Majikan syarikat itu sentiasa mengambil berat akan kebajikan pekerjanya atau Majikan syarikat itu sentiasa mengambil berat kebajikan pekerjanya munsyi, manakah ayt yang manakah betul? | Majikan syarikat itu sentiasa mengambil berat kebajikan pekerjanya. | Tatabahasa | 13.02.2012 |
Dia sentiasa berada ___________ saya. a. di hati b. di dalam hati c. dalam hati Pilihan yang manakah adalah betul? Terima kasih. | Jawapannya (a), iaitu di hati. 'Di' berfungsi menunjukkan tempat. | Tatabahasa | 18.06.2008 |
Pejabat ini sentiasa berkomunikasi dengan pihak luar khususnya kontraktor dan juruperunding bagi melaksanakan projek. Malangnya sesetengah kontraktor ingkar menggunakan bahasa kebangsaan dalam surat rasmi mereka kepada Jabatan. Apakah tindakan yang boleh diambil dan wujudkah sebarang peruntukan untuk mewajibkan mereka menggunakan bahasa kebangsaan dalam setiap surat menyurat? | Dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32) melalui Seksyen 5, 6, 7 dan 8. Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang digunakan untuk tujuan perpaduan dalam kalangan warganegara manakala bahasa rasmi ialah bahasa yang dipilih untuk tujuan urusan sehari-hari negara. Sesuatu bahasa itu tidak boleh dianggap bahasa rasmi hanya kerana terdapat undang-undang dan peruntukan dalam perlembagaan yang memberikan taraf tersebut. Sesungguhnya bahasa itu sendiri haruslah dapat berfungsi sebagai bahasa rasmi apabila memenuhi beberapa kegiatan pada peringkat kenegaraan seperti: - Sebagai bahasa lisan para pegawai kerajaan semasa menjalankan tugas-tugas rasmi negara;
- Sebagai media segala urusan surat-menyurat dalam dan antara jabatan kerajaan;
- Digunakan dalam semua rekod kerajaan;
- Sebagai media untuk menulis semua undang-undang dan peraturan negara; dan
- Digunakan dalam semua jenis borang urusan rasmi kerajaan.
Sebagai Bahasa kebangsaan yang digunakan dalam semua rekod kerajaan, sewajarnyalah semua urusan dengan pejabat kerajaan menggunakan bahasa kebangsaan. Walaupun tidak ada peruntukan khusus untuk mengatasi sikap pelanggan seperti yang saudara hadapi, pemakaian Akta Bahasa Kebangsaan adalah kepada semua warganegara Malaysia. | Lain-lain | 30.09.2010 |
1.Perkataan sentiasa tergolong dalam golongan kata apa? 2. Apakah fungsi perkataan dalam sekiranya hadir sebelum kata kerja. Contoh dalam melakukan sesuatu | Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, 'sentiasa' tergolong dalam golongan kata adjektif. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga menerangkan bahawa, kata sendi nama "dalam" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak seperti perkara, hal, peristiwa, bidang, masyarakat dan sebagainya seperti ayat "Dalam hal ini, kita semua setuju". | Tatabahasa | 07.01.2013 |
Adakah Dewan Bahasa sentiasa memantau penggunaan bahasa melayu di dalam akhbar harian samada akhbar perdana atau mingguan. Adakah Dewan Bahasa berhak menegur akhbar ini sekiranya terdapat kesalan bahasa. | Bahagian Pengembangan Bahasa Melayu di bawah unit pemantauan sentiasa menjalankan pemantauan terhadap kecelaruan penggunaan bahasa Melayu sama ada dalam majalah,akhbar dan sebagainya. Dewan Bahasa telah membuat teguran kepada pengamal media yang berkenaan dalam mewujudkan suasana berbahasa yang baik dan berkesan.Berdasarkan akta Dewan bahasa dan pustaka (pindaan dan perluasan)1995, DBP telah diberi tugas dan tanggungjawab termasuk memberi arahan,ulasan,nasihat,bantuan,bimbingan dan latihan dan pengawasan kepada semua pihak demi mendaulatkan dan memartabatkan bahasa kebangsaan. | Lain-lain | 25.07.2007 |
para pelajar telah dinasihatkan oleh guru agar sentiasa menjaga disiplin diri. Munsyi, saya kekeliruan mengapakah bukan dinasihati digunakan dalam ayat ini? TK | Menasihati bermaksud memberi nasihat kepada (bentuk pasifnya dinasihati), manakala menasihatkan bermaksud memberikan sesuatu sebagai nasihat (bentuk pasifnya dinasihatkan). Berdasarkan makna tersebut, lazimnya menasihati diikuti dengan objek (manusia) menjadi guru menasihati pelajar agar sentiasa menjaga disiplin diri dan bentuk pasifnya pelajar dinasihati guru agar sentiasa menjaga disiplin diri. | Sastera | 09.04.2012 |
salam sejahtera. Saya musykil tentang ayat ini sama ada betul atau tidak. Seseorang yang berbudi akan sentiasa disanjung walau di mana sahaja dia berada. terima kasih. | Ayat yang betul ialah 'seseorang yang berbudi akan sentiasa disanjungi walu di mana sahaja dia berada. Harap maklum. | Tatabahasa | 22.07.2008 |
knP bhs melayu sentiasa berubah. | Perubahan yang berlaku dalam bahasa Melayu adalah kerana wujud penemuan terbaharu dalam sesuatu aspek, misalnya istilah, tanda baca, makna, hukum, dsb. Perubahan yang sama turut berlaku dalam semua bahasa termasuk bahasa Inggeris dalam tempoh yang panjang. Bahasa Melayu baru mengalami perkembangan awal dan proses pemantapan akan sentiasa berlaku dari semasa ke semasa. | Makna | 27.10.2006 |
Tuan, Adalah ayat-ayat di bawah betul? Jika salah, apakah sebabnya. 1) Jalan raya itu sentiasa sesak pada waktu pagi. 2) Sekolah itu penuh sesak dengan murid baharu. Sekian terima kasih. | Ayat yang diberikan adalah betul. 1. Jalan raya itu sentiasa sesak pada waktu pagi. 2. Sekolah itu penuh sesak dengan murid baharu. | Tatabahasa | 26.04.2012 |
Saya berminat untuk menghadiri sebarang seminar/persidangan dsb yang berkaitan bahasa dan sastera. Diharap pihak tuan dapat memberitahu jadual bagi tahun 2008. Terima kasih. | DBP memang sentiasa mengadakan seminar atau persidangan yang berkaitan dengan sastera, tetapi buat masa ini kalendar untuk tahun 2008 masih belum dapat disediakan, namun demikian, pihak kami sentiasa membuat siaran di akhbar-akhbar dan juga melalui laman DBP. Mohon saudara sentiasa membuka laman DBP untuk mendapatkan maklumat yang saudara kehendaki. Ketika ini masih belum ada sebarang seminar atau persidangan dalam perancangan awal tahun ini. | Lain-lain | 08.01.2008 |