Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat m/s 1034. Kata `mini ` mempunyai maksud (1)sangat kecil, sangat pendek. ( 2) sebagai imbuhan awalan asing iaitu juga bermaksud sangat kecil atau singkat. Maka contoh yang diberikan seperti bas mini, karipap mini, pasar mini. Mengapakah `miniskrit` dikatakan betul? Salahkah jika ditulis `skirt mini`kerana l`skrit mini `lebih tepat dari segi hukum D-M? | Berdasarkan Kamus Inggeris Melayu Dewan dan Daftar Istilah, istilah yang tepat ialah skirt mini. Kamus Dewan Edisi Keempat merakamkan perkataan ini disebabkan oleh kelaziman penggunaannya dalam kalangan penutur bahasa Melayu. | Istilah | 18.04.2009 |
Tuan, Ayat berikut adalah gramatis ? 1) Walaupun beliau sangat kaya tetapi beliau sangat kedekut. 2) Walaupun beliau sangat kaya namun beliau sangat kedekut. 3) Bolehkah 'walaupun' berpasangan dengan 'tetapi'? Terima kasih | Dalam ayat contoh yang diberikan, saudara hanya perlu menggunakan perkataan walaupun, kemudian diletakkan tanda koma (,) sahaja, tidak diikuti oleh tetapi. Contoh ayat: Walaupun beliau sangat kaya, beliau sangat kedekut. Saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 253. | Tatabahasa | 11.07.2016 |
Selamat sejahtera, Saya meminta bantuan pihak dbp tentang penggunaan bahasa malaysia dibawah sama ada boleh diterima atau tidak? 1) sangat cantik sekali 2) amat cantik sekali 3) sungguh cantik sekali sekian terima kasih. Tan | Ketiga-tiganya adalah betul. 1) sangat cantik sekali 2) amat cantik sekali 3) sungguh cantik sekali | Tatabahasa | 21.07.2013 |
Salam mesra, Apakah terjemahan yang sesuai bagi "Falls Somewhat Short"? Ayat ini digunakan dalam pemarkahan kaji selidik. Mohon bantuan DBP. Terima kasih. | Seperti biasa, sila berikan konteks ayat atau lebih baik ayat penuh seperti pertanyaan-pertanyaan puan sebelum ini. Dalam buku Kamus Dewan, fall short membawa pengertian berkurang atau menurun; manakala somewhat membawa pengertian sangat-sangat atau agak. Daripada pengertian makna kamus (tanpa konteks ini) kami hanya boleh mencadangkan padanan seperti yang berikut: 1. sangat-sangat berkurang 2. sangat-sangat menurun 3. agak berkurang 4. agak menurun | Istilah | 06.05.2014 |
Adakah ayat berikut ini baku? Jika tidak baku, mohon tuan suntingkan. 'Penilaian responden kepada keempat-empat aspek tersebut adalah antara 4.07 hingga 4.30 pada skala kepuasan 1 (sangat tidak memuaskan) hingga 5 (sangat memuaskan).' | Penilaian responden ke atas/terhadap keempat-empat aspek tersebut adalah antara 4.07 hingga 4.30 pada skala kepuasan1(sangat tidak memuaskan) hingga 5(sangat memuaskan). | Tatabahasa | 13.05.2008 |
Tn.Munsyi,mohon penjelasan frasa berikut : 1."kesakitan yang teramat sangat " adakah frasa ini tepat dalam ayat Ali mengalami kesakitan yang teramat sangat setelah terjatuh dari basikal. 2.Frasa "teramat sangat" adakah betul dan tepat daripada " tersangat amat" 3.Pemandangan di Langkawi "sungguh amat terindah" Frasa sungguh amat terindah adakah tepat daripada "amat sungguh terindah" 4.Bagaimanakah tatacara kita menyusun amat,sangat dalam frasa adjektif...amat didahulukan disusuli sangat atau sangat didahulukan disusuli oleh amat? Ulasan Tn.Sangat saya hargai didahului dengan ucapan terima kasih.... | Menurut data kami, kata penguat boleh hadir berderetan, seperti contoh ayat; sungguh amat sakit. Begitu juga dengan kata penguat amat sangat yang bermaksud terlampau, boleh hadir secara berturutan. Binaan ayat daripada pola ter + amat + sangat adalah tidak gramatis, yang betul ialah daripada binaan ter + amat + kata adjektif seperti teramat sakit dan teramat cantik. Ayat yang betul ialah pemandangan di Langkawi teramat indah. Selain itu, kata penguat ialah perkataan yang mendahului atau mengikuti frasa atau kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam kata atau frasa adjektif. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (muka surat 259 - 261). | Tatabahasa | 30.03.2020 |
pemimpin negara yang sangat saya SANJUNG ialah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj PILIH perkataaan seerti bagi SANJUNG A puji B suka Cgemar D hormat terima kasih | Sanjung membawa maksud; menyanjung 1. sangat menghargai (sesuatu yg dianggap baik, berani, dll), meletak-kan pd tempat (kedudukan) yg mulia, memuji: mereka ~ tinggi kepala negara mereka; 2. = ~ hati mengambil hati, memujuk: pandai benar engkau ~ hati orang; penghulu disan-jung dgn adatnya, orang alim disanjung dgn kajinya, orang muda disanjung dgn mudanya prb a) kalau memuji orang hendak-lah dgn pujian yg kena pd tempatnya; b) mengambil hati orang hendaklah dgn perkara yg digemarinya; menyanjung-nyanjung memuji dgn berlebih-lebihan, menghormati sangat-sangat, mengangkat-angkat: hairan benar, mengapa pula majalah itu ~ namaku begitu sekali? sanjungan 1. penghormatan, pujian: dgn kemenangan itu agama Islam telah tersebar dgn pesatnya dan mendapat ~ yg tinggi; 2. suka dipuji-puji. Dalam konteks ayat tersebut perkataan hormat boleh digunakan. | Tatabahasa | 27.05.2015 |
soalan 1: 1. Saya nak ucap terima kasih juga kepada Setiausaha Agung yang rambutnya teristimewa sekarang ini.......Kesalahan yang terdapat pada ayat ini ialah "yang rambutnya teristimewa" sekarang ini...... (boleh jelaskan kenapa "yang rambutnya teristimewa salah") 2. Yang pertama, bahawa... Yang pentingnya,....kenapa perkataan "yang" tidak sesuai diguna pakai di awal ayat??? boleh tolong jelaskan? | Jawapan 1: Ayat yang lebih sesuai ialah "yang berambut "istimewa" sekarang ini...". Perlu ada tanda " " pada perkataan istimewa kerana istimewa di sini boleh menjelaskan pelbagai maksud. Mungkin juga berambut cantik, berambut pelik dan sebagainya. Jika hendak menggantikan ayat yang lebih sesuai ialah "yang rambutnya sangat istimewa atau yang rambutnya sangat luar biasa sekarang ini". Maksud "teristimewa" ialah "yang luar biasa, yang sangat khas, terkhusus"(Kamus Dewan Edisi Keempat).Jika ayat "yang rambutnya teristimewa" digunakan, maka ayat ini salah kerana ayat yang digunakan berbunyi" yang rambutnya yang luar biasa" . Penggunaan "yang" dua (2) kali berturut-turut dalam ayat bahasa Melayu adalah tidak sesuai dan hendaklah dielakkan. Jawapan 2: "yang" adalah kata hubung dalam bahasa Melayu. Kata hubung bermaksud menghubungkan satu perkataan dengan perkataan yang lain. Contohnya: Saya membeli baju yang berwarna hijau. Perkataan "yang" menghubungkan perkataan "baju" dan "berwarna". Perkataan "yang" hanya biasa digunakan dalam penulisan seperti slogan, puisi atau pantun dan seumpamanya sahaja. Contohnya: "Yang indah itu bahasa".
| Tatabahasa | 29.03.2013 |
Salam sejahtera. Penggunaan "sangat" dalam ayat ini diterima atau tidak? 1. Udara di pantai sangat nyaman dan segar. terima kasih | Penggunaan perkataan sangat diterima dalam ayat ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sangat bermaksud terlalu, terlampau, benar-benar, sungguh-sungguh. | Lain-lain | 02.09.2018 |
salam sejahtera, saya hendak bertanya kepada pihak tuan bahawa penggunaan frasa di bawah bawah adakah betul? 1) amat sangat cantik 2) sunggut amat cantik 3) terlalu amat cantik sekian, terima kasih. | 1. Amat sangat cantik, sungguh amat cantik - amat, sangat dan sungguh ialah kata penguat bebas dan kata penguat tak perlu hadir berturutan dalam satu ayat. 2. Terlalu amat cantik - Frasa ini betul, walau bagaimanapun terlalu cantik atau amat cantik telah memadai. | Tatabahasa | 05.07.2012 |