Assalamualaikum tuan, Saya ada dua (2) soalan seperti berikut: - 1) Saya ingin tahu maksud perkataan rekata dengan lebih jelas dan contoh ayat menggunakan perkataan tersebut. 2) Di manakah saya boleh mendapatkan maklumat tentang perkataan arkaik dan senarai perkataan arkaik? Adakah sebarang buku diterbitkan? Sekian, terima kasih. | Perkataan rekata merupakan perkataan yang ditandai dengan arkaik dalam Kamus Dewan Edisi Keempat yang merupakan sejenis rasi, kala. Perkataan ini tidak lagi digunakan dalam bahasa Melayu dan data berhubung dengan penggunaan perkataan tersebut tidak dijumpai. Walau bagaimanapun, perkataan rasi merupakan sekumpulan bintang dlm zodiak (mintakulburuj) terbahagi kpd dua belas kumpulan (Akrab, Asad, Delu, Hamal, Hut, Jadi, Jauza, Kaus, Mizan, Sartan, Sunbulat, Saur) | Lain-lain | 13.08.2018 |
Selamat sejahtera, Saya ingin bertanya, mengapakah kebanyakan istilah Arab dalam PRPM dieja dengan huruf kecil? Misalnya, firdaus (nama syurga), iblis (bapa kepada bangsa jin sepertimana Adam sebagai bapa kepada bangsa manusia), firaun (raja Mesir zaman dahulukala), lailatulqadar (peristiwa penting dalam agama, sama konsepnya seperti Hari Easter, Halloween dan sebagainya) dan banyak lagi. Bagaimanakah penentuan tanda baca huruf besar dan kecil ini ditentukan? Sekian, terima kasih. | Untuk makluman pihak puan, ejaan perkataan dalam PRPM berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat. Semasa penyusunan Kamus Dewan Edisi Keempat dahulu, penentuan ejaan sama ada berhuruf besar atau berhuruf kecil tidak jelas kerana penyusun memasukkan sesuatu kata berdasarkan keputusan atau panduan yang dikeluarkan pada waktu itu. Namun, semasa penyusunan Kamus Dewan Perdana (KDP), pengejaan entri dibuat berdasarkan segala keputusan, panduan dan perbincangan yang diputuskan oleh beberapa pihak tertentu, termasuk Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu, Jawatankuasa Editorial, pertanyaan terus kepada pihak tertentu yang berkaitan dan sebagainya. Pada masa ini, keputusan untuk mengejakan sesuatu kata nama khas itu adalah lebih jelas dan dapat diandalkan. Sistem penyusunan KDP merumuskan penentuan bagi kata nama khas ialah nama yang menunjukkan tempat, peristiwa, nama orang dan lain-lain yang khusus. Sebanyak lebih kurang 30 kategori dimasukkan sebagai entri dan dieja dengan huruf besar. Antaranya ialah nama negara, negeri, perayaan, fahaman, gelaran, hari, bulan, tahun , zodiak, planet, lautan, benua dan lain-lain. Contoh perkataan nama khas yang dieja dengan huruf besar ialah Pahang, Lautan Atlantik, negara Afrika, garisan Sartan, bangsa Melayu dan sebagainya. Nama-nama syurga dieja dengan huruf besar, misalnya Firdaus dan Naim, nama neraka seperti Jahanam dan Hawiah, nama malaikat seperti Jibrail dan Mikail dan lain-lain lagi. Kata nama yang dianggap kata umum ditulis menggunakan huruf kecil. Dengan penjelasan ini diharapkan dapat membantu puan dalam pengejaan sesuatu kata. | Ejaan | 07.12.2020 |