Hi, saya sentiasa mengelirukan penggunaan imbuhan. Bila nak guna akhiran kan, i dan bila guna memper...kan atau tidak ada kan. Bila tidak perlu guna imbuhan? Terima Kasih. | 1) Imbuhan akhiran –kan merupakan akhiran yang membentuk kata kerja dalam bahasa Melayu. Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran –kan untuk membentuk kata kerja. Contohnya, i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran –kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Contohnya: berbantalkan, dipertingkatkan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 183-186. 2) Imbuhan akhiran –i membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus penggunaan akhiran –i, iaitu: (i) memberi pengertian kausatif atau menyebabkan sesuatu jadi: baik – baiki (menyebabkan sesuatu jadi baik), sudah - sudahi. (ii) memberi pengertian lokatif, iaitu menyatakan unsur tempat: turuni lurah – turun ke lurah. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 186-190. 3) Apitan memper-...-kan boleh bergabung dengan kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Contohnya: memperisterikan, memperbudakkan, mempersendakan, memperdengarkan, memperlihatkan, mempertunjukkan. 4) Walau bagaimanapun apitan memper-...-kan tidak boleh bergabung dengan kata adjektif, sebaliknya awalan memper- digunakan dengan kata adjektif untuk membawa maksud menjadikan lebih atau bertambah. Contohnya: besar – memperbesar (menjadi lebih besar atau bertambah besar) dan indah – memperindah (menjadikan bertambah indah).Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 208-211. | Tatabahasa | 08.06.2024 |