas apabila menerima imbuhan pe-...-an menjadi pengelasan. | | Tatabahasa | 17.04.2017 |
Salam..Jika dalam BM, rumah tangga adalah jarak, tapi bagaimana pula dalam jawi? adakah dalam dua perkataan atau sambung menjadi satu perkataan rumahtangga? Jika satu, bagaimanakah ejaan rumahtangg dalam jawi? terima kasih | Perkataan rumah tangga dalam tulisan Jawi dieja dua perkataan. | Ejaan | 18.06.2014 |
Apakah imbuhan sisipan yang terdapat dalam perkataan kesinambungan. | Imbuhan sisipan yang terdapat dalam perkataan kesinambungan ialah sisipan -in- , iaitu sambung = sinambung. | Istilah | 09.02.2009 |
perkataan bandar raya,boleh kah digunakan sebagai kata nama khas,contoh dalam ayat ini: Bandar raya Kuala Lumpur tersergam indah. atau perlu di sambung seperti ini: Bandaraya Kuala Lumpur. Harap pihak DBP dapat menjawab soalan ini secepat mungkin.Terima Kasih | Ejaan yang betul ialah bandar raya. Penggunaan yang betul ialah Bandar Raya Kuala Lumpur tersergam indah tetapi pihak DBKL mengejanya rapat untuk membolehkan mereka menggunakan akronim B bagi Bandar Raya. | Tatabahasa | 05.09.2007 |