adakah perkataan 'sapu-menyapu' boleh digunakan sebagai kata ganda? | Perkataan sapu-menyapu tidak boleh digunakan sebagai kata ganda. Kata ganda yang betul ialah menyapu-nyapu yang membawa maksud mengesat-ngesat, menggosok-gosok, mengusap-usap. | Tatabahasa | 07.02.2013 |
Maksud bunjut dalam sup bunjut dan kenapa ia tiada dalam kamus. | Menurut data kami penggunaan frasa yang betul ialah punjut yang bermaksud sapu tangan dan lain-lain yang keempat-empat sudutnya diikat menjadi satu (untuk membawa sesuatu); memunjut menyimpulkan (mengikat) keempat-empat sudut sapu tangan dan lain-lain (menjadikan punjut). (Kamus Dewan Edisi Keempat) manakala sup bunjut pula merupakan nama yang telah didaftarkan. | Lain-lain | 21.09.2018 |
Adakah penggunaan kata kerja tunggal berikut diterima betul? 1. Ali "sapu" kaya pada roti. 2. Ali "mop" lantai. 3. Ali "lap" cermin. 4. Ali "tarik" pam tandas. *Terima kasih* | Penggunaan yang betul ialah: 1. Ali menyapu kaya pada roti. 2. Ali mengemop lantai. 3. Ali menarik pam tandas. | Tatabahasa | 04.05.2014 |
Huruf PKTS akan digugurkan apabila bertemu dengan imbuhan peN.... Contoh: sapu> penyapu, pakai> pemakai, tarik> penarik, kawal> pengawal. Mengapa hal ini tidak berlaku pada perkataan pentadbir, pentafsir, penterjemahan adakah kerana perkataan tersebut kata pinjaman? terima kasih | Awalan huruf pkts tidak akan gugur apabila menerima imbuhan bagi kata pinjaman bertujuan mempertahankan etimologi kata asalnya. | Tatabahasa | 26.04.2012 |
Apakah cara pengejaan kependekan kata “kau” jika digunakan dalam ayat, sama ada kausapu atau kau sapu? | Pengejaan yang betul bagi kependekan perkataan tersebut ialah kausapu ... | Tatabahasa | 29.10.2018 |
Tolong sapukan sampah-sarap yang berada di bawah pokok. Ayat ini betul ke? | Ayat yang betul ialah "Tolong sapu sampah sarap yang berada di bawah pokok." | Lain-lain | 30.11.2022 |
MAKNA BAGI PERKATAAN MENYAPU DAN MENYIRAM. | Makna bagi perkataan menyapu ialah 1. membersihkan lantai dgn sapu, 2. mengesat, menghapuskan, mengusap, 3. menyapunyapu, mengesat-ngesat, menggosok-gosok, mengusap-usap, 4. mencecah ke (kerana terlalu tinggi), 5. melumas (dgn cat, kapur, dll): 6. melumur (bedak ke muka dll), 7. bp melenyapkan sama sekali (wang dll), mengambil habis, mengambil (memperoleh, memenangi, dsb) kesemuanya. Menyiram pula ialah 1. mencurahkan air dll pd, mendirus, menjirus 2. menjirus dgn air dll (supaya bersih). Namun penggunaan kata ini dalam ayat adalah bergantung pada penggunaan konteks dan situasi. | Makna | 02.02.2010 |
Dia menyapu jem pada roti atau Dia menyapukan jem pada roti Apakah perbezaan antara ayat -ayat di atas? | Kata dasar “sapu” boleh menerima awalan meN- dan meN-…-kan. Namun dalam konteks ayat yang diberikan, perkataan “menyapu” tidak sesuai digunakan. Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 1964 - 1965, menyatakan perkataan “menyapu” bermaksud “membersihkan sesuatu, mengesat, mengelap dan mencecah.”, manakala perkataan “menyapukan” bermaksud “melumurkan sesuatu kepada sesuatu yang lain.” Oleh yang demikian, ayat yang lebih tepat ialah “Dia menyapukan jem pada roti.” Untuk maklumat lanjut yang berkaitan dengan ayat, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 432 - 575. | Tatabahasa | 15.10.2024 |
salam sejahtera, 1. Saya mempunyai kekeliruan penggunaan perkataan 'petinju' dan 'peninju'. Mohon pihak tuan jelaskan penggunaan hukum PKTS... adakah setiap perkataan yang bermula dengan huruf-huruf tersebut perlu ditiadakan hurufnya apabila menerima imbuhan. Contoh perkataan dasar sapu, apabila menerima imbuhan pen- akan menjadi penyapu. 2. mana satu yang betul, pusat beli belah atau pusat membeli belah? sekian, terima kasih | 1. Peninju ialah orang yang meninju, manakala petinju ialah orang yang berlawan tinju. Kata dasar yang bermula dengan huruf PKTS akan gugur apabila menerima imbuhan me-. Contohnya pukul - memukul, kuis - menguis, tolak - menolak dan sepak - menyepak. 2. Pusat beli-belah, membeli-belah ialah perbuatan yang biasanya dilakukan oleh manusia. | Tatabahasa | 29.07.2012 |
adakah bongkah polistirena dan bola ping pong serta penyambung "L" merupakan kata majmuk rangkai kata bebas? | Kata majmuk ialah perkataan yang dibentuk dengan merangkaikan beberapa kata dasar; bentuk yang terhasil membawa makna tertentu, dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, contohnya kapal terbang, ibu bapa sapu tangan dan sebagainya. Kata majmuk terbahagi kepada tiga jenis, iaitu: 1) Kata majmuk yang terdiri daripada rangkai kata bebas, contohnya guru besar, tengah hari dan balai raya. 2) Kata majmuk yang juga merupakan istilah khusus dalam bidang ilmiah, contohnya graf terarah, program bahasa dan analisis teks. 3) Kata majmuk yang mendokong maksud kiasan, iaitu simpulan bahasa, contohnya cakar ayam, lipas kudung dan anak emas. kata majmuk yang mantap sahaja dieja satu perkataan iaitu warganegara, setiausaha, olahraga, jawatankuasa, tandatangan, suruhanjaya, tanggungjawab, kakitangan, antarabangsa, jawatankuasa, pesuruhjaya, matahari, bumiputera, sukarela, kerjasama, beritahu. Kata majmuk yang lain dieja dua perkataan Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 133. Jika merujuk kepada maksud tersebut, ini bermakna bongkah polistirena, bola pingpong dan penyambung 'L' merupakan kata majmuk bebas. | Tatabahasa | 29.12.2015 |