Selamat sejahtera diucapkan. Saya mempunyai satu kemusykilan tentang ayat majmuk. Diharap pihak tuan/puan dapat membantu saya. i) Kain sari itu berkualiti. ii) Kain sari itu dhasilkan dengan teliti. Ayat majmuk untuk kedua-dua ayat tunggal di atas ialah: a) Kain sari yang berkualiti itu dihasilkan dengan teliti. b) Kain sari itu berkualiti dan diahasilkan dengan teliti. a atau b merupakan jawapan yang tepat? Ribuan terima kasih diucapkan terlebih dahulu. | Encik Teoh, Ayat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan percantuman ayat-ayat itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu. Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa ayat tersebut merupakan ayat majmuk kerana mempunyai dua ayat tunggal. Akan tetapi, kedua-dua ayat ini boleh dijadikan satu ayat dengan menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung dan, atau, tetapi, dan sebagainya. Proses gabungan ini dipanggil ayat majmuk gabungan. Oleh itu, ayat sdr akan dibina seperti berikut: Kain sari itu berkualiti dan dihasilkan dengan teliti. Untuk makluman sdr, ayat (i) dan (ii) mempunyai unsur yang sama dan diulang, iaitu kain sari. Oleh itu, bahagian yang sama itu boleh digugurkan dan ditambah dengan kata hubung "dan". | Tatabahasa | 27.03.2009 |
Soalan berkenaan penggunaan singkatan perkataan dalam sari kata. Bagi kependekan, contohnya, "kan", bolehkah digunakan untuk sari kata TV/OTT? contoh: Awak yang datang tadi, kan? Atau seharusnya ditulis penuh? Mohon bimbingan. | Sari kata ialah terjemahan dialog daripada filem yang mengungkapkan perbualan watak-watak. Oleh itu, penggunaan perkataan "kan" berdasarkan terjemahan dalam bahasa Melayu. Pastikan setiap dialog ditulis dengan menggunakan tanda petik, seperti "Awak datang sebentar tadi, kan?" | Tatabahasa | 07.08.2023 |
Salam. Dalam industri penyarikataan, adakah "tapi/tetapi" dibolehkan digunakan di awal ayat? Sari kata merupakan transkripsi/terjemahan ayat percakapan. Apabila "namun" digunakan di tempat "tapi" dalam sari kata perbualan harian, bunyinya sungguh canggung. Kalau guna "akan tetapi", masih canggung, malah terlalu panjang pula kerana sari kata ada had aksara per baris dan per saat. Mohon nasihat. | Bidang sari kata juga tertakluk pada rumus tatabahasa. Tetapi tergolong dalam kategori kata hubung dan hadir pada pertengahan ayat. Contohnya, Ahmad lulus ujian itu tetapi adiknya gagal. Berbeza dengan namun yang berfungsi sebagai penanda wacana yang menghuraikan pernyataan berbeza daripada ayat sebelumnya. Kami berpandangan dalam konteks yang dinyatakan kata namun lebih sesuai digunakan. | Tatabahasa | 22.08.2021 |
Dalam penggunaan sari kata, bilangan huruf yang digunakan amat penting untuk memastikan penonton dapat membaca sari kata dengan kelajuan yang sepatutnya. Dalam konteks ini, bolehkah "ialah" atau "adalah" digugurkan? "Teori buat masa ini isu kewangan." atau "Teori buat masa ini ialah isu kewangan." atau "Teori buat masa ini, isu kewangan." | Penggunaan kata pemeri ialah hadir di hadapan frasa nama dan kata pemeri adalah hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Perlu diingat bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas dan kurang digalakkan dalam pembentukan ayat bahasa Melayu. Oleh itu, kata pemeri ialah/adalah boleh digugurkan tanpa menggantikannya dengan tanda koma. Hanya jeda (berhenti sebentar) ketika melafazkannya. | Tatabahasa | 07.07.2020 |
ada panduan untuk penulis sari kata? Penggunaan kata yang betul. Kata ganti, kata nama dan sebagainya. | Untuk makluman DBP tidak mempunyai buku panduan khusus untuk penulis sari kata. Walau bagaimanapun, puan boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk mendapatkan panduan tentang penggunaan perkataan seperti kata ganti nama, kata nama dan sebagainya. | Tatabahasa | 15.05.2012 |
NAMA SYARIKAT : SARI RATU EXPRESS | Salam sejahtera, Mohon penjelasan bagi soalan di atas. Adakah tuan/puan ingin bertanya tentang penggunaan tanda baca, tatabahasa atau lain-lain? Sekiranya soalan ini berkaitan dengan tanda baca, sila ubah seperti berikut: NAMA SYARIKAT: SARI RATU EXPRESS Titik bertindih hendaklah ditulis rapat dengan perkataan sebelumnya (SYARIKAT) dan jarak dengan perkataan selepasnya (SARI). Sekian. Terima kasih. | Lain-lain | 30.01.2018 |
"Mengapakah tuan puteri bersedih?Katakanlah kepada _____," kata Mak Inang Sari kepada Tuan Puteri Nilai Kenchana. Jawapan yang paling sesuai untuk soalan di atas "patik" atau "hamba"? Terima kasih. | Jawapan yang sesuai: "Mengapakah tuan puteri bersedih?Katakanlah kepada hamba," kata Mak Inang Sari kepada Tuan Puteri Nilai Kenchana. | Istilah | 15.05.2016 |
Apa peranan DBP untuk memastikan siaran-siaran yang ditontonkan di Malaysia sama ada di TV atau dalam talian contohnya Netflix, Amazonprime dan sebagainya mempunyai sari kata bahasa Melayu? Banyak rancangan dalam talian itu mempunyai sari kata bahasa Indonesia tetapi bukan bahasa Melayu. | Terima kasih atas komitmen tuan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan. Usaha memartabatkan bahasa Melayu merupakan tanggungjawab semua pihak. Peranan untuk menegur dan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang betul, bukan sahaja tanggungjawab Dewan Bahasa dan Pustaka, pejuang bahasa, guru, penulis atau karyawan, malah meliputi semua kelompok masyarakat. Oleh itu, tuan merupakan sebahagian kelompok masyarakat yang berperanan membantu DBP dalam menjayakan misi dan visinya. Sebagai badan perancangan bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hanya boleh memberikan nasihat dan bimbingan tentang penggunaan bahasa Melayu yang baik, betul dan indah tetapi DBP belum lagi diberikan kuasa undang-undang untuk mengambil tindakan ke atas sesiapa sahaja termasuklah badan penyiaran yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik. Walau bagaimanapun, perancangan ke arah tersebut sedang diusahakan oleh DBP. Teruskanlah menyokong usaha Dewan Bahasa dan Pustaka dalam memartabatkan bahasa kebangsaan. | Lain-lain | 06.05.2023 |
Ungkapan cerdik pandai, hamba abdi, ilmu pengetahuan dan sebagainya dianggap sebagai kelewahan yang dibenarkan. Berdasarkan ungkapan ini, mungkinkah ungkapan inti sari, isi kandungan, mara ke hadapan dan yang seumpamanya dikategorikan sebagai kelewahan yang dibenarkan? Terima kasih. | Ungkapan cerdik pandai, hamba abdi, ilmu pengetahuan, inti sari dan sebagainya telah mantap penggunaannya dalam kalangan masyarakat. Tidak ada penerangan tentang kelewahan yang dibenarkan dalam buku Tatabahasa Dewan. Secara prinsipnya kelewahan bukanlah suatu kesalahan tetapi unsur yang berlebih-lebihan. Contohnya kata terbitan diperbuat yang dianggap lewah bagi dibuat. | Tatabahasa | 29.05.2012 |
1. "dengar siaran kami" atau "dengarkan siaran kami" 2. "intisari" atau "inti sari" 3. Tolong huraikan perbedaannya. Terima kasih. | 1. "dengar siaran kami" atau "dengarkan siaran kami" - kedua-duanya betul, lazimnya frasa yang kedua digunakan dalam ayat perintah. 2. Ejaan yang betul ialah inti sari, kedua-dua perkataan dalam kata majmuk tersebut boleh memberi makna dan tidak digolongkan dalam kumpulan kata majmuk yang telah mantap. | Tatabahasa | 10.05.2011 |