Apakah perbezaan antara LEPAS dan SELEPAS? Dalam konteks ayat yang bagaimanakah kedua-dua perkataan ini boleh digunakan? Terima kasih. | LEPAS - tidak terikat lagi, tidak mempunyai pertalian (perhubungan, sangkut paut) lagi, bebas: apa bicara Bendahara kerana segala rantau barat ~lah drpd kita; ia tidak ~ drpd memikirkan kekasihnya; 2. lari atau bebas (drpd kurungan, penjara, tahanan, dsb), lucut (drpd ikatan dll): ia meronta-ronta dan menghempas-hempas tetapi tidak juga ~; selepas -kata terbitan perkataan lepas yang membawa maksud sesudah, setelah sudah, setelah selesai: tiada berapa lama ~ bersalin, si Helang Bakau dan suaminya serta pengikutnya pergi memukat;. Perkataan ini berperanan sebagai kata hubung waktu. Lazimnya, kedua-duanya boleh digunakan apabila berfungsi sebagai kata hubung masa. " Lepas" biasanya digunakan dalam bahasa percakapan. cth: Lepas sarapan, dia terus pergi kerja.
| Tatabahasa | 11.09.2012 |
Saya ingin bertanya adakah penggunaan simbol (/) perlu dijarakkan atau didekatkan. Contohnya: lepas/tahan/rampas atau lepas / tahan / rampas. Terima kasih. | Perkataan sebelum dan selepas Garis Miring (/) hendaklah dirapatkan. | Tatabahasa | 23.08.2011 |
1) adakah perkataan "hak milik" merupakan kata majmuk? sila berikan penjelasan... 2) adakah perkataan "selepas" merupakan kata tunggal?? apakah proses yang terjadi dalam perkataan "selepas", kerana kata dasarnya adalah "lepas" | Saudara Norliana, i. Perkataan 'hak milik' ialah kata majmuk berbentuk istilah, iaitu rangkai kata yang membawa satu konsep. ii. Kata selepas ialah kata terbitan bukan kata tunggal yang menerima imbuhan berbentuk awalan 'se'. | Tatabahasa | 15.03.2010 |
Saya rasa istilah bahasa Melayu telah ditukar semula menjadi bahasa Malaysia selepas sambutan kemerdekaan ke-50 tahun lepas. Tetapi Pelita Bahasa Februari 2008 masih menggunakan istilah bahasa Melayu. Adakah masih kekal sebagai bahasa Melayu? Huruf 'B' pada perkataan bahasa dalam huruf kecil atau besar? Terima kasih. | Selagi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu tidak berubah, maka nama rasmi bahasa kebangsaan negara Malaysia ialah bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, dalam konteks komunikasi sosial yang tidak rasmi, apabila merujuk kepada bahasa yang menjadi sistem komunikasi bersama rakyat Malaysia, istilah bahasa Malaysia boleh digunakan di samping istilah bahasa Melayu. Ejaan bahasa Melayu yang menggunakan 'B' digunakan untuk mengeja nama mata Pelajaran : Bahasa Melayu. | Lain-lain | 26.02.2008 |
Salam sejahtera, Merujuk kepada soalan yang saya tanya tempoh hari yang lepas dan jawapan yang diperoleh seperti berikut; Soalan, salam sejahtera, Perlukah penjodoh bilangan digunakan selepas penggunaan kata bilangan "setiap/ tiap-tiap)? Contoh ayat, 1. Setiap orang pekerja yang tidak hadir dalam aktiviti gotong-royong itu mesti memberikan surat tunjuk sebab. 2. Tiap-tiap peserta Bengkel Tatabahasa itu dikehendaki mengenalpasti struktur ayat yang salah berdasarkan hukum tatabahasa. Jawapan, Kata setiap atau tiap-tiap tidak perlu diikuti penjodoh bilangan, isu sebenarnya ialah sama ada kata nama yang hadir selepas kata setiap perlu didahului penjodoh bilangan atau tidak. Bagi menghasilkan ayat yang gramatis dan untuk menunjukkan bilangan kata nama perlu hadir berpasangan dengan penjodoh bilangan. Dengan hal yang demikian, adakah ini bermakna contoh ayat 1 salah dan contoh ayat 2 betul ? Bagaimanakah dengan contoh ayat ini, Setiap dua orang murid perlu membawa seringgit ke sekolah. | Berdasarkan jawapan yang diberikan sebelum ini ayat yang gramatis ialah ayat pertama, Setiap orang pekerja yang tidak hadir dalam aktiviti gotong-royong itu mesti memberikan surat tunjuk sebab dan ayat Setiap dua orang murid perlu membawa seringgit ke sekolah. | Tatabahasa | 08.01.2013 |
Ibu Saiman membeli seikat sayur-sayuran dari pasar. ( betul / salah ) Ibu Saiman membeli sebakul sayur-sayuran dari pasar.( betul / salah ) Wajah ibu sungguh ceria selepas mendengar berita kejayaan saya dalam peperiksaan UPSR.( betul / salah ) Wajah ibu sungguh gembira selepas mendengar berita kejayaan saya dalam peperiksaan UPSR.( betul / salah ) Keluarga saya makan angin di Planetarium Negara pada minggu lepas. ( betul / salah ) | Ayat tersebut betul. Walau bagaimanapun, seikat lebih tepat kerana ia boleh digunakan untuk merujuk kuantiti yang sedikit. Dalam ayat kedua, dalam konteks wajah, ceria dan gembira boleh digunakan. Ayat ketiga juga betul, namun dalam konteks ini, lebih tepat menggunakan perkataan melawat kerana peribahasa makan angin digunakan untuk suasana yang santai. | Tatabahasa | 02.09.2010 |
Salaam. Saya ingin tahu jika terdapat masalah dalam sistem kamus sbmb online? Sebab bila saya klik 'carian kata', page prpm.dbp.gov yang keluar dan bukan page kamus sbmb seperti sebelum ini. Ia berlaku sejak dua tiga hari lepas. Boleh saya tahu kalau kamus sbmb online masih boleh digunakan selepas ini atau bagaimana ya? Terima kasih. | Sila klik pada Laman Utama DBP untuk menggunakan SBMB dalam talian. Pusat Rujukan Persuratan Melayu merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Saudara hendaklah memasukkan perkataan tersebut dalam ruang yang disediakan dan klik "cari". | Lain-lain | 24.02.2009 |
Assallamualaikum saya Saiful Bahari Bin Ahmad bekas Prof.Madya yang mengajar di Tokyo Universiti of Foreign Studies,Tokyo.Begini pada pertengahan bulan lepas saya telah dihubungi oleh seorang pegawai DBP berhubung tentang soal pembayaran royalti bagi buku Kenangan untuk Profesor Shoho Isamu.Menurutnya cek telah dikirimkan ke alamat saya di Jepun tahun lalu tapi telah dikembalikan kerana saya telah berpindah ke Malaysia .Segala butiran peribadi telah saya berikan yaitu no akaun ,no KP dan lain lain untuk pengiriman semula royalti tersebut.Namun sehingga kini saya belum menerima apa apa maklum balas tentang perkara tersebut.Harap Maklum.Terima Kasih. | Untuk makluman tuan, pihak kami sudah mengurus semula bayaran royalti untuk buku tuan itu. Bayaran tersebut akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank tuan pada 9 Julai 2013. Mohon tuan hubungi kami lagi sekiranya berlaku masalah selepas tarikh tersebut. | Lain-lain | 04.07.2013 |
salam, saya ingin bertanyakan tentang proses penerbitan buku. untuk pengetahuan tuan/puan saya berhajat untuk menerbitkan buku kanak-kanak. persoalan saya di sini, saya telah menyiapkan kertas cadangan penulisan dan manuskrip lengkap cerita yang ingin saya terbitkan sebagaimana yang telah tuan/puan maklumkan pada saya dalam soalan saya yang lepas, adakah saya perlu hantar kedua-duanya sekali (manuskrip lengkap bersama kertas cadangan) ataupun secara berasingan iaitu menghantar dahulu kertas cadangan penulisan dan selepas diluluskan barulah saya perlu menghantar skrip penulisan lengkap? boleh saya mendapatkan no telefon terus ke unit penerbitan buku kanak-kanak kerana saya telah cuba berulang kali membuat panggilan ke operator tetapi tidak dijawab? dan membuat panggilan ke nombor yang tuan/puan berikan dahulu kepada saya tetapi tetap disambungkan ke unit sosial dan masyarakat? kerjasama tuan/puan amat dihargai. sekian terima kasih | Saudara boleh menghantar manuskrip sahaja atau kedua-kedua sekali kepada Ketua, Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Sastera Kanak-kanak dan Remaja (PURNAMA), Dewan Bahasa dan Pustak, 50926 Kuala Lumpur. Saudara juga boleh menghubungi En. Abd. Rahim Omar melalui emel rahim2@dbp.gov.my | Lain-lain | 16.07.2010 |
Saudara, bolehkah saudara menjelaskan kemusykilan saya tentang perkara-perkara berikut ? 1. a) Barang-barangnya kecurian malam tadi. b) Barang-barangnya dicuri malam tadi. Mana satukah yang tepat dari segi penggunaan imbuhannya ? 2. a) Hadiah itu dimenangi oleh Wei Lun. b) Hadiah itu dimenangi Wei Lun. c) Rumput-rumput itu dibasahi hujan. Saya inginkan penjelasan tentang penggunaan imbuhan 'di-....i' dan kata sendi nama 'oleh' bagi contoh ayat-ayat tersebut. 3. Antara 'berlepas ke' dan ' berlepas dari', adakah kedua-duanya tepat ? Keprihatinan daripada pihak saudara untuk menghuraikan permasalahan tersebut saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih ! | 1. Barang-barangnya dicuri malam tadi - ayat (imbuhan) yang betul 2. Dalam buku Tatabahasa Dewan, di bawah tajuk Apitan di-...-i diterangkan bahawa apitan di-...-i ialah bentuk pasif bagi meN-...-i, contohnya mempelopori - dipelopori; Gerakan menuntut kemerdakaan negara itu dipelopori oleh kaum bangsawan, mengotori - dikotori; Selepas hujan bilik darjah dikotori oleh tanah lumpur. Kata sendi nama oleh yang kedudukannya selepas kata kerja boleh digugurkan secara pilihan. Ketiga tiga ayat contoh yang diberi adalah betul. 3. Berlepas ke dengan berlepas dari, kedu-duanya adalah betul. Yang pertama menunjukkan tempat yang dituju (berlepas ke angkasa lepas) dan kedua menunjukkan tempat asalnya/punca (berlepas dari Terminal ...) | Tatabahasa | 25.05.2008 |