Yang manakah betul? 1. Seorang pengawas ( meneguri / menegur) Ahmad yang membuang sampah di lantai kantin. 2. Siti menatang semangkuk mi sup (menuju / dan menuju) ke meja makan. 3. Beberapa orang hakim sedang berbincang tentang (prestasi / persembahan) peserta pidato. 4. Aminah berkongsi bekal ( dengan / bersama-sama ) rakan-rakannya. 5. Para penonton menyaksikan (persembahan / prestasi) peserta yang berpidato di atas pentas. | 1. Seorang pengawas (menegur) Ahmad yang membuang sampah di lantai kantin. 2. Siti menatang semangkuk mi sup (menuju) ke meja makan. 3. Beberapa orang hakim sedang berbincang tentang (persembahan) peserta pidato. 4. Aminah berkongsi bekal (bersama-sama) rakan-rakannya. 5. Para penonton menyaksikan (persembahan) peserta yang berpidato di atas pentas. | Tatabahasa | 20.11.2013 |
penjodoh bg kerang - semangkuk kerang. kalau satu je kerang, adakah seekor,atau sebiji, seketul.. | Jawapan yang betul ialah seekor kerang. | Lain-lain | 08.07.2010 |
JIKA BILANGAN BANYAK DIKATA SEMANGKUK KERANG JIKA SATU DIPANGIL APA | Encik Mohamad Zaki, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Sebenarnya tidak semua benda mesti mempunyai penjodoh bilangannya. Kerang umpamanya sering disukat dengan mangkok, kilo, longgok dan sebagainya. Namun untuk satu kerang jarang sekali ada penjidoh bilangannya. Setakat ini hanya inilah jawapan yang boleh kami berikan. | Tatabahasa | 08.07.2009 |
Salam Satu Malaysia, 1. Makanan seimbang penting untuk/kepada kita. (untuk atau kepada,sila beri penjelasan) 2. Saya menghidangkan semangkuk bubur untuk/kepada nenek. 3. Kamal tidak menduga bahawa makanan dalam tin yang dibelinya telah luput tarikhnya./ Kamal tidak menduga bahawa makanan di dalam tin yang dibelinya telah luput tarikhnya. (ayat mana yang betul dan tolong beri penerangan). Soalan yang saya ajukan: Murid saya menulis karangan biografi ayah saya dan nenek saya.Apakah kata ganti nama diri orang yang betul ?(dia atau beliau) Terima kasih atas perkhidmatanyang pihak tuan sediakan. | 1. Makanan seimbang penting untuk kita. Penerangan: Kata sendi nama untuk digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, berfungsi untuk menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan (Rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga muka surat 276). Untuk ayat ini, “makanan seimbang” diperuntukkan untuk kata nama “kita”. 2. Saya menghidangkan semangkuk bubur kepada nenek. Penerangan: Kata sendi nama kepada terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan dan unsur mujarad (Rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga muka surat 272). Merujuk kepada ayat ini, kata sendi nama kepada terletak di hadapan kata nama am “nenek” . 3. Kamal tidak menduga bahawa makanan di dalam tin yang dibelinya telah luput tarikh. Penerangan: Di dalam digunakan untuk menunjukkan tempat yang boleh dilihat secara fizikal ruang dalamnya, seperti di dalam kereta, di dalam rumah dan di dalam dewan. Dalam pula menunjukkan kedudukan sesuatu yang abstrak sifatnya, dalam fikiran, dalam bidang sains dan dalam kehidupan. Justeru, di dalam digunakan untuk tin kerana terdapat ruang yang boleh dilihat secara fizikal. 4. Kata ganti diri tunggal untuk ayah atau nenek ialah beliau. Penerangan: Kata ganti nama diri orang ketiga beliau sesuai digunakan untuk orang/golongan dewasa yang berpekerti baik dan mulia, lazimnya mempunyai kedudukan yang agak tinggi dan terhormat dalam masyarakat. Oleh itu, beliau sesuai digunakan untuk ayah atau nenek. | Tatabahasa | 15.03.2018 |
1. Abu membawa ( bekal/ bekalan) yang disediakan ibu ke sekolah ? 2. Seorang pelayan restoran menghidangkan semangkuk lauk ( kepada / untuk ) pelanggannya. | 1. Abu membawa bekal yang disediakan ibu ke sekolah. 2. Kedua-duanya betul. | Tatabahasa | 13.02.2012 |
Apakah penjodoh bilangan bagi kerang? | Tiada penjodoh bilangan khusus bagi kerang. Sebaliknya kerang diukur mengikut bekasnya seperti semangkuk kerang atau unit tertentu seperti satu kilogram kerang. | Tatabahasa | 14.07.2014 |
Apakah penjodoh bilangan untuk kepah, siput, remis? | Tiada penjodoh bilangan khusus bagi kerang, kepah, siput dan sebagainya. Kerang biasanya diukur melalui bekas untuk meletakkannya seperti sepinggan kerang, semangkuk kerang, atau sekilo kerang. | Tatabahasa | 28.08.2012 |
APAKAH PENJODOH BILANGAN BAGI PERKATAAN KERANG" | Tidak semua benda mempunyai penjodoh bilangan. Begitu juga dengan kerang. Kebiasaan kerang yang dibeli atau dimakan dinyatakan dalam kilo, kati atau semangkuk. | Tatabahasa | 11.03.2009 |
Apakah penjodoh bilangan untuk kerang? | Saudara Nurina, Bukan semua benda ada penjodoh bilangannya. Kerang boleh diberi penjodoh bilangan mengikut cara kerang tersebut dikumpulkan atau mengikut berat, contohnya semangkuk kerang atau sekilo kerang. | Tatabahasa | 10.03.2010 |
Apakah penjodoh bilangan bagi satu kerang? Seekor kerang? Sebiji kerang? Sebuah kerang? Sebutir kerang? | Tiada penjodoh bilangan khusus bagi kerang. Kerang biasanya diukur melalui bekas untuk meletakkannya seperti semangkuk kerang atau sekilo kerang. | Tatabahasa | 05.07.2009 |