Bidang matematik: Apakah kata berganda untuk segi empat tepat atau segi tiga? Adakah 'contoh, Luas segi empat tepat - segi empat tepat itu ' atau 'Luas segi-segi empat tepat itu '? Terima kasih. | Ejaan yang betul ialah segi-segi empat dan segi-segi tiga. | Lain-lain | 07.08.2018 |
Sila gunakan pembaris ketika melukis segi empat tepat supaya garisannya tidak __ (herot-berot /bengkang-bengkok) | Jawapan yang betul ialah: Sila gunakan pembaris ketika melukis segi empat tepat supaya garisannya tidak herot-berot. | Tatabahasa | 09.06.2012 |
Salam sejahtera, adakah wujud istilah 'medium rectangle' di dalam bahasa Melayu? Medium rectangle merujuk kepada ruangan iklan bersaiz 300 x 250 piksel yang diletakkan di dalam laman sesawang. Terima kasih. | Cadangan perkataan bahasa Melayu untuk perkataan "medium rectangle" ialah ruang iklan segi empat tepat. | Makna | 23.10.2021 |
Assalamualaikum... 1. Saya keliru dengan penggunaan wacana yang tepat iaitu sama ada 'oleh demikian' atau 'oleh yang demikian' atau 'oleh hal yang demikian'? Yang mana satu yang betul? 2. Saya berharap pihak tuan dapat menjelaskan sebab ejaan 'jawab' dan 'jawapan' berbeza dari segi penggunaan konsonan 'b' dan 'p'. begitu juga dengan perkataan 'wajib' dan 'kewajipan'? terima kasih. | Sekiranya saudara merujuk Kamus Dewan Edisi Empat, kata demikian bermaksud begitu, begini, seperti itu. Oleh yang demikian bermaksud oleh(hal)yang begitu. Penggunaan ungkapan yang mantap ialah oleh yang demikian. Bagi menjawab soalan kedua saudara, kata dasarnya ialah "jawab". Oleh yang demikian, bentuk terbitan yang betul ialah "jawaban". Walau bagaimanapun, perkataan "jawapan" sudah mantap penggunaannya. Maka kedua-dua ejaan perkataan ini betul. | Tatabahasa | 18.02.2009 |
Apakah masalah dari sedi penggunaan kata dalam ayat-ayat ini: 1. Setiap kelas diminta membina SUDUT bacaan masing-masing. 2. Dia tidak dapat menerima SUDUT pandangannya yang agak keterlaluan itu. Terima Kasih | SUDUT (KAMUS DEWAN EDISI EMPAT) 1. penjuru (bilik, halaman, kain, padang, dll), ceruk, pojok (rumah dll 2. bidang atau luas antara dua garisan atau permukaan yg bertemu 3. = sudutan tempat yg terletak jauh, ceruk rantau, pelosok: kapal pengangkut tentera dr Rabaul telah mengelilingi ~ timur New Guinea utk melakukan pendaratan di Port Moresby; 4. pokok atau dasar pandangan (penelitian, penyelidikan, dll), arah pandangan, segi;. Kedua-dua penggunaan perkataan 'sudut' adalah tepat. | Tatabahasa | 15.10.2012 |
Saya telah menerima keputusan Hakim Mahkamah tinggi Syariah seperti fail di lampirkan. Nama semua pihak termasuk mahkamah berkenaan saya padamkan untuk menjaga nama baik semua pihak. Pertanyaan ini tidak bermaksud mempertikaikan apa-apa keputusan tetapi hanya dari sudut penggunaan Bahasa Malaysia yang standard sahaja. Persoalan saya ialah memandangkan keputusan hakim tersebut di buat dalam sehelai kertas dengan tajuk "PERINTAH". Apa yang saya faham dengan Definasi "PERINTAH" ialah kata suruh ... iaitu mengikut istilah kamus Dewan Edisi ke empat. Membaca keseluruhan 'PERINTAH' Hakim tersebut saya berpendapat secara keseluruhannya semua ayat sebaik sahaja selepas ayat "MAKA ADALAH DENGAN INI MAHKAMAH PERINTAHKAN" adalah tidak bertepatan dengan istilah perintah yang saya fahami. Dengan kata lain ianya adalah salah dari segi tatabahasanya. Mohon pandangan dan ulasan dari pihak tuan. t.k | Seperti yang tuan sedia maklum, kami juga merujuk Kamus Dewan. Berdasarkan Kamus Dewan, perintah juga bermaksud peraturan daripada pihak yang berkuasa yang harus dipatuhi. Untuk makluman tuan juga terdapat perkataan yang tidak digunakan dalam kata umum tetapi dalam laras tertentu seperti laras undang-undang kata tersebut membawa maksud yang khusus. Contohnya dalam ungkapan umum, kata "perintahkan" hanya digunakan dalam ayat suruhan dan penggunaan yang betul dalam ayat penyata ialah "memerintahkan". Walau bagaimanapun kita tidak boleh mengatakan penggunaan kata perintahkan tersebut kurang tepat kerana penggunaannya dalam konteks umum mungkin berbeza dalam laras undang-undang. | Tatabahasa | 14.04.2014 |
Mohon pihak tuan untuk membetulkan ayat di bawah: i) Mesyuarat dimaklumkan slip gaji diperlukan bagi mempercepatkan dan memudahkan proses pembayaran tuntutan ii) Mesyuarat mencadangkan supaya kehadiran anggota ke perjumpaan tersebut digiliri. iii) Lagu tersebut telah dipersembahkan oleh Cik Munira atau Cik Munira telah mempersembahkan sebuah lagu di majlis tersebut Pohon pihak tuan supaya dapat menerangkan struktur ayat 'di.....i' dan 'di......kan', 'me/meng/mem....i' dan ' me/mem/meng....kan' kerana terdapat kekeliruan dalam penggunaan kata imbuhan tersebut. Sekian, terima kasih. | i) Mesyuarat dimaklumkan bahawa slip gaji diperlukan bagi mempercepat dan memudahkan proses pembayaran tuntutan. Kata adjektif cepat apabila menerima imbuhan memper... menjadi mempercepat bukan mempercepatkan. ii) Mesyuarat mencadangkan supaya kehadiran anggota ke perjumpaan tersebut dilakukan secara bergilir. iii) Lagu tersebut telah dipersembahkan oleh Cik Munira atau Cik Munira telah mempersembahkan sebuah lagu di majlis tersebut. Kedua-dua ayat terebut betul. Fungsi apitan meN-...i -kan dengan meN-...-i terbahagi tiga: (1) Fungsi apitan meN-...-kan untuk menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif, contohnya; a. Pak Osman menghadiahkan basikal kepada Ahmad. b. Pak Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. (2) Bagi kata tertentu, perbezaan penggunaan apiatan meN-...-i adalah dari segi objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa. Contohnya; a. Ali memberi kucing makanan. b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Perkataan memberi dalam ayat (b) sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima apitan meN-...-i, tetapi telah digugurkan. (3) Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...--kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya; a. Ali membaiki kereta yang rosak itu. b. Ali membaikkan kereta yang rosak itu. Untuk maklumat lanjut, lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 207. 1. Apitan di-…i ialah bentuk pasif bagi meN-…-i . Contoh: kata kerja aktif mendapati, kata kerja pasifnya didapati. Apitan mempeR-…-i tidak begitu produktif. Kata-kata yang bergabung dengan apitan ini tidak banyak. Setakat ini hanya empat perkataan yang terbentuk dengan apitan ini iaitu memperingati, memperkawani, mempersuami(i), memperisteri(i). Berlaku pengguguran huruf i pada perkataan mempersuami dan memperisteri. Bentuk lazim memperolehi sebenarnya bentuk terbitan yang lewah, untuk membawa pengertian yang lazimnya dikaitkan dengan perkataan di atas. Memperolehi seharusnya menerima awalan memper-. Oleh itu memperolehi seharusnya memperoleh. Sebagaimana hal yang berlaku pada memper-...-i, demikian juga pada bentuk apitan dipeR-...-i. Bentuk yang lazim digunakan iaitu diperolehi, sebenarnya merupakan bentuk terbitan yang lewah. Kata dasar bentuk apitan ini seharusnya menerima awalan diper- , yakni diperolehi seharusnya diperoleh. (Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga hlm. 208, 211 – 217) | Tatabahasa | 21.11.2013 |
Assalamualaikum, Saya ada dua soalan mengenai adverba. Apakah persamaan dan perbezaan binaan frasa adverba dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris? 2. Apakah perbezaan binaan frasa adverba dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris? saya amat keliru mengenai adverba, dan rata-rata pelajar juga keliru dengan adverba kerana dalam Tatabahasa Dewan, hanya terdapat kata adverba dibawah kata tugas.Manakala, berdasarkan Nahu Melayu Mutakhir hanya menceritakan frasa adverba. bagaimana sebagai seorang pelajar untuk menerima dengan sebenar-benarnya mengenai binaan dan fungsi frasa adverba agar tidak terkeliru. Mohon penjelasn. Terima Kasih. | Buku Tatabahasa Dewan merupakan tatabahasa pegangan Kementerian Pendidikan Malaysia yang merakamkan sistem bahasa Melayu yang merupakan salah satu korpus utama bahasa Melayu. Mengikut Tatabahasa Dewan, kata adverba tidak perlu dan tidak tepat bagi bahasa Melayu. Konsep kata adverba membawa pengertian bentuk kata yang berfungsi menerangkan kata kerja dalam predikat. Misalnya: Dia berjalan dengan cepat. Air sungai itu mengalir tenang. Kata-kata seperti cepat dan tenang menjadi unsur keterangan kepada kata kerja. Namun, dalam bahasa Melayu, unsur keterangan tidak hanya terbatas pada menerangkan kata kerja kerana predikat ayat dalam bahasa Melayu boleh terdiri daripada struktur-struktur lain, iaitu frasa nama(FN), frasa adjektif(FA) dan frasa sendi nama(FSN). Misalnya: Pegawai itu sibuk selalu. Mereka ke Johor Bahru dengan segera. Dalam ayat di atas, selalu dan dengan segera masing-masing menerangkan frasa adjektif sibuk dan frasa sendi nama ke Johor Bahru, iaitu predikat ayat. Konsep adverba tidak dapat digunakan dalam keadaan ini kerana tidak ada kata kerja yang terlibat. Golongan kata adverba sesuai dengan bahasa-bahasa seperti bahasa Inggeris yang mempunyai satu struktur predikat iaitu, frasa kerja. Bagi bahasa Melayu yang mempunyai empat struktur frasa predikat, istilah keterangan lebih sesuai, iaitu melihat gejala ini dari segi fungsinya (menerangkan) tidak kira yang diterangkan itu kata kerja, kata adjektif, kata sendi nama atau kata nama. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga menghuraikan kata adverba pada halaman 289-295. | Tatabahasa | 18.11.2014 |