| Boleh ke guna membawa'nya' sebab setahu saya 'nya' hanya boleh digunakan untuk manusia. Perlu tambah 'ke' sebelum pusat kitar semula sebab sudah ada 'ke' sebelum tempat pelupusan sampah? Mereka terlalu malas untuk menanam sampah sarap apatah lagi membawanya ke tempat pelupusan sampah atau ke pusat kitar semula. | Ayat yang betul ialah Mereka terlalu malas untuk menanam sampah sarap apatah lagi membawa sampah tersebut ke tempat pelupusan sampah atau ke pusat kitar semula. Kata sendi ke perlu diulang bagi menunjukkan tempat atau arah seperti yang diterangkan dalam Tatabahasa Dewan halaman 267. | Tatabahasa | 11.07.2014 |
| 1. Adakah orang yang mengajar silat itu mahaguru? Contoh soalan: Ali yang sedang belajar ilmu silat itu asyik mendengar sambil memerhatikan tunjuk ajar ( mahaguru / jurulatih )nya. 2. Manakah ayat yang betul? A. Buah tembikai itu sudah diambil Ali semalam. B. Buah tembikai itu sudah diambil oleh Ali semalam. C. Buah tembikai itu sudah semalam Ali ambil. Saya berasa keliru dengan jawapan yang diberikan dalam buku. Harap tuan dapat menjawab kemusykilan saya ini. Terima kasih. | 1. Mahaguru bermaksud ketua sesuatu kumpulan silat. Dalam ayat yang dinyatakan, memadai menggunakan guru silat. 2. Untuk ayat pasif yang menggunakan kata kerja pasif di-, kata sendi nama oleh pada binaan oleh + FN yang letaknya selepas kata kerja boleh digugurkan tanpa menjejaskan makna atau struktur ayat. Contoh: Barang itu sudah diambil Ali semalam, sampah sarap dibakar ayah pada pagi tadi. Namun demikian, sekiranya binaan oleh + FN terletak jauh daripada kata kerja, maka oleh tidak boleh digugurkan. Contoh: Barang itu sudah diambil semalam oleh Ali, sampah sarap dibakar pagi tadi oleh ayah. | Tatabahasa | 19.08.2013 |