Apakah beza antara perkataan sana dan situ? Pada pengetahuan saya, situ digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang jauh tetapi masih boleh kelihatan manakala sana digunakan untuk merujuk kepada sesuatu yang jauh dan tidak boleh kelihatan. Contoh ayat : 1.Adik saya berdiri di sana/situ. 2. Saya berjalan ke arah sana/situ. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, sana bermaksud tempat yang jauh atau yang dianggap jauh. Di sana bermaksud tempat yang jauh (dari orang yang bercakap). Situ pula ialah (kata yang menunjukkan) tempat yang tidak jauh dari orang yang berbicara). Di situ bermaksud di tempat itu. | Makna | 13.08.2011 |
soalan 1 adakah penggunaan kata situ dan sana digunakan bagi jarak yang sama?atau 'sana' digunakan bagi jarak yang lebih jauh? soalan 2 apa yang membezakan penggunaan kata awak dan kamu? saya masih keliru.harap dapat penjelasan.tq | 1. Situ ialah kata yang menunjukkan tempat yang tidak jauh dari orang yang berbicara; manakala sana menunjukkan tempat yang jauh atau yang dianggap jauh. 2. Awak ialah kata ganti nama diri kedua dan sama seperti engkau dan kamu. Walau bagaimanpun lazimnya kata Awak digunakan sesama rakan sebaya atau orang yang sama taraf dan umur, manakala Kamu digunakan kepada orang yang lebih rendah umur dan tarafnya. | Tatabahasa | 22.02.2011 |
1. Tolong buangkan/membuangkan bungkusan plastik ini ke dalam tong sampah. Tolong jelaskan perbezaan antara buangkan dengan membuangkan. 2. Apakah penjodoh bilangan untuk bendera dan panji. 3. "Bolehkan anda tunggu sebentar?" kata pegawai bank kepada pelanggannya. Bolehkah kita gunakan gantinama anda dalam ayat ini? 4. Budak itu membuang sampah ke/ di atas lantai. 5. Kami melawat ke India. atau Kami melawat India. Semasa kursus kami diberitahu perkataan "melawat" tidak perlu diikuti dengan "ke" tetapi saya masih ternampak banyak buku yang menggunakan "melawat ke' Bolehkah tolong bagi penjelasan. 6. Setiba di sana. atau Setiba ke sana. Apakah perbezaannya? | 1. Ayat perintah/suruh (ditujukan kepada kata ganti diri yang kedua: awak, kamu, dsb) tidak perlu guna imbuhan awalan Me-... 2. Sehelai, selembar dan sebuah = bendera. 3. Boleh. 4. Budak itu membuang sampah di atas lantai. 5. Kami melawat ke India. atau Kami melawat India. Semasa kursus kami diberitahu perkataan "melawat" tidak perlu diikuti dengan "ke" tetapi saya masih ternampak banyak buku yang menggunakan "melawat ke' Bolehkah tolong bagi penjelasan. 6. Setiba di sana. 'Di' dalam bahasa Inggerisnya 'at' dan 'ke' = 'to'.
| Lain-lain | 09.10.2009 |
Tuan, Saya memohon bimbangan tuan menghuraikan pembentukan ayat-ayat berikut: 1. Pasuskan Kelantan muncul johan dalam pertandingan peringkat kebangsaan. Apakah komen tuan sekiranya di belakang muncul ditambah sebagai? 2. Rancangan Kelantan Di Sana Sini akan bersiaran pukul 3 hinga 4 petang tiap-tiap hari. Lamaan web RTM gunakan "bersiaran"-Apakah komen tuan sekiranya digantikan dengan "disiarkan" dalam ayat tersebut? 3. "Belum ada kata putus mengenai tarikh lawatan KSU". Saya semak di kamus DBP, ada Putus Kata sahaja, kata putus tak betul? | 1. Pasuskan Kelantan muncul johan dalam pertandingan peringkat kebangsaan. ayat ini telah lengkap, manakala ayat Pasuskan Kelantan muncul sebagai johan dalam pertandingan peringkat kebangsaan juga betul. sebagai di situ bermaksud selaku. 2. Yang paling tepat ialah disiarkan - Rancangan Kelantan Di Sana Sini akan disiarkan pukul 3 hinga 4 petang tiap-tiap hari. Disiarkan bermaksud dihebahkan kpd orang ramai (melalui radio, televisyen, surat khabar, sedangkan bersiaran bermaksud mengendalikan siaran di televisyen atau radio. 3. kata putus (di bawah entri putus) ada dalam Kamus Dewan bermaksud kepastian, keputusan, ketentuan. | Tatabahasa | 16.11.2008 |
apakah perbezaan di antara mengharungi sungai dan menyeberangi sungai? | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat. perkataan "menyeberangi" bermaksud 1. pergi ke seberang sana sungai, jalan, dll, melintasi, mengharungi: dgn apa hendak diseberangi lautan? 2. ki me-nempuh (melalui, merasai) kesusahan dll: tiga kali kita ~ hidup, apabila ketiga kalinya telah diseberangi dgn selamat, bahagialah kita; Manakala perkataan "mengharungi" pula bermaksud 1. berjalan menyeberangi air (semak, sungai, dll), meranduk: takut ~ air yg deras; budak itu sedang ~ sungai; ~ belukar berjalan melalui belukar; 2. menempuh, melayari (lautan dll): sedang kami ~ lautan India, angin turun dgn hebatnya; kegagahan wau ~ angkasa; 3. ki menghadapi (mengalami) kesusahan (kesukaran dsb): kejayaan dicapai setelah ~ berbagai-bagai kesulitan; | Istilah | 08.04.2013 |
Salam sejahtera,boleh tak pihak tuan/puan untuk menyemak penggunaan kata(dalam kurungan) sesuai atau tidak dalam ayat tersebut? 1. Tangan dan kaki pendaki Gunung Everest itu menjadi kejur kerana cuca di sana terlalu sejuk. (kejur) 2. Badan nenek saya semakin bengkok apabila umurnya meningkat 80 tahun. (bengkok) 3. Rakyat negara ini gempar apabila sebuah pangsapuri yang didirikan di lereng bukit itu rebah. (rebah) 4. Ibu mengarahkan kami mengumpulkan baju-baju usang yang tersimpan di dalam almari untuk didermakan kepada anak-anak yatim. (usang) 5. Kanak-kanak berkeliaran apabila disergah oleh lelaki yang kurang siuman itu. (berkeliaran) Selain itu,apakah perbezaan antara orang-orang dengan orang-orangan? Sekian,terima kasih | 1. Tangan dan kaki pendaki Gunung Everest itu menjadi kejur kerana cuca di sana terlalu sejuk. - Kejur bermaksud keras dan kaku, boleh digunakan dalam ayat tersebut. 2. Badan nenek saya semakin bengkok apabila umurnya meningkat 80 tahun. - Bengkok bermaksud tidak lurus dan tidak sesuai digunakan kepada tubuh badan manusia. 3. Rakyat negara ini gempar apabila sebuah pangsapuri yang didirikan di lereng bukit itu rebah. - Rebah bermaksud tumbang dan lazimnya digunakan untuk manusia manusia dan pokok. 4. Ibu mengarahkan kami mengumpulkan baju-baju usang yang tersimpan di dalam almari untuk didermakan kepada anak-anak yatim. - Usang bermaksud lama terpakai atau tersimpan dan sesuai digunakan dalam ayat tersebut. 5. Kanak-kanak berkeliaran apabila disergah oleh lelaki yang kurang siuman itu. - Berkeliaran bermaksud merayau dan boleh digunakan dalam ayat tersebut. Saudara boleh menyemak sendiri makna perkataan dan memastikan sama ada penggunaannya sesuai atau tidak dalam konteks ayat tersebut melalui laman web kami www.prpm.dbp.gov.my, dan taipkan perkataan tersebut dalam ruangan Carian Spesifik. | Tatabahasa | 09.05.2012 |
1."Tahukah kamu siapa yang bakal dipilih sebagai Ketua Pengawas?" tanya Faridah kepada Bakar. 2."Tahukah kamu siapakah yang bakal dipilih sebagai Ketua Pengawas?" tanya Faridah kepada Bakar. Kemusykilan.... Mana yang lebih tepat penggunaan partikel 'lah' pada kata tanya dalam ayat? "Tolong letakkan barang itu di.............",tunjuk ibu kepada Salmah. A.mana B.sini C.sana D.situ Apakah jawapan yang tepat atau soalan yang dikemukakan tidak betul. | 1. Ayat yang paling tepat - "Tahukah kamu siapa yang bakal dipilih sebagai Ketua Pengawas?" tanya Faridah kepada Bakar. 2. Tolong letakkan barang itu di sini/sana/situ - ketiga-tiga perkataan tersebut boleh menjadi jawapan kepada ayat tersebut asalkan bersesuaian dengan tempat yang dimaksudkan oleh penuturnya. | Tatabahasa | 27.01.2011 |
Tuan, yang manakah sebenarnya betul? 1)Pelbagai jenis sayur-sayuran atau pelbagai jenis sayur? 2)Kanak-kanak itu berenang-renang di kolam renang atau kanak-kanak itu berenang di kolam renang? Terima kasih | 1. pelbagai jenis sayur 2. Kedua-dua ayat adalah betul. Berenang-renang bermaksud berenang ke sana sini. Berenang bermaksud melakukan perbuatan berenang. | Tatabahasa | 20.04.2011 |
Salam sejahtera. 1. Saya ingin tahu 5 perkataan dalam bahasa Iban dan 5 perkataan dalam bahasa Kadazan yang bunyinya hampir sama dengan bahasa Malaysia. 2. Sila berikan ayat dalam bahasa Iban dan bahasa Kadazan untuk ayat berikut: a. Apa khabar? b. Siapakah nama awak? c. Awak tinggal di mana? d. Bolehkah saya bantu? e. Marilah kita ke sana. | Silahubungi Bahagian Penyelidikan Bahasa, DBP (03-21418423/2815/2813) atau Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (088-439260) untuk saudara mendapatkan maklumat yang diperlukan. | Lain-lain | 18.12.2008 |
Yang mana betul? 1. Ini semua brang lama ibu. 2. Semua ini barang lama ibu. 3. Semua benda ini barang lama ibu. Soalan: Adakah kata ganti nama tuju dapat berdiri sendiri untuk merujuk kepada sesuatu benda? Adakah fenomena ini hasil daripada proses transformasi ayat? | Untuk makluman, kata ganti nama tunjuk (bukan kata ganti nama tuju) ialah perkataan yang menjadi pengganti kata nama dan mendukung maksud menunjukkan benda atau perkara yang dirujuk. Contoh kata ganti nama tunjuk ialah ini, itu, sini, sana dan situ. Semua ayat yang berikan adalah betul dan kata ganti nama tunjuk boleh berdiri sendiri. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang konsep transformasi ayat, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, Bab 19, muka surat 531. | Tatabahasa | 03.04.2012 |