| 1. Dia pahit akan kemesraan dan kasih sayang seorang ayah. Adakah kegunaan perkataan 'pahit' dalam ayat ini betul. Jika salah apakah perkataan yang lebih sesuai. sekiranya betul apakah maksud ayat ini? | 1. Dia pahit akan kemesraan dan kasih sayang seorang ayah. - perkataan pahit tidak sesuai digunakan dalam ayat tersebut, antara perkataan lain yang lebih sesuai ialah dahaga (sangat ingin akan sesuatu). | Tatabahasa | 07.12.2009 |
| salam sejahtera. Saya ingin bertanya adakah ayat ini betul atau sebaliknya. i) Kami sangat sayang akan sekolah kami. ii) Kami sangat sayang sekolah ini. | Ayat yang betul : Kami sangat sayang akan sekolah kami atau Kami sangat menyangi sekolah kami. | Tatabahasa | 04.07.2008 |
| Daniele Speziale Oct 21st, 9:02pm Baik. Saya seorang pelajar dari Itali, datang ke sini dengan biasiswa. Sekarang 3 bulan saya tinggal di Malaysia, dan boleh cakap Melayu (walaupun belum lagi fasih). Saya mahu tahu kalau PABM akan ambil bahagian tahun depan, saya sangat ingin menyertai smile emoticon | Syabas kami ucapkan atas perhatian dan minat tuan terhadap bahasa Melayu. Untuk makluman tuan, PABM dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), DBP hanya menjadi sebahagian daripada jawatankuasa kerja dalam penganjurannya. Untuk maklumat lanjut tuan boleh hubungi urus setia di KPT. | Lain-lain | 21.10.2015 |
| Selamat pagi, kepada golongan pakar bahasa Melayu yang sangat dihormati. Saya ingin menerangkan bahawa pejuang bahasa Thai bertekad untuk mengekalkan dan memelihara bahasa aslinya yakni ketulenan bahasanya serta pejuang bahasanya dapat menangkis serangan istilah asing disebabkan iltizam yang kuat di kalangan ahli bahasanya dan sokongan padu daripada pihak diraja dan golongan bangsawannya tetapi di manakah pejuang bahasa Melayu sebenar sebagaimana yang dilakukan oleh Pencinta sebenar bahasa Melayu pada zaman Zaa'ba dan juga yang dilakukan oleh pakar bahasa Thai dan Cina? saya selaku mahasiswa UiTM akan berasa sangat malu jikalau penginggerisan bahasa Melayu berterusan dan semakin banyak istilah saduran bahasa Inggeris sehingga hilang keaslian dan jati diri bahasa Melayu . Perkara dan hal ini perlu diselesaikan serta perbincangan yang sungguh-sungguh perlu dilakukan di kalangan ahli bahasa Melayu untuk menyelamatkan bahasa Melayu daripada kehilangan jati dirinya seterusnya memelihara, memartabatkan, mengukuhkan, dan mengekalkannya . Mohon pertimbangan daripada pihak DBP dan golongan pakar bahasa Melayu. | Secara umumnya fungsi DBP bolehlah dirangkumkan sebagai membina dan mengembangkan bahasa Melayu. Dalam skop perancangan korpus/ pembinaan bahasa DBP melaksanakan penyelidikan bahasa, menggubal istilah dalam pelbagai bidang, menyusun kata (entri) kamus. Peranan memartabatkan bahasa Melayu merupakan peranan rakyat Malaysia seluruhnya, tanpa perlu rasa malu. | Lain-lain | 22.08.2014 |
| Akhbar Jawi... Terbaru, JCorp telah membuat satu tindakan yang proaktif dengan menaja akhbar Jawi di Johor. Isu memartabatkan Jawi ini amat mendukacitakan apabila sisipan akhbar Jawi seminggu sekali pada setiap Isnin di akhbar Utusan Malaysia telah diberhentikan. Jawi semakin dilupakan dan tidak mempunyai wawasan. Kita ingin sangat melihat akhbar Jawi yang sentiasa dicetak setiap hari, seperti akhbar Cina. Kemudian baru galakkan syarikat menaja untuk Sekolah, Universiti, Kolej. DBP mungkin boleh jadi pencetus bagi pencetakan Jawi di Malaysia. Sediakan laman web DBP khas dalam Jawi sahaja. Pemasaran melalui media, terutama Internet, lama sosial untuk menggalakkan masyarakat membaca Jawi mesti diperluaskan. Harapan saya supaya Jawi menjadi agenda utama dalam Parlimen dan sentiasa dibuat penambahbaikan dari tahun ke tahun. BADRULZAMAN | Terima kasih atas maklumat yang diberikan. Cadangan tuan untuk memperkasakan tulisan Jawi amat kami hargai dan akan diberi pertimbangan yang sewajarnya. Semoga kerjasama antara DBP dengan badan-badan kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan dan badan korporat dapat menyemarakkan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda hari ini. | Tatabahasa | 16.02.2015 |
| apakah makna rindu | Mengikut Kamus Dewan, kata ‘rindu’ mempunyai dua maksud iaitu; 1. ingin benar akan sesuatu atau berjumpa dengan seseorang; dan 2. perasaan sangat cinta atau berahi pada seseorang. | Makna | 22.09.2014 |
| Apakah makna atau erti istilah SAYANG dan CINTA dan apakah beza antara kedua-dua perkataan ini. | Encik Kamal, Perkataan sayang bermaksud 1 menaruh rasa kasih atau rasa cinta: ~ benar dia kpd suaminya. 2 perasaan kasih atau cinta: Dr mana datangnya ~, dr mata turun ke hati. 3 menaruh perasaan belas atau kasihan; berasa kesal: ~ aku melihat pengemis tua itu. ~ sekali jika kamu tidak melanjutkan pelajaranmu. 4 panggilan utk orang yg dikasihi; buah hati: ~, mari ayah dukung. bersayang-sayangan saling berasa sayang; berkasih-kasihan. menyayangi 1 berasa sayang akan; mengasihi; mencintai: Dia sangat ~ anak dan isterinya. 2 berasa kesal terhadap sesuatu; menyesali: Apa gunanya ~ perkara yg telah berlaku? kesayangan 1 rasa kasih dan sayang; perasaan sayang; cinta kasih: ~nya terhadap cucunya itu amat mendalam. 2 apa-apa yg disayangi atau yg disukai: Dia terpaksa meninggalkan anak dan isteri ~nya utk melanjutkan pelajaran ke luar negara. penyayang (orang yg) bersifat sangat menyayangi sesuatu: ibu yg ~. Perkataan cinta bermaksud 1. perasaan atau berperasaan sangat sayang kpd (negara, orang tua, kebebasan, dll): walaupun ~nya kpd keamanan amat kuat tetapi ia tetap mengangkat senjata kalau dicerobohi; 2. perasaan atau berperasaan sangat berahi (asyik, kasih, sayang) antara lelaki dan perempuan: ~ kpd suaminya masih tinggal bersarang dlm hati; barangkali kau masih ~ pd tunanganmu; 3. sl perasaan atau berperasaan dukacita (risau, bimbang, sedih, dll): tiada terperikan ~nya serta bercucuran air matanya; 4. perasaan atau berperasaan ingin akan sesuatu, rindu: putera raja itu amat sangat ~ akan burung yg dilihatnya itu; ~ berahi terlalu sangat cinta (asyik maksyuk); ~ kasih sangat cinta dan kasih (kasih sayang); ~ monyet cinta yg hanya sementara dan tidak serius, terutamanya di kalangan remaja; ~ pandang pertama cinta yg timbul terhadap seseorang walaupun baru pertama kali melihat atau bertemu dengannya; cintakan cinta akan, mencintai; bercinta 1. menaruh rasa cinta atau berahi (asyik, kasih, sayang) antara lelaki dan perempuan: elakkan drpd ~ sebelum lulus pelajaran; 2. berasa rindu; 3. ki berat rasa hati utk melakukan sesuatu (kerana sesuatu sebab yg kurang menyenangkan): kami sangat ~ utk pergi ke bank memandangkan lalu lintas yg sangat sesak; bercintakan 1. menaruh cinta atau kasih kpd, berahi kpd: sbg laki-laki yg ~ seorang wanita, bagaimana jua pun setia wanita itu kepadanya, namun curiga hatinya akan timbul juga barang sedikit; 2. berperasaan rindu akan, ingin akan: ia ~ benda yg sukar diperoleh; 3. sl berdukacita akan sesuatu, berasa sedih (pilu) hati akan sesuatu: tujuh hari baginda tiada nobat ~ Bendahara Seri Wak Raja; janganlah kakang emas ~ permintaan Ratu Dewi Kesuma Indera itu; bercinta-cintaan 1. cinta-mencintai, berkasih-kasihan: baru hendak ~ dgn seorang perempuan, tiba-tiba ia diberi malu dan dihina; 2. bercengkerama atau bercumbu-cumbuan (antara lelaki dan perempuan): sebelum hari malam, dia ~ dgn tunangannya; mencinta 1. menaruh cinta atau kasih (kpd); 2. sl berdukacita (akan), bersedih hati, menyesal; mencintai 1. mengasihi, menaruh cinta pd: ia ingin ~ dan dicintai; 2. merindukan(hendak memperoleh sesuatu dll), mengharapharapkan, menginginkan: tidak ada orang yg tak ~ duit; tercinta (yg) dicintai (dikasihi, disayangi): engkau pisahkan aku dr anakku yg ~; kecintaan 1. perasaan cinta, kasih, kesayangan: yg mempertalikan hati suami dan isteri itu ialah ~ yg diikat oleh kesetiaan; seluruh rakyat seharusnya menerima hakikat ini dan memberi sepenuh ~ kpd bahasa kebangsaan; 2. yg dicintai (dikasihi), kekasih: pemuda ~nya bekerja sbg wartawan; 3. sl kerinduan kesedihan, kebimbangan; 4. sl menanggung cinta (sedih dll); percintaan 1. perihal bercinta-cintaan atau berkasih sayang (antara laki-laki dan perempuan): kahwin itu ialah kemuncak ~;2. sl perasaan dukacita (sedih, pilu, rindu, menyesal, dll), kesedihan, kesusahan: maka oleh bonda baginda kedua anakanda baginda, kedua-dua anakanda baginda dipeluk dicium, maka ~ bonda baginda pun hilanglah; pencinta orang yg meminati dan mencintai sesuatu: ~ sastera; ~ buku. Daripada makna yang diberikan jelaslah bahawa kedua-dua perkataan ini bersinonim. | Kamus Dewan Edisi Empat | | | |
| Makna | 13.06.2010 |
| Salam Tuan /Puan, Kami ingin meminta nasihat dari pihak Dewan Bahasa dan Pustaka mengenai perkataan yang sesuai bagi situasi di bawah: Situasi: Kadar sumbangan bagi pelan takaful Kaotim ini bermula dari RM30 dan ke atas bergantung kepada umur dan jantina peserta. Ini bermaksud, bukan semua peserta layak untuk mendapat pelan dengan sumbangan RM30. Jadi, diantara dua penyataan di bawah, yang manakah yang lebih tepat? Pilihan Pertama: Dapatkan kad perubatan dari serendah RM30. Pilihan Kedua: Dapatkan kad perubatan serendah RM30. Kami berpandangan Pilihan Pertama adalah lebih tepat dengan situasi di atas kerana ianya memberikan gambaran bahawa harga sumbangan akan berubah dan meningkat mengikut umur dan jantina peserta. Nasihat pakar daripada pihak tuan/puan sangat-sangat kami hargai. | Pilihan Kedua: Dapatkan kad perubatan serendah RM30. | Tatabahasa | 29.09.2025 |
| Assalamualikum tuan/puan. Terima kasih banyak kerana menjawab pertanyaan -pertanyaan saya. Ia sangat membantu. Saya ingin bertanya beza "hasil" dan "keberhasilan" Terima kasih. | Takrif dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) bagi hasil dan keberhasilan adalah seperti yang berikut: hasil n 1 dapatan atau faedah drp sst usaha, kegiatan dsb: Setelah lima tahun bercucuk tanam, ladang itu memberikan hasil yg lumayan.• Penangkapan Razlan itu ialah hasil pengintipan selama sebulan. 2 sst yg diperoleh atau dikeluarkan drp pokok, tanah, hutan dsb: Myanmar ialah sebuah negara yg kaya dgn hasil hutannya. • Orang Senoi mengutip hasil padi mereka dgn menggunakan tuai. 3 ki sst kebaikan atau keburukan yg timbul selepas berlakunya sst kejadian, tindakan dll: Mereka menggunakan senjata termoden hasil teknologi paling canggih. • Keselesaan yg dinikmati ialah hasil pengorbanan dan perjuangan generasi sebelum ini. 4 pendapatan yg diperoleh sso, syarikat atau negara drp kutipan cukai, denda, sewa dll: Sekiranya orang yg dituduh itu tidak hadir pd hari perbicaraannya, maka wang jaminannya itu akan hilang dan menjadi hasil kerajaan. keberhasilan n 1 hal beroleh hasil atau kesan: Keberhasilan penggunaan istilah banyak bergantung pd masyarakat penggunanya.• Dia menerangkan cara utk meningkatkan keberhasilan perniagaan di Internet. 2 sst yg dicapai atau diperoleh: Mari sama-sama kita berkongsi ttg keberhasilan yg dicapai sepanjang Ramadan. | Lain-lain | 06.07.2021 |
| salam sejahtera... saya ingin mengetahui lebih lanjut tentang kata tugas dalam bahasa melayu. mohon bantuan | Saudari Zirah, Kata tugas ialah unit yang tidak dapat berdiri sendiri yang memerlukan sekurang-kurangnya satu unit yang bebas untuk melaksanakan tugas nahunya. Fungsinya sebagai penghubung, penerang, penguat, pendepan, pembantu, penegas, penafi, pembenar, dan pemeri. Contoh : dan, atau, wah, sila, maka, akan, sangat, pun, dan ialah. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 91 - 93. | Tatabahasa | 23.09.2012 |